Sunday, May 15, 2011

Punca Gadis Hamil Di Luar Nikah


Dengan anggapan ‘aku tak mungkin hamil’ sesetengah gadis remaja rela mengadakan hubungan seks luar nikah dengan lelaki yang baru saja mereka kenali.Tidak kurangpula mereka ini termasuk wanita berkerja yang tinggal di bandar-bandar diajak teman lelaki mereka menonton VCD lucah lantas kedua-duanya ghairah hingga terjebak dalam maksiat. Akibatnya wanita terbabit melahirkan anak di luar nikah.

Malangnya, bukan semua teman lelaki mangsa yang mahu bertanggungjawab akibat keterlanjuran mereka itu. Memang ada lelaki yang hendak berkahwin tetapi dihalang oleh keluarga wanita, ada yang yang enggan menerima kehamilan pasangannya manakala ada pula yang takut selain tidak kurang pula yang terus memutuskan hubungan yang mereka bina dengan gadis terbabit sebelum itu.
Bagi gadis yang malang itu keadaan diburukkan lagi kerana pandangan serong masyarakat terhadap kehamilan diluar nikah. Ada pula yang berasa malu atau takut perbuatan terkutuk mereka diketahui keluarga. Ini akhirnya mencetuskan fenomena ngeri lain pula – dimana bayi tidak berdosa yang baru dilahirkan itu dibuang.
Demikian rumusan Profesor Madya Dr Fatimah Abdullah, pensyarah Program Kerja Sosial, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM mengenai isu hangat dewasa ini berdasarkan penyelidikannya mengenai masalah seks di luar nikah mengikut rekod yang terdapat di Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Pusat Perubatan UKM.
Rekod juga menunjukkan hampir semua bayi itu kemudian dijumpai sudah mati setelah dibuang dalam tong sampah, dicampak dalam longkang atau ada ditanam dalam kubur cetek.
Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan 65 kes buang bayi dicatat pada tahun 2000 meningkat kepada 83 kes pada 2006.
Daripada 83 kes itu, 79 membabitkan pembuangan bayi yang baru dilahirkan dengan empat lagi masih janin.  Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006).
Sebab bayi dibuang belum dapat dipastikan kerana belum ada kajian khusus dijalankan, kata Dr Fatimah. Beliau menarik perhatian satu laporan akhbar mendedahkan kes sebegini biasanya membabitkan remaja yang terlanjur tetapi malu berdepan dengan masalah. Keadaan ini diburukkan lagi dengan sikap teman lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab.
Remaja yang mengandung luar nikah juga menghadapi pelbagai masalah seperti disisih keluarga serta dibuang kerja.
Dalam menjalankan kajiannya, Dr Fatimah turut mendapatkan data terperinci faktor kehamilan, sikap keluarga dan perancangan masa depan remaja hasil temu bual dengan penghuni di Rumah Nur Adwa dari 2004 hingga 2008.
Walaupun terdapat 81 gadis berusia 15-19 tahun, namun dalam masa tersebut golongan berumur 20 hingga 24 tahun mencapai 118 orang manakala ada juga melebihi 40 tahun iaitu seorang janda.
Sebanyak 190 orang daripada mangsa menamatkan persekolahan menengah, 39 STPM dan kolej, 53 tamat sekolah rendah dengan 10 orang tidak bersekolah.
Dengan pencapaian pendidikan agak baik itu, tidaklah menghairankan 177 daripada mereka mendapat gaji RM1,500 dan lebih sebulan dan  81 di antara RM1,000-RM1,499 sebulan.
Namun, apa yang agak membimbangkan, kata Dr Fatimah adalah hakikat kurangnya pengetahuan gadis terlibat ini dengan perkara-perkara berkaitan seksualiti. Ini kerana kebanyakan daripada mereka tidak prihatin apabila haid mereka terhenti walaupun ini salah satu tanda kehamilan.
Lebih buruk lagi ada gadis yang masih tidak tahu mengenai fungsi bahagian badan dan sistem reproduktif mereka sendiri seperti perbezaan kedudukan saluran kencing dan saluran peranakan.  Fakta ini didedahkan hasil kajian sebuah syarikat pengeluar alatl pencegah kehamilan.
Kajian rapi terhadap lapan gadis terlibat mendapati lima datang daripada keluarga tidak lengkap yakni keluarga ibu tunggal akibat penceraian atau kerana bapa telah meninggal dunia.
Dr Fatimah mencadangkan agar beberapa perkara diberikan perhatian dalam usaha membendung dan menangani masalah berkenaan.
Kebanyakan remaja atau wanita muda yang melanjutkan pelajaran tinggi atau bekerja di bandar dan jauh daripada keluarga biasanya tinggal bersendirian atau menyewa bersama rakan.
Ada kalanya, tegas Dr Fatimah, mereka ini tinggal serumah dengan teman berlainan jantina malah jika tidak menetap sebumbung pun kedudukan flat yang bersebelahan memudahkan teman lelaki atau wanita keluar masuk unit masing-masing.
“Sifat jiran tetangga khususnya di bandar yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan masing-masing tidak dapat berfungsi sebagai sistem kawalan sosial tidak formal yang berkesan sedangkan majikan yang menyediakan kemudahan perumahan tidak prihatin mengenai hal tersebut,’ kata beliau.
Bagi pihak keluarga pula keengganan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka berkahwin merupakan antara faktor remaja lari mengikut teman lelaki dan bersekedudukan sehingga hamil dan melahirkan anak.
“Perpecahan dan sikap keluarga ini kelihatan mempunyai kaitan dengan perlakuan devian remaja kita,” ujarnya.
Dr Fatimah juga berpendapat bahawa walaupun data yang ada tidak cukup untuk memberikan maklumat perkaitan antara didikan agama dengan penglibatan dalam hubungan seks sebelum berkahwin atau di luar perkahwinan namun pegangan agama yang kuat merupakan benteng utama dalam menghindari perlakuan devian.
Beliau turut menarik perhatian sungguh pun tidak ada maklumat mengenai pengaruh media dan hiburan terhadap masalah melahirkan anak di luar nikah, tetapi satu kajian pda tahun 2003 mendapati wujudnya hubungan yang rapat antara dorongan seks dengan gejala itu.
“Lantas kawalan dan saringan terhadap kedua-dua pengaruh dan dorongan itu juga amat penting,” kata Dr Fatimah.
Dalam konteks Malaysia, kata Dr Fatimah lagi, dasar dan program bersepadu untuk membantu remaja hamil diluar nikah hampir tidak ada.  Hal tersebut mungkin timbul kerana tidak adanya data lengkap megenai mereka khususnya berkaitan latar belakang sosio-ekonomi, pergaulan dan hubungan hetroseksual serta pengalaman hubungan seks sebelum berkahwin.
Apa pun gejala kehamilan remaja diluar nikah ini perlu dilaksanakan dengan penuh teliti kerana ia turut melibatkan isu agama dan budaya yang berbeza di antara satu kaum dengan yang lain.
Kaedah yang dilakukan di Barat seperti penggunaan kaedah kontraseptif bagi mencegah kehamilan tidak boleh digunakan bagi remaja beragama Islam.
Fenomena ini sebenarnya adalah manifestasi kepada isu yang lebih besar lagi tentang kekalutan dalam struktur dan organisasi sosial dalam masyarakat. Sehubungan itu profail yang lengkap mengenai mereka sedang dikumpulkan kerana ia penting dalam merangka pelan intervensi dan prevensi.
“Ini amat penting bukan saja kepada remaja yang terlibat tetapi anak mereka yang bakal dilahirkan, khususnya daripada segi nasab, penjagaan dan masa depan mereka,” kata Dr Fatimah.

Cerai Berleluasa : Perlukan Kementerian Pembangunan Lelaki?


Pendedahan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha berdasarkan kajian yang dibuat pada tahun 2008, tempoh selama sepuluh tahun perkahwinan amat kritikal sekali kerana potensi penceraian adalah besar.

Dalam kajian pada tahun 2007, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian. Bagi tempoh enam hingga sepuluh tahun pula mendapati 27.7 peratus bercerai. Ini bererti tempoh sepuluh tahun pertama merupakan tahun yang paling kritikan kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan penceraian.

Daripada sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun berkenaan.

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN LELAKI
Kita sudah biasa dengan kewujudan kementerian pembangunan wanita di Negara kita Malaysia. Secara spontan kita dapat fahami peranan kementerian terbabit adalah untuk menjaga kebajikan kaum wanita dari serba serbinya agar tidak teraniaya, tertindas, ketinggalan dan seumpamanya. Namun melihat kepada keadaan semasa di Malaysia, mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan sebuah badan khas untuk membantu kaum lelaki yang kelihatan sudah semakin pudar keupayaan mereka.

Allah swt menciptakan isi dunia ini berpasangan agar mereka saling boleh bekerjasama memakmurkan dunia sesuai dengan fitrah mereka, fitrah yang pastinnya membawa kepada ketenangan, keharmonian dan dinamisme. Namun, dengan jumlah wanita yang lebih ramai memenuhi institut pengajian tinggi dan setersunay semakin banyak menguasai jawatan-jawatan di medan pekerjaan. Pendidikan di dalam rumah tangga semakin terhakis, salah satu puncanya adalah apabila wanita semakin ramai diperlukan untuk keluar beekrja seeangkan lelaki pula gagal menampung keperluan membantu dalam pendidikan anak-anak.
Dalam kata mudahnya, dunia pekerjaan kini memerlukan bantuan wanita untuk terus bergerak.

Namun dunia rumahtangga memerlukan bantuan lelaki untuk terus harmoni. Apabila wanita kelihatan berjaya menampung keperluan  dunia pekerjaan, tentunya kemampuannya mengurus isi rumahtangga menyusut, ketika itulah peranan lelaki diperlukan, tapi sedikit malang apabila lelaki terus terkebelakang. Di dunia kerjaya mereka menyusut, di dalam rumahtangga mereka sering gagal menampung ruang kosong yang ditinggalkan isteri bekerja. Hasilnya pergolakan pasti berlaku, rumahtangga berantakan, anak pasti terkena impak negatif dan seterusnya mendasar di dalam jiwa mereka sehingga dewasa.

Lebih buruk jika impak tersebut merosak jiwanya dan menjadi anak tersebut sebagai pembuli di sekolah, virus di universiti, sampah dalam masyarakat dan pencipta masalah dalam Negara.
Allah swt menyebut :

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Ertinya : Lelaki itu adalah ketua ke atas wanita disebabkan kerana kurniaan yang diberikan kepada mereka dan disebabkan nafqah yang mereka berikan.. ( Al-Nisa : 34)

Jelas dari ayat diatas, Allah melantik lelaki selaku ketua dan pemutus keputusan di dalam sesebuah rumahtangga berdasarkan dua sebab utama iaitu
a) kelebihan fizikal mereka dan
b) tanggungjawab mereka selaku pencari nafqah untuk keluarga.

Nescaya, kalau kedua-dua itu tidak disempurnakan dengan baik, pastinya masalah akan berputik satu demi satu, ketidakpuasan hati akan menjelma hari demi hari, kehidupan akan berubah kepada seribu satu macam jenis masalah, berakhir dengan penceraian dan anak-anak bermasalah.

Anak-anak ini akan membawa masalahnya ke sekolah dan universiti, sebagaimana ibu dan ayah mereka membawa masalah ke tempat kerja. Akhirnya aura negatif mereka berpindah dari seorang ke yang lain, lalu mempengaruhi sekelompok masyarakat dan seterusnya Negara. Ia adalah kesan domino yang berantai.

Kerana itu keharmonian keluarga amat penting dalam Islam, dan Nabi mengatakan krisis dalam keluarga adalah penghakis agama. Ia punca kepada masalah lebih besar dalam masyarakat.
Nabi memaklumkan keperluan segara mendamaikan dan menyelesaikan masalah dalam keluarga malah ia lebih besar ertinya dari sedeqah, puasa dan solat (sunat).
Nabi bersabda :-

ألا أخبركم بأفضل من درجة الصيام والصدقة والصلاة " أي درجة الصيام النافلة وصدقة نافلة والصلاة النافلة " ، فقال أبو الدرداء : قلنا بلى يا رسول الله ، قال : إصلاح ذات البين[1]

Ertinya : Wahai sahabatku, mahukah kamu aku khabarkan satu amalan yang lebih besar fadhilatnya berbanding puasa (sunat), sedeqah (sunat) dan solat (sunat), Maka Abu darda’ menjawab : ya Rasulullah. Nabi membalas “Itulah mendamaikan perbalahan dalam keluarga dan masyarakat” (Riwayat Al-Tirmidhi Abu Daud : Hadis bertaraf hasan dan sohih menurut Albani)

Dan Nabi menambah selepas itu, menyebut :-

وفساد ذات البين الحالقة
Ertinya : Keroasakan dalam hubungan rumahtangga, kaum kerabat dan organisasi masyarakat akan menghakis (ketaatan dalam agama) ( Riwayat Ahmad dan Tirmidhi : Hadis Hasan)

SEMAKIN MUDAH CERAI

Apabila wanita sudah berkerja dan berpendapatan sendiri, mereka tiada lagi punyai masalah untuk bercerai, hasilnya berdasarkan kajian Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin, trend perceraian bagi tempoh 1998-2002 menunjukkan, hampir 70 peratus kes perceraian di Kelantan, Johor dan Terengganu dipohon oleh wanita (isteri). Di beberapa negeri lain pula menyaksikan lebih 50 peratus wanita sebagai plaintif dalam kes perceraian.

Allah maha mengetahui wanita dan emosinya, ia satu perkara fitrah, justeru kuasa cerai diberikan kepada suami. Namun isteri masih mempunyai kuasa untuk memohon melalui mahkamah, apabila mereka benar-benar mempunyai kes dan sebab yang utuh di sisi syara’. Fakta yang diberikan di atas menyokongnya, ia juga sekaligus menunjukkan kegagalan kaum lelaki.

Tulisan ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, cuma mengajak kita berfikir sejenak kepada kelemahan lelaki dalam memainkan peranannya yang dianugerahkan oleh Allah, iaitu sebegai ketua keluarga. Ia merupakan satu tugas dan amanah yang datang dengan  tanggungjawab dan peranan.

Tanggungjawab sebesar itu, memerlukan ilmu dan kredibiliti secukupnya untuk bertindak selaku pemutus keputusan di dalam ruamhtangga. Keputusan yang dibuat pula mestilah cukup rasional dan boleh diterima oleh ahli rumah khususnya isteri. Seperti sifat seorang hakim di dalam mahkamah, selain hakim, peguam bela dan peguam pendakwa juga pakar di dalam bidang undang-undang, namun ia perlukan seorang pemutus keputusan. Itulah sebaik-baik cara yang Allah ajarkan untuk manusia, mereka perlukan pemimpin yang tidak mudah terpengaruh dengan emosi, tetapi lebih tumpu kepada rasional dalam membuat keputusan. Berdasarkan ayat surah al-Nisa tadi, Allah melantik lelaki dan Allah maha mengetahui setiap kelemahan dan kelebihan makhluk yang diciptakannya.

Hari ini, dengan segala kecukupan peralatan dan fizikal yang ada pada lelaki, semakin ramai yang menyalahgunakan kemudahan fizikal yang diberi. Digunakan untuk menjadi penjenayah tegar, tenaga fizikal digunakan untuk merempit dan bergaduh, ‘tunjuk kuat’. Sebahagiannya diguna untuk mendera anak dan isteri dan wanita lain. Minda logika dan kurang emosi yag Allah anugerahkan digunakan untuk justifikasikan segala kelalaian, menghiburkan diri apabila ditimpa kegagalan, padahal tiada usaha secukupnya dilaksanakan.

Akhirnya makin ramai lelaki yang gagal menggalas tugas ketua sebuah keluarga. Mendorongnya untuk terus mendesak isteri mengambil alih sebahagian tugasannya. Dan berterusan rumah menjadi ‘rumahku nerakaku’.

Mungkin dengan sebab itu, kita kini memerlukan Kementerian Pembangunan Lelaki di Negara kita?
Kita sedar, tabiat lelaki tidak suka dinasihati kecuali mereka yang datang meminta, tidak seperti wanita yang lebih mudah menerima nasihat. Justeru, adakah jika kementerian seperti ini diwujudkan, ia boleh mengubah situasi buruk yang melanda?.

SEGERALAH MELAKAR PLAN BERTINDAK ATAU..

Apapun, pemimpin Negara dan semua pihak berkuasa perlukan kaedah dan strategi jelas bagaimana untuk kembali memperkasakan lelaki, bukan dengan sibuk menjual ‘ubat kuat’ dan ‘tahan lasak’ tetapi untuk memperkasakan iman, ilmu, jiwa, minda mereka agar kembali boleh berperanan sebaiknya, tanpa plan bertindak yang jelas dan jitu, krisis lebih buruk akan berlaku dalam negara kita.
Sudah tentulah, pemerkasaan yang pertama adalah mengembalikan mereka kepada fitrah mereka, membawa lelaki kepada agama, kerana semua itu bakal mempengaruhi isteri dan anak-anak mereka.
Apa pandangan anda?

Dsiplin Islam Ketika Bercerai

 Mengulas persoalan talaq atau penceraian dalam Islam memerlukan huraian yang panjang lebar dan boleh mencecah tahap sebuah buku. Justeru, saya hanya akan memetik beberapa bahagian sahaja.

Penceraian adalah jalan terakhir yang disediakan Islam bagi pasangan suami isteri yang menghadapi masalah sama ada ketidakserasian atau juga masalah lain berkait dengan zalim, tidak tunai tanggung jawab dan lainnya.

Terdapat ulama yang menyatakan talaq ini sebenarnya amat dibenci sehingga sampai tahap dilarang dan ia hanya diharuskan apabila cukup syarat dan sebabnya atas nama 'keringanan' atau 'rukhsah'.

Nabi s.a.w bersabda :-

أبغض الحلال إلى الله الطلاق

Ertinya : "Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah Talaq ( penceraian suami isteri)"( Riwayat Abu Daud, Al-Hakim ; As-Suyuti, Ibn 'Adiyy : Sohih ; Al-Munawi, tidak sohih )

Namun pendapat ini tidaklah kuat kerana Nabi sendiri pernah menjatuhkan talaq ke atas hafsah Bt Umar Al-Khattab dan kemudian ruju' kembali. Kesimpulannya ia hanyalah makruh. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Nailul Awtar, 6/247 )  

Ini bertepatan dengan sabda baginda s.a.w : -
"Saya tidak suka kepada laki-laki yang suka kawin cerai dan perempuan yang suka kawin cerai." (Riwayat Thabarani dan Daraquthni)
Dan sabdanya pula:
إن الله لا يحب الذواقين والذواقات
Ertinya : "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada laki-laki yang suka kawin cerai dan perempuan-perempuan yang suka kawin cerai." (Riwayat Thabarani dengan sanad Dhoif kata Al-Munawi)
Namun demikian, talaq yang hendak dijatuhkan mestilah mengikut tatacara dan displin yang ditentukan Islam seperti berikut : -

1)Jangan Dicerai Ketika Isteri Haid & Nifas.

Haram dan berdosa hukumnya seorang suami menjatuhkan talaq isterinya dalam keadaan isterinya dalam keadaan :
  • haid
  • nifas
  • setelah disetubuhi waktu suci isteri kecuali sudah jelas wanita itu mengandung.
Justeru, bagi suami yang ingin menceraikan isterinya, pastikan bukan dan tiga situasi tersebut.

Ini adalah tanda fitrahnya (bertepatan dengan naluri manusiawi yang normal) hukum Islam, kerana dalam keadaan haid, termasuk juga nifas, seorang suami wajib menjauhi isterinya. Barangkali karena terhalangnya dan tketidakmampuannya mengawal nafsunya itu yang mendorong untuk menjatuhkan talaq.

Ia juga mungkin terdorong oleh perilaku isteri sewaktu haid. Sedangkan diketahui mental dan mood sang isteri tidak stabil diwaktu haid dan nifas terutamanya. Justeru tidak wajar sama sekali dibenarkan penceraian di waktu itu jika terdorong dek rasa marah dan tidak puas hati itu.

Syeikh Al-Qaradawi berkata :
"Sebagaimana diharamkannya mencerai isteri di waktu haid, begitu juga diharamkan menceraikannya sewaktu suci sesudah bersetubuh. Sebab siapa tahu barangkali si perempuan itu memperoleh benih dari suaminya pada kali ini, dan barangkali juga kalau si suami setelah mengetahui bahawa isterinya hamil kemudian dia akan merubah niatnya, dan dia dapat hidup senang bersama isteri karena ada janin yang dikandungnya." ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam )

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dikisahkan, bahwa Abdullah bin Umar Ibnul-Khattab pernah mencerai isterinya waktu haid. Kejadian ini sewaktu Rasulullah s.a.w. masih hidup. Maka bertanyalah Umar kepada Rasulullah s.a.w., maka jawab Nabi kepada Umar:
ً
Ertinya : "Suruhlah dia (Abdullah bin Umar) supaya ruju' kembali, kemudian jika dia mahu, cerailah sedang isterinya itu dalam keadaan suci sebelum disetubuhinya. Itulah yang disebut mencerai pada iddah, sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam firmanNya: Hai Nabi! Apabila kamu hendak mencerai isterimu, maka cerailah dia pada iddahnya. Yakni menghadapi iddah, yaitu di dalam keadaan suci."

Di satu riwayat disebutkan:
Ertinya : "Perintahlah dia (Abdullah bin Umar) supaya kembali, kemudian cerailah dia dalam keadaan suci atau mengandung." (Riwayat Bukhari)

JIKA DIJATUHKAN KETIKA HAID, ADAKAH SAH ?
Menurut pendapat majoriti mazhab Islam, talaq itu tetap sah, tetapi si pelakunya berdosa. Ia berdalilkan sebuah hadis Abdullah Ibn Umar tadi, apabila menceraikan isterinya dalam keadaan haid, nabi mengarahkannya agar segera ruju' kembali. Ini bererti talaqnya jatuh cuma berdosa. (Al-Mughni, 7/99 ; Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, hlm 225 )

Sementara kumpulan minoriti ulama berpendapat talaq tidak jatuh dan tidak sah, sebab talaq itu samasekali tidak menurut aturan syara' dan tidak dibenarkan. Oleh karena itu bagaimana mungkin dapat dikatakan berlaku dan sah?

Namun, pendapat yang lebih kuat adalah sah dan jatuh talaqnya.

2)Perempuan yang Dicerai Tetap Tinggal di Rumah Suami Selama dalam Iddah

Perempuan yang dicerai wajib tetap tinggal di rumah suaminya selama dalam 'iddah. Dia diharamkan keluar rumah, dan suami diharamkan mengeluarkan bekas isterinya itu dari rumah tanpa suatu alasan yang dapat dibenarkan.

Hal ini disebabkan suami, selama dalam 'iddah, masih diperkenankan merujuk dan mengembalikan isteri kepada perlindungan perkawinan untuk sekali lagi --apabila talaq ini baru satu atau dua kali.

Seorang isteri yang masih tinggal bersama di dalam rumah suami membuka ruang untuk membangkitkan perasaan suami dan mengingat-ingat serta berfikir sebelum habis 'iddah itu, dan sebelum berakhirnya bulan-bulan 'iddah dimana perempuan diperintahkan supaya menunggu agar yakin akan bersihnya rahimnya dari benih suami serta melindungi hak suami dan kehormatan isteri. Sebab hati selalu berubah, fikiran selalu baru, seorang yang sedang marah kadang-kadang menjadi rela, orang yang naik pitam kadang-kadang menjadi dingin dan orang yang benci kadang-kadang menjadi cinta.

Sehubungan dengan persoalan perempuan yang dicerai ini, Allah s.w.t. telah berfirman dalam al-Quran sebagai berikut:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاء فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا

Ertinya : "Dan takutlah kamu kepada Allah, Tuhanmu. Jangan kamu usir mereka itu dari rumah-rumah mereka dan jangan sampai mereka itu keluar rumah, kecuali apabila mereka berbuat kejahatan yang terang-terangan; dan yang demikian itu adalah batas-batas ketentuan Allah, dan barangsiapa melanggar batas-batas ketentuan Allah, maka sungguh dia telah berbuat zalim pada dirinya sendiri; kamu tidak tahu barangkali Allah akan mengadakan hal baru sesudah itu."(at-Thalaq: 1)

3) Talaq Mesti Dijatuhkan Mengikut Aturan Kiraan

Islam memberikan kepada seorang muslim tiga talaq untuk tiga kali, dengan suatu syarat tiap kali talaq dijatuhkan pada waktu suci, dan tidak disetubuhinya. Kemudian ditinggalkannya isterinya itu sehingga habis iddah. Kalau nampak ada keinginan merujuk sewaktu masih dalan 'iddah, maka dia boleh merujuknya.

Sekiranya dia tetap tidak merujuknya sehingga habis 'iddah, dia masih boleh untuk kembali kepada isterinya itu dengan aqad dan mahar (maskawin) baru. Dan kalau dia tidak lagi berhasrat untuk kembali, maka si wanita boleh berkahwin dengan orang lain.

Jika si laki-laki tersebut kembali kepada isterinya sesudah talaq satu, tetapi tiba-tiba terjadi suatu peristiwa yang menyebabkan jatuhnya talaq yang kedua, si lelaki masih boleh ruju' semula dalam tempoh 'iddah.

Dan kalau suami kembali dan menceraikan isterinya buat kali ketiga, maka ini merupakan suatu bukti nyata, bahwa perceraian antara keduanya itu harus dikukuhkan, sebab persesuaian antara keduanya sudah tidak mungkin.

Oleh karena itu dia tidak boleh kembali lagi, dan si perempuan pun sudah tidak lagi halal buat si laki-laki tersebut, sampai dia kawin dengan orang lain secara syar'i. Bukan sekedar menghalalkan si perempuan untuk suaminya yang pertama tadi. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

TALAQ TIGA SEKALI LAFAZ?
Menjatuhkan talaq tiga dengan satu kali ucapan, adalah salah di sisi Islam.

Para ulama berbeza pendapat berapa talakkah yang jatuh sekiranya ia dilakukan juga seperti berikut :-
Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali : Jatuh talaq tiga sekaligus. ( Al-Mughni, 7/104 ; Hasyiah Ad-Dusuqi, 2/385 )
Ibn Taimiah & Ibn Qayyim : jatuh satu Talaq sahaja ( Zad Al-Ma'ad, 4/67 )

Apapun, di Malaysia pendapat majoriti mazhab adalah terpakai, ini bermakna sesiapa yang menyebut cerai talaq tiga dalam satu lafaz, jatuhlah talaq tiga.

Kes Zakaria Talib lwn Norziah Ahmad [2005] 1 CLJ (Sya) 132 adalah contoh dimana suami menlafazkan talak tiga sekali gus melalui surat dan hakim berpendapat bahawa talak tiga telah jatuh kerana lafaz telah jelas dan niat tidak perlu dibuktikan. Hasilnya, suami tidak boleh rujuk atau nikah semula dengan isterinya kecuali setelah isterinya berkawhin dengan lelaki lain, cerai dan tamat iddahnya.

Namun, walalupun jatuh talaq tiga itu, Ia dikira satu kesalahan spiritual dari sudut Islam . Satu ketika Rasulullah s.a.w. diberitahu tentang seorang laki-laki yang mencerai isterinya tiga talaq sekaligus. Kemudian Rasulullah berdiri dan marah, sambil bersabda:
أيُلعبُ بكتابِ اللَّه عزَّ وجلَّ وأنا بينَ أظهُرِكم حتى قامَ رجلٌ فقال يا رسولَ الله أَلاَ أقتُله   
Ertinya : "Apakah dia mahu mempermainkan kitabullah, sedang saya berada di tengah-tengah kamu? Sehingga berdirilah seorang laki-laki lain, kemudian dia berkata: Ya Rasulullah! apakah tidak saya bunuh saja orang itu!" (Riwayat Nasa'i, 2/349 )

Tebus Talak

Seorang perempuan apabila tidak suka kepada suaminya tidak sanggup bergaul bersama, maka dibolehkan menebus dirinya dan membeli kemerdekaannya dengan mengembalikan harta yang pernah diberikan oleh suami kepadanya berupa maskawin, atau hadiah dengan sedikit berkurang atau lebih menurut kesepakatan bersama.
Akan tetapi yang lebih baik si laki-laki tidak mengambil lebih dari apa yang pernah diberikan.

Firman Allah:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ يُقِيمَا حُدُودَ اللّهِ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ فَلاَ تَعْتَدُوهَا
Ertinya : "Jika kamu kawatir mereka berdua tidak dapat menegakkan batas-Batas ketentuan Allah, maka tidak dosa atas keduanya tentang sesuatu yang ia menebus dengannya." (al-Baqarah: 229)
Isteri Tsabit bin Qais pernah datang kepada Nabi s.a.w. mengadukan:

"Ya Rasulullah! Sesungguhnya Tsabit bin Qais tidak saya cela budi dan agamanya, tetapi saya tidak tahan marahnya. Kemudian Nabi bertanya tentang apa yang pernah dia ambil dari suaminya itu. Ia menjawab: Kebun. Lantas Nabi bertanya lagi., Apakah kamu mau mengembalikan kebun itu kepadanya? Ia menjawab: Ya. Maka bersabdalah Nabi kepada Tsabit: Terimalah kebun itu dan cerailah dia." (Riwayat Bukhari dan Nasa'i)

Namun demikian, seorang isteri tidak dibenarkan cepat-cepat minta cerai tanpa alasan yang dapat dibenarkan dan tanpa suatu pendorong yang dapat diterima yang kiranya bisa membawa kepada perceraian antara keduanya. Sebab Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagai berikut:

قال رسول الله أيما امرأة سألت زوجها الطلاق من غير بأس حرم الله عليها أن تريح رائحة الجنة
Ertinya : "Siapa saja perempuan yang minta cerai kepada suaminya tanpa suatu sebab yang dapat dibenarkan, maka dia tidak akan mencium bau syurga." (Riwayat Abu Daud, Al-Hakim, 2/218 ; At-Tirmizi, 3/493 ; Al-Hakim : Sohih dengan syarat Bukhari & Muslim ; At-Tirmidizi : Hadis Hasan)

Sekian


Ust Zaharuddin Abd Rahman

Sunday, May 8, 2011

Tahniah MRS Tapah....

Penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh wargakerja MRS Tapah yang bertungkus lumus menjayakan perlaksanaan 5S. Alhamdulillah berkat kerjasama dan komitmen dari semua MRS Tapah berjaya menduduki tempat ke 3 keseluruhan dan layak dipersijilkan dengan Amalan Perlaksanaan Persekitaran Berkualiti 5S yang telah diaudit oleh pihak MAMPU baru-baru ini.

Penilaian perlaksanaan 5S ini telah diperhalusi dari pelbagai aspek-aspek utama terutama keperluan asas, kawasan persekitaran, ruang pejabat, kemudahan, pengurusan stok dan pelbagai kriteria yang telah ditetapkan. Selaras menyahut seruan dan cabaran Y.A.A Dato Ketua Hakim Syarie, MRS Tapah bertekad untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan untuk terus memberi saingan kepada mahkamah-mahkamah daerah yang lain seterusnya berazam memperbaiki pencapaian ini ke tahap yg lebih tinggi dan terpuji.

Pendekatan mesra pentadbiran yang diamalkan oleh MRS Tapah mula menampakkan hasil dengan wujudnya komitmen, kesungguhan dan kerjasama dari seluruh wargakerja yang bersama-sama memikul tanggungjawab memantapkan lagi jentera pentadbiran MRS Tapah. Dikesempatan ini tahniah diucapkan kepada Zon Perak (Pentadbiran HQ) selaku juara keseluruhan, Zon Kalimaya (MRS Parit Buntar) naib johan dan semua Zon yang telah bersama2 memberikan saingan positif didalam menjayakan Perlaksanaan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S. Semoga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak terus maju dan gemilang..

  Bilik Mesyuarat Tertutup

 Dewan Bicara

 Info 5S yang lengkap

 Dewan Syura

 Auditan Mampu (sesi interview dokumentasi)

 Tuan Hamzah MAMPU menilai pegawai penyelaras 5S MRS Tapah

 Ruang kerja yang selesa dan kemas

 Penemuan kreatif dijadikan contoh bagi menilai personaliti dan sikap didalam perlaksanaan 5S

 Persekitaran MRS Tapah yang menghijau dan mendamaikan

Sistem Bilik Fail yang kemas dan kemudahcapaian menjadi aset utama penilaian auditor

 Galeri di Kamar Hakim yg tersusun indah... he he jgn marah nooo

Wednesday, April 13, 2011

Wali Hakim.... Sejauhmana Isunya....

Andaikata kita sering menghadiri perbicaraan kes di mahkamah Syariah pastinya hampir setiap hari kita akan dihidangkan dengan perbicaraan berkaitan “pengesahan perkahwinan” di bawah seksyen 12 mahu pun “pengesahan perkahwinan poligami tanpa kebenaran” dibawah seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.

Saya sering berfikir, kenapakah permasalahan sedemikian tidak pernah berkurangan malah semakin hari ianya semakin bertambah. Dimanakah silapnya Undang-Undang Keluarga Islam itu sehingga ianya tidak mampu membendung perlakuan sedemikian.

Sepanjang pemerhatian saya, kes-kes Pengesahan Perkahwinan kebanyakannya berpunca dari keengganan wali menerima calon suami waliannya dan dengan itu waliannya mencari jalan pintas disebabkan terpengaruh dengan pujukan orang-orang tertentu bagi meneruskan hasrat untuk berkahwin.

Saya percaya bagi kes-kes pengesahan perkahwinan poligami tanpa kebenaran pula, hampir seratus peratus perkahwinan yang dilangsungkan adalah disebabkan ingin menyembunyikan perkahwinan tersebut dari isteri atau pun isteri-isteri sedia ada.

Berdasarkan pengamatan peribadi saya, saya mendapati daripada 10 kes “Pengesahan Nikah”, 9 kes adalah yang membabitkan perkahwinan berpoligami.Apabila kita menyebutkan tentang “pengesahan perkahwinan” mahu pun “pengesahan perkahwinan poligami tanpa kebenaran” ianya seolah-olah tidak boleh dipisahkan dengan isu “kahwin lari”.

Sering berlaku ibu bapa tidak tahu-menahu langsung tentang tindakan kahwin lari oleh anak-anak mereka. Di sini timbul persoalan sama ada pernikahan yang dilangsungkan dengan menggunakan wali hakim ini, memang disebabkan ketiadaan wali ataupun lari daripada wali. Perkara yang lebih penting adalah penafian bapa sebagai wali itu sama ada munasabah atau tidak.

Kebanyakan dari pasangan wanita yang berkahwin lari sering menggunakan Wali Hakim dalam menyempurnakan rukun nikah mereka. Apabila ditanya apakah sebab mereka berkahwin dengan menggunakan Wali hakim, maka jawapan yang sering diberikan oleh mereka ialah ‘Wali Ghaib”.

Disebabkan wali ghaib iaitu wali tiada ditempat pernikahan iaitu berada lebih dari 2 marhalah maka mereka berpendapat perkahwinan itu bolehlah menggunakan Wali Hakim.
Apabila mereka menjawab sedemikian saya juga sering mempersoalkan kepada mereka, sama ada mereka mengetahui dimana wali mereka berada ketika mereka melangsungkan pernikahan itu dan adakah wali mereka juga tahu mereka berada di mana pada ketika itu ?.
Kebiasaanya, jawapan kembali kepada dua soalan tersebut akan dijawab oleh mereka bahawa mereka tahu di mana wali mereka berada tetapi wali mereka yang tidak menetahui dimana mereka berada pada ketika berlangsungnya perkahwinan itu.

Lantas dengan jawapan mereka itu saya katakan kembali kepada mereka bahawa, “adakah kamu bersetuju jika saya katakan bahawa yang ghaib bukanlah wali kamu, tetapi kamu yang ghaib dari wali kamu kerana kamu mengetahui dimana wali kamu berada tetapi dalam masa yang sama wali kamu tidak tahu kamu berada di mana?.

Soalan sedemikian seolah-olah tiada pilihan jawapan bagi mereka melainkan menjawab “Ya” sahaja. Tidak pernah pula saya mendengar jawapan dari mereka” Tidak”.Sering juga saya ingatkan pada mereka dengan kata-kata begini “Ingatlah! Di akhirat kelak akan ada sekumpulan manusia yang Allah masukkan mereka ke dalam botol dan lalu Allah campakkan mereka ke dalam api neraka lalu mereka bertanya pada Allah “Wahai Allah! Kenapa kamu mencampakkan kami ke dalam api neraka?. Lalu Allah s.w.t. menjawab “Aku tidak pun mencampakkan kamu ke dalam api nerakaku, tetapi aku mencampakkan botol itu ke dalam api neraka. Itulah balasan bagi orang yang terlalu banyak berhelah dalam hukum syarak.

Sebenarnya konsep dua marhalah bagi tujuan pernikahan sebegini hanya sesuai bagi keadaan perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara dan tidak memungkinkan bagi pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut untuk kembali ke tanah air dalam tempoh tertentu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 31 Akta Undang-undang Keluarga Islam.
Dalam keadaan ini, sekiranya perkahwinan yang hendak dilangsungkan itu tidak mencapai rukun nikah seperti lazimnya iaitu tidak adanya wali, maka barulah wali hakim akan mengambil tempat wali asal untuk menyempurnakan rukun nikah tersebut.

Namun, jika sekiranya wali yang layak itu ingin mewalikan pernikahan tersebut maka wajarlah wali tersebut “mewakilkan wali” kepada jurunikah yang akan mengakad nikahkan perkahwinan itu.Wajar untuk diketahui bahawa, pasangan yang hendak berkahwin tetapi kehendak mereka tidak direstui oleh orang tua, dalam keadaan mereka menganggap bahawa perhubungan tersebut tidak ada cacat celanya dari segi Syarak dan adat, undang-undang sebenarnya memberikan ruang yang selesa kepada mereka untuk meneruskan hasrat mulia tersebut.

Walaupun pada dasarnya doa restu orang tua itu sangat penting dan menjadi batu asas sesebuah perkahwinan yang hendak didirikan, akan tetapi garis panduan yang telah diberikan agama itu sebenarnya lebih mengatasi pertimbangan dan kata hati sesiapa.
Melalui pandangan para ulama, soal kufu atau sifat padan pasangan itu sepatutnya menjadi neraca untuk memilih pasangan. Pandangan para ulama bersifat sangat bernas untuk dijadikan sebagai panduan.

Seandainya hubungan tidak direstui disebabkan hal-hal yang remeh-temeh dan ia dibangkitkan oleh ahli keluarga, kahwin lari bukanlah penyelesaian yang bijak kerana Mahkamah Syariah bersedia untuk mendengar permohonan bagi kes seumpama ini.
Sebagaimana yang disebutkan oleh Seksyen 13(b) Enakmen Undang-Undang Keluaraga Islam, sekiranya wali enggan memberikan persetujuan tanpa alasan yang sempurna, Mahkamah akan membenarkan perkahwinan yang diniatkan itu untuk diteruskan dengan menggunakan wali hakim.

Bagi yang kahwin lari disebabkan berpoligami dengan niat menyembunyikannya dari pengetahuan isteri atau isteri-isteri sedia ada, peringatan saya; Adilkah kamu berbuat sedemikian terhadap isteri-isteri kamu sedangkan syarat berpoligami adalah mampu berlaku adil terhadap isteri-isteri?. Sampai bila kamu mahu menyembunyikan perkahwinan ? Adakah sehingga kamu mati dan anak-anak dan isteri-isteri kamu menghentak-hentakkan kaki mereka di atas kubur kamu? Atau sehingga berlakunya anak-anak kamu berkahwin sesama mereka ?. Akhir sekali, kamu fikirkanlah, mungkin kamu menganggap poligami itu sunnah Nabi, Tetapi dimanakah sunnah nabi apabila isteri-isteri baginda saling mengenali sesama mereka dalam diri kamu?. Nampaknya kamu membuat sunnah sendiri dimana “sunnah kamu ” ialah berpoligami dengan menyembunyikan perkahwinan kamu dari isteri atau isteri-isteri yang lain.

Inilah jalan penyelesaian yang sebenar, iaitu membawa masalah ke muka pengadilan. Di sini tidak timbul soal menjadi anak derhaka atau membelakangi orang tua kerana undang-undang mengatasi semua orang dan setiap orang tertakluk kepada undang-undang. Tanpa mengira siapa pun seseorang itu, ia perlu mematuhi undang-undang dan menerima keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Penyelesaian perlu dibuat bagi mengatasi masalah yang tidak kunjung surut ini dan salah satu jalan penyelesaiannya ini adalah dengan menjalankan kajian imperikal mengenai hukum ‘kahwin lari’. Kajian ini kemudian seharusnya dipanjangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dengan melihat semula hukum yang telah dikeluarkan pada Fatwa Kebangsaan Kali ke-52, iaitu pada tahun 2002 yang lalu.

Ingatlah, Islam Itu mudah, tetapi janganlah kita terlalu ambil mudah dalam hal-hal Agama yang akhirnya cara yang kita pilih akan menyebabkan kehendak sebenar Hukum Syarak tidak dipenuhi dan masyarakat menjadi caca merba.

Oleh: Mohd Ridzwan Bin Ghazali
Pegawai Syariah, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka

Monday, February 28, 2011

Peguam Syarie...Bertindak membantu Mahkamah


Apabila memperkatakan mengenai peguam syarie, kita memperkatakan mereka yang membela anak guamnya di Mahkamah Syariah dalam kes di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.Hakikatnya peguam syarie ada tugas tertentu dan tugas utamanya ialah mewakili pihak yang terbabit dalam prosiding perbicaraan dengan menghadirkan diri bagi pihak mereka, membela pelanggan secara lisan atau bertulis. Ini bermakna tugas peguam merangkumi mengemuka, membela dan menjadi wakil kepada pihak yang terbabit dalam sesuatu kes.

Menurut Almarhum Syaikh Mohd Abu Zuhrah mengenai peguam syarie, "seorang yang alim mengenai undang-undang yang mampu mencari kebenaran pihak yang benar dan menolak kepalsuan pihak yang bersalah bersandarkan kepada ilmunya mengikut kehendak undang-undang dalam menegakkan hak dan kewajipan dan pengekalan dan pengukuhan kepada kepada kebebasan awam."

Ini bermakna peguam syarie mempunyai tugas penting selain mewakili anak guamnya di mahkamah iaitu dengan membantu mahkamah menegakkan keadilan dengan meletakkan hak kepada yang berhak.

Dengan kata lain, peguam syarie sebenarnya adalah pegawai mahkamah yang membantu hakim mengendalikan kes di mahkamah syariah supaya mahkamah dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan. Tanpa bantuan peguam syarie akan menyukarkan mahkamah untuk membuat sebarang keputusan yang tepat dan adil kerana mahkamah berperanan untuk mendengar dan memutuskan kes saja.

Peguam bertindak membentangkan fakta kes pihak yang bertikai, membentangkan daripada aspek perundangan dan prosedur kepada mahkamah supaya mahkamah dapat memberikan keputusan yang tepat dan adil berlandaskan hukum syarak. Justeru, peguam syarie perlu mempersiapkan diri dengan ilmu untuk mencari kebenaran serta menolak sebarang kebatilan. Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh peguam syarie sebelum dapat mewakili anak guamnya.

Allahyarham Prof Datuk Dr Mahmud Saedon Awang Othman berkata, peguam syarie hendaklah seorang yang berakhlak. Ini bermakna peguam syarie perlu memiliki akhlak serta budi pekerti yang mulia seperti dituntut hukum syarak.

Peguam syarie hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan anak guamnya dengan jujur serta niat ikhlas melakukan ibadat. Niat penting bagi mengelakkan hak anak guam diabaikan. Selain itu, peguam syarie hendaklah mempunyai pengetahuan syariah yang mendalam daripada aspek Usul Fiqh, Qawaid Fiqhiyyah, memahami Maqasid Syariah dan sebagainya.

Peguam syarie yang tidak mempunyai pengetahuan syariah mendalam akan menghadapi kesukaran mendapat membantu hakim dalam menegakkan keadilan terutama yang berhubung undang-undang syariah diamalkan di mahkamah syariah. Peguam syarie, memahami undang-undang prosedur di Mahkamah Syariah yang terbahagi kepada dua iaitu prosedur atau tatacara mal dan prosedur atau tatacara jenayah.

Tanpa memahami kedua-dua prosedur ini, peguam syarie dianggap gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai peguam syarie. Peguam syarie hendaklah mengetahui Undang-Undang Keterangan Islam dan Kanun Jenayah Syariah yang diterima pakai di mahkamah syariah, selain mengetahui undang-undang berkaitan tugasan seharian dan memahami enakmen atau akta Keluarga Islam, Pentadbiran Agama Islam, Perlembagaan Malaysia, Kanun Tanah Negara, Akta KWSP dan undang-undang lain yang berkaitan.

Selain itu pengetahuan serta pemahaman berkaitan dengan Arahan Amalan Mahkamah Syariah yang dikeluarkan oleh JKSM juga perlu bagi memudahkan urusan pentadbiran serta pengamalan di mahkamah syariah lebih berkesan. Mengetahui dan memahami undang-undang lain berkaitan arahan amalan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan di samping menyelesaikan permasalahan yang timbul lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan permasalahan anak guam yang semakin kompleks hari ini.

Justeru, bagi melahirkan peguam syarie yang cemerlang hendaklah menyahut cabaran dengan mempertingkatkan ilmu pengetahuan terutama berkaitan perundangan syariah serta mendalami ilmu lain berkaitan tugasan mereka. Ini adalah kerana peguam syarie mempunyai tugasan berat selain mendokong amanah anak guam, mereka bertanggungjawab membantu hakim di mahkamah menegakkan keadilan.

Selain itu, akhlak sebagai peguam syarie hendaklah dijaga dan dihayati supaya profesion ini lebih dihormati dan disegani bukan saja daripada aspek profesion tetapi nilai mulia yang ditampilkan mereka. Hayatilah kisah Ka'b di mana Ka'b berjaya membantu Khalifah Umar memahami pengaduan seorang wanita mengenai suaminya yang gagal memberikan layanan wajib terhadapnya.

Kisah Ibn Abbas membela seorang perempuan yang disabitkan kesalahan melakukan zina dan hendak direjam. Dengan pembelaan itu, Khalifah Uthman membetulkan hukuman yang dijatuhkan dengan membebaskan perempuan berkenaan walaupun sebelum ini sudah berikrar di hadapannya bahawa dia melakukan zina.

KAEDAH-KAEDAH PEGUAM SYARIE 1995
BAHAGIAN III - PEGUAM SYARIE

Seksyen 8. Kelayakan Peguam Syarie.(1) Tertakluk kepada subkaedah (2), mana-mana orang memenuhi syarat-syarat yang berikut adalah layak untuk menjadi Peguam Syarie-
    (a) (i) Seseorang yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah yang diiktiraf oleh Majlis dari mana-mana institut pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan; atau
      (ii) Seseorang Peguambela atau Peguamcara yang berdaftar di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976[Akta 166]; dan
    (b) (i) Telah mendapat latihan profesional yang diiktiraf oleh Majlis di dalam bidang kehakiman Islam, atau
      (ii) Berkemahiran dalam Hukum Syarak; dan
    (c) Berkelakuan baik dan-
      (i) Tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di mana-mana tempat lain atas apa-apa kesalahan Jenayah (di bawah mana-mana undang-undang bertulis) yang menjadikannya tidak layak menjadi Peguam Syarie khususnya. Tetapi tidak terhad kepada kesemua kesalahan berkenaan dengan penipuan atau kecurangan; atau (ii) Bukan sedang menjadi bankkrap; atau (iii) Tidak pernah didapati bersalah atas apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang dinyatakan di dalam paragraf (a), (b), (c), (e), (f), (h), (k) atau (l) Sub Seksyen (6). Seksyen 33 Akta Kebankrapan 1967[Akta 55]; dan
    (d) Seseorang warganegara atau pemastautin tetap Malaysia.

(2) Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis dan Peguam Persekutuan Malaysia adalah dianggap sebagai telah dilantik oleh Majlis di bawah Kaedah-kaedah ini sebagai Peguam Syarie dan boleh jika tugas rasminya memerlukan, mewakili mana-mana pihak dalam mana-mana Mahkamah.

Peguam Syarie adalah peguam yang beramal di Mahkamah Syariah. Sebagaimana peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kedudukan sama taraf antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil, demikian juga dengan kedudukan dan taraf Peguam Syarie adalah sama seperti Peguambela dan Peguamcara.

Peguam Syarie di Mahkamah Syariah adalah lebih unik dan sistematik kerana ia berasaskan kepada prinsip `wakalah bi al-khusumah’. Wakalah, perkataan bahasa Arab yang bererti menjaga, melengkapkan dan menyerah. Apabila seseorang itu dikatakan `wakil’ ertinya orang itu adalah sebagai penjaga, penjamin atau pelengkap ataupun kepadanya diserahkan sesuatu hal untuk dilakukannya.

Banyak dalil dan bukti bahawa Islam mengiktiraf peranan peguam Syarie dalam mewakili anak guam di dalam suatu pertikaian. Antaranya dalam kisah Nabi Yusuf a.s. sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran (Surah Yusuf : 27), apabila Allah s.w.t. berfirman menunjukkan cara yang dicadangkan oleh keluarga Zulaikha bagi membuktikan tuduhan Nabi Yusuf cuba memperkosa Zulaikha. Dalam kisah ashabul kahfi yang tertidur selama beratus-ratus tahun, dan apabila terjaga, mereka telah mengutus seorang daripada mereka sebagai wakil untuk membeli makanan (Surah al-Kahfi : 19). Juga dalam kisah Nabi Yusuf a.s. yang menawarkan diri baginda sebagai wakil kepada raja untuk mentadbir dan menjaga perbendaharaan Mesir, kerana baginda mempunyai keahlian dan kepakaran dalam perkara tersebut. (Surah al-Kahfi : 55).

Diriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w. pernah mengutus sahabat bernama al-Su`at untuk mengutip zakat. Baginda juga mewakilkan sahabat `Amru bin Umaiyyah al-Damiri dalam menikahkan Ummu Habibah bin Abu Sufyan. Dalam satu kisah pada zaman Umar r.a., seorang wanita datang kepadanya dan membuat ikrar yang dia telah berzina. Ali r.a. kemudiannya bertindak sebagai peguam, telah meneliti kes tersebut dan didapati perempuan tersebut telah diperkosa. Penzinaan berlaku bukan dengan kerelaannya tetapi untuk menyelamatkan dirinya dari kebuluran (menukarkan susu kepunyaan seorang lelaki dengan dirinya). Wanita itu telah dibebaskan. Dalam kisah yang lain, seorang wanita yang didakwa dicabul oleh seorang lelaki, dan membawa bukti air mani ditubuh dan kainnya Umar r.a. telah meminta pendapat Ali. Ali mengambil air mendidih dan disiramkan ke atas bekas yang didakwa air mani lelaki tersebut. Cecair itu menjadi beku dan putih dan rasanya seperti telur. Akhirnya wanita itu mengakui itu adalah tuduhan palsu dan tipu dayanya semata-mata.

Peguam Syarie adalah dilantik oleh Majlis Agama Islam, menurut Kaedah-Kaedah Peguam Syarie dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri. Menurut Seksyen 9, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Pulau Pinang 1997, kelayakan untuk menjadi seorang Peguam Syarie ialah - seorang Pegawai Undang-Undang Kerajaan Persekutuan ; seorang Pengamal Undang-Undang yang memiliki sijil yang sah dikeluarkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang, 1976 [Akta 166] ; atau seseorang yang telah mencapai umur 21 tahun ; dan seseorang yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Sarjana Muda Undang-Undang yang diiktiraf oleh MAINPP dari mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan ; dan telah mendapat latihan profesional yang diiktirafkan di dalam bidang kehakiman Islam ; atau berkemahiran dalam Hukum Syarak ; dan berkelakuan baik, dan tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di mana-mana tempat lain atas apa-apa kesalahan jenayah ; atau tidak pernah dihukum menjadi seorang bankrap ; atau tidak pernah didapati bersalah atas apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang dinyatakan dalam Akta Kebankrapan 1967 [Akta 55] ; dan seorang warganegara Malaysia.

Menurut Kaedah ini, seseorang yang telah digugurkan namanya dari daftar Peguambela dan Peguamcara menurut Akta Profesion Undang-Undang 1976 adalah tidak layak untuk diterima masuk sebagai Peguam Syarie. Bagi seseorang yang telah diterima masuk sebagai Peguam Syarie sebelum beliau digugurkan sebagai Peguambela dan Peguamcara menurut Akta 166 tersebut, kedudukannya sebagai Peguam Syarie adalah tertakluk kepada aduan dan tindakan tatatertib yang akan dikenakan oleh Jawatankuasa Peguam Syarie di bawah Majli Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), menurut Seksyen 18 hingga 20 Kaedah tersebut.

Sebab dan bukti yang wajar boleh ditunjukkan kepada Jawatankuasa bahawa Peguam Syarie itu telah disabitkan atas suatu kesalahan jenayah di bawah mana-mana undang-undang bertulis, atau dia telah bersalah untuk kelakuan curang dalam menjalankan kewajipan profesionalnya atau kelakuan yang tak sesuai sebagai seorang Peguam Syarie ; atau apa-apa kesalahan lain yang diperuntukkan oleh Seksyen 18 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie tersebut. Apa-apa aduan mengenai kelakuan seseorang Peguam Syarie hendaklah dibuat secara bertulis kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie di bawah MAINPP [Seksyen 19]. Pengerusi Jawatankuasa akan mengadakan siasatan secara yang difikirkan adil dan munasabah dengan dengan memberi ruang kepada Peguam yang diadu untuk memberikan penjelasan dan membela diri. Setelah siasatan selesai, Jawatankuasa hendaklah memberi suatu laporan tentang siasatan kepada MAINPP sama ada Peguam Syarie berkenaan adalah bersalah atau tidak atas kesalahan yang diadukan itu [Seksyen 20].

Menurut Seksyen 21, MAINPP berkuasa membuat apa-apa perintah-perintah samada menggugurkan nama Peguam Syarie berkenaan daripada Daftar Peguam Syarie atau menggantung Peguam Syarie itu daripada menjalankan amalan bagi suatu tempoh tertentu atau memberi amaran atau membuat apa-apa perintah yang lain yang difikirkan adil dan munasabah.

Jelaslah bahawa Peguam Syarie bukanlah profesion kelas kedua yang membenarkan seseorang Peguambela dan Peguamcara yang telah digugurkan oleh Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk mencari jalan keluar dan menangguk kesempatan di bidang Syariah ini. Syarat-syarat kelayakan dan penerimaan masuk sebagai Peguam Syarie adalah amat ketat dan berwibawa, dan tidak memungkinkan seseorang yang telah melakukan tindakan atau kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib diterima sebagai salah seorang pengamal profesion Peguam Syarie

 PGSM

Nusyuz..... Suami atau Isteri?


Nusyuz secara bahasa adalah ketidakpatuhan, diambil dari an-Nasyz yang berarti tanah yang tinggi, ketidakpatuhan disebut nusyuz karena pelakunya merasa lebih tinggi sehingga dia tidak merasa perlu untuk patuh.

Nusyuz dalam istilah rumah tangga adalah kebencian suami isteri kepada pasangannya. Wanita itu nusyuz kepada suaminya jika dia tidak patuh kepadanya, suami nusyuz kepada isteri jika dia memperlakukannya dengan buruk dan berpaling darinya.

Nusyuz adalah keadaan yang terjadi pada suami atau isteri dalam bentuk ketidakharmonian, kerenggangan, ketidaksukaan, penolakan, ketidakpatuhan dan kedurhakaan dari isteri atau berpaling dari suami.

Allah Subhanahu waTa’ala telah mensyariatkan sebuah solusi bijak untuk mengatasi problem rumah tangga ini sesuai dengan perkembangan dan kondisi lapangan dengan menggunakan kelembutan, ketenangan dan kesabaran
 
Nusyuz sering dikaitkan kepada isteri kerana nusyuz diberi makna sebagai derhaka kepada suami. Umumnya, nusyuz boleh berlaku melalui dua cara iaitu perbuatan dan perkataan. Nusyuz perkataan seperti isteri bercakap tanpa adab ataupun tidak sopan seperti menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suami.

Nusyuz isteri dari segi perbuatan seperti menolak pelawaan suami untuk hubungan kelamin tanpa sebab munasabah. Selain itu, isteri keluar dari rumah tanpa kebenaran suami kecuali untuk tujuan syarie yang dimaklumi seperti tujuan keselamatan, membeli barang keperluan, kesihatan dan pendidikan. Isteri yang enggan bermusafir dengan suaminya juga dikira nusyuz.

Suami juga boleh dianggap nusyuz apabila tidak mahu bercakap dengan isteri atau bercakap tanpa adab seperti menengking, suami mengesyaki isteri tanpa sebab munasabah dan mengarahkan isteri melakukan perkara melanggar syarak. Nusyuz suami dari segi perbuatan seperti meninggalkan hubungan kelamin dengan isteri tanpa sebab dibenarkan syarak. Suami melakukan perbuatan kejam dan zalim sama ada fizikal atau emosi terhadap isteri. Suami tidak menyediakan nafkah terhadap isterinya atau melakukan liwat semasa melakukan hubungan kelamin.

Bagaimanapun, konflik biasa atau ketidakfahaman terhadap sesuatu perkara belum boleh dikatakan sebagai nusyuz. Nusyuz lebih kepada perlanggaran terhadap tanggungjawab suami isteri secara melampau.

Antara sebab dikatakan nusyuz adalah tidak bertanggungjawab terhadap hubungan suami isteri dan kekeluargaan. Selain itu, ia juga berpunca daripada kurangnya tolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain. 

Apabila diperkatakan tentang NUSYUZ, sudah pasti di kotak pemikiran kita yang nusyuz mesti adalah ISTERI. Masyarakat kita sememangnya sudah diterapkan dengan mentaliti yang sebegitu. Sifat NUSYUZ seorang SUAMI adalah suatu yang asing di kalangan masyarakat.

" Dan jika seorang isteri khuatir suaminya akan nusyuz atau bersikap tidak acuh, maka keduanya dapat mengadakan perdamaian yang sebenarnya, dan perdamaian itu lebih baik(bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu memperbaiki(pergaulan dengan isterimu) dan memelihara dirimu(dari nusyuz dan sikap acuh tak acuh), maka sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan."
(surah an-nisa:128)


Suami dan isteri umpama pakaian yang saling berperanan antara satu sama lain untuk tujuan kasih sayang, perlindungan dan juga kemanusiaan. Masakan sesebuah rumahtangga mampu tenang sekiranya suami dan isteri seringkali berbalah antara satu sama lain dan hal ini sama sekali sudah menyalahi matlamat asal perkahwinan yang mana perkahwinan ini adalah untuk mendatangkan ketenangan di antara suami dan isteri.

Dasarwarsa ini kita menyaksikan banyak rumahtangga bergolak kerana suami mahupun isteri saling menyakiti antara satu sama lain. Suami curang sudah biasa kita dengar, tapi tak kurangnya dengan isteri curang jugak sudah hampir sama byknya.

Sebenarnya tiada definisi yang tepat untuk menggambarkan apa itu NUSYUZ tapi para FUQAHA' telah memberi pengertian dengan menyatakan bentuk-bentuk perbuatan yang dikatakan sebagai nusyuz.NUSYUZ itu adalah perbuatan yang tak disukai oleh pasangan, melampau hak, berlaku permusuhan, kebencian dan layanan yang tidak sewajarnya.

KITA sering dengar perkataan 'nusyuz' selalunya diguna-pakai kepada isteri yang derhaka/tidak taat kepada suami tanpa keuzuran syarie. Kali ini saya kongsikan pula, nusyuz tidak tertakluk kepada isteri samata-mata, tetapi suami juga boleh nusyuz.

Isu ini sebenarnya sudah pun diterangkan dalam entry Suami juga boleh nusyuz. Dikongsikan sedutan kertas-kerja Ustaz Alias Othman bertajuk: ‘Huraian Al-Quran tentang nusyuz suami dan isteri: Pengertian dan penyelesaian’ yang dibentangkan semasa Wacana Wanita & Keadilan Syariah, anjuran Wanita JIM & JAWI pada 26 Mac yang lalu.Insya Allah, semoga tiada antara para suami ahli JIM yang tergolong dalam golongan suami yg nusyuz sebagaimana yang dihuraikan dalam kertaskerja ini.

Nusyuz suami
وإن امرأة خافت من بعلها نشوزا أو اعراضا فلا جناح عليهما أن يصلحا بينهما صلحا والصلح خير – النساء 128
“Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan suluh yang sebenar-benarnya dan suluh itu lebih baik (bagi mereka)....”
Nusyuz suami disebut dalam ayat 128 surah al-Nisa’ yang telah dinukilkan di atas.

Berbagai-bagai versi riwayat yang menjelaskan latar belakang ayat ini diturunkan, antara lain ialah kebimbangan Saudah Binti Zam’ah dia akan diceraikan Rasulullah SAW, lantas dia berkata kepada Baginda SAW, “Janganlah ceraikan saya, kekalkanlah saya (sebagai isteri).Dan berikanlah satu hari giliran saya kepada ‘Aisyah.” Rasulullah SAW menerima tawaran tersebut lalu ayat ini diturunkan. (al-Qurtubi, op.cit 5:402).

Menurut Ibn Abi Malikah ayat ini menolak pandangan sesetengah orang bahawa apabila seorang lelaki telah menghabiskan usia muda seorang wanita dan setelah tua lelaki terbabit tidak lagi berhak menggantikannya dengan wanita lain (Ibn ‘Arabi, Ahkam al-Quran.1:504, Qurtubi, op.cit 5:404).
Beliau melihat isu ini positif kerana Allah telah memberi satu jalan keluar di saat tiada pilihan bagi lelaki yang tidak lagi mahu mengekalkan status isterinya sebagai isteri.

Sewaktu ditanya mengenai maksud ayat ini, Saidina Ali karramalLahu wajhah berkata: seorang lelaki punya perempuan di bawah tanggungannya (isteri), dia tidak lagi tertarik kepadanya oleh kerana susuk tubuhnya, usianya yang telah tua, akhlaknya yang buruk atau kecacatannya.Wanita itu tidak mahu dia diceraikan, jika dia memberikan kepada suaminya sesuatu, harta atau hari gilirannya dia boleh melakukannya.” (Said Hawa, al-Asas Fi al-Tafsir 2:1195).

Dalam ayat ini terdapat dua istilah: nusyuz نشوز dan ‘ie’radh اعراض.

1. Nusyuz bermaksud mengabaikan isteri dengan menghalang dirinya daripada isteri, tidak memberi nafkah, menyakitinya dengan maki hamun atau memukulnya.
2. ‘ie’radh kurang bercakap dan bermesra dengan isteri disebabkan usianya yang telah tua, susuk tubuhnya yang tidak lagi menarik, buruk akhlak, jemu atau ingin mencari yang lain. (said Hawa, ibid 2:1194)

Dalam mentafsirkan ayat ini, al-Qurtubi menjelaskan bahawa sekiranya isteri berpendapat suaminya akan bersikap nusyuz (ingkar dan menjauhkan diri) atau ‘ie’radh (tidak bertegur sapa dan tidak bermesra) dia bolehlah menawarkan suluh kepada suaminya.Suluh boleh berlaku melalui tawaran isteri dengan menggugurkan sebahagian haknya sebagai ganti daripada dia diceraikan.Suluh juga berlaku melalui tawaran oleh suami untuk memberikan kepada isterinya kadar tertentu harta sebagai ganti dia melebihkan isteri lain. (al-Qurtubi, op.cit 5:423-424)

Isunya, jika isteri menawarkan suluh dan diterima suami atau suami menawarkan suluh dan diterima isteri.Namun jika isteri tidak menawarkan suluh atau isteri tidak menerima tawaran suluh suami dan isteri juga tidak nusyuz, dalam keadan ini suami wajib berlaku adil dan memberikan semua hak isteri dan melaksanakan semua kewajipannya sebagai suami.

Dari perbincangan ini dapat dirumuskan bahawa suami juga melakukan nusyuz. Suami dianggap nusyuz apabila dia cuai dalam melaksanakan kewajipan rumahtangga.Menurut Muhammad Qutb dan Dr. Muhammad ‘Uqlah kalau isteri dianggap telah nusyuz apabila dia derhaka kepada suami, tidak menunaikan kewajipan dan keluar rumah tanpa izin suami maka suami juga boleh dianggap telah nusyuz apabila dia enggan memberi nafkah kepada isteri. (Muhammad Qutb, Syubhat Haula al-Islam 128 dan Dr. Muhammad `Uqlah, Nizam al-Usrah Fi al-Islam 2:184)

Dr. Mustafa al-Khin menganggap suami nusyuz apabila pengabaian dan keengganan berlaku di pihak suami dengan dia tidak menunaikan giliran, tidak memberi nafkah, bertindak kasar dengan perkataan atau perbuatan. (Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha, al-Fiqh al-Manhaji2; 105).

Penjelasan-penjelasan ini cukup untuk meyakinkan kita bahawa suami juga berlaku nusyuz dan memahamkan kita apa maksud nusyuz suami.

Bila suami dianggap nusyuz
Suami nusyuz bolehlah ditakrifkan sebagai: suami yang enggan menunaikan hak spiritual, material atau bertindak kasar terhadap isteri.Hak spiritual isteri ialah komunikasi yang baik, memenuhi kepuasan seksual, memberi pendidikan agama, dicemburui dan adil antara para isteri, tidak dihina dan dikasari.

Hak material isteri ialah maskahwin, nafkah dan mut’ah jika berlaku perceraian tanpa nusyuz isteri. (al-Qurtubi, op.cit 5:422-324, Dr. Muhamad `Uqlah, op.cit 2:84, Muhammad Qutb, Syubhat Haula al-Islam 124).

Tindakan isteri jika suami nusyuz
1. Jika suami nusyuz isteri mestilah bersabar.
2. Memperingatkannya tentang kewajipan husnu al-mu’asyarah seperti disebut dalam ayat 18 surah al-Nisa’ وعاشروهن بالمعروف .
3. Memperingatkannya hadis Rasulullah yang menyatakan lelaki yang paling baik ialah suami yang paling baik terhadap isterinya خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهله.
4. Memperingatkannya tentang akibat kezalimannya terhadap isteri.

Jika ini tidak berjaya isteri berhak membawa kesnya kepada kadi untuk dia mendapatkan semua haknya, kerana kadi dilantik untuk mengembalikan hak kepada yang empunya hak dan kerana isteri tidak berdaya mendapatkan haknya tanpa kuasa kadi. Kadi bertanggungjawab memaksanya menyempurnakan hak isteri dan menghentikan kezalimannya.

Jika ini juga tidak berhasil dan suami masih meneruskan nusyuznya dan bertindak memukul dan memaki hamun kadi hendaklah menjatuhkan hukuman taazir ke atasnya. Jika ini juga tidak berhasil, maka hakam hendaklah dilantik bagi berusaha melakukan suluh.Jika usaha suluh juga gagal, penyelesaian terakhir ialah membubarkan perkahwinan (cerai).Dari Mu'adz r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Dan jagalah dirimu dari doa orang-orang teraniaya, kerana antara dia dengan Allah tidak ada dinding." (Shahih Muslim)

mstar