Friday, November 5, 2010

HUKUMAN SEBAT

Negeri Perak

(Enakmen Jenayah Syariah (Syariah) 1992

1. Perhubungan Muabbad Dan Ghairu Muabbad (Sek. 45)
2. Melacurkan Isteri (Sek. 47)
3. Persetubuhan Haram (Sek. 48)

Denda tidak melebihi RM 5,000-00 @ penjara tidak melebihi tiga tahun @ kedua-duanya dan boleh juga dikenakan sebat tidak lebih 6 kali sebat



REALITI PERLAKSANAAN

Menurut peruntukan hukum syarak dibawah jenayah syariah pesalah yang disabitkan kesalahan yang didakwa di Mahkamah Syariah di bawah kes jenayah Syariah boleh dikenakan hukuman sebat. Hukuman ini adalah tertakluk kepada jenis- jenis kesalahan yang dilakukan oleh pesalah tersebut seperti kesalahan berzina bagi penzina yang ghair muhsan, menuduh orang lain berzina (qazaf), minum arak, dan lain-lain kesalahan yang boleh dikenakan hukuman ta’zir yang tidak ditentukan oleh syarak kadar atau bentuk hukuman itu.

Hukuman Sebat

Hukuman sebat terbahagi kepada dua bahagian:

(i) Sebat dalam masalah hudud iaitu seksaan yang telah ditetapkan oleh Allah yang wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak dan perintah Allah Subhanahu Wataala.

(ii) Sebat dalam masalah ta’zir iaitu kesalahan–kesalahan yang dikenakan dengan satu atau lebih daripada seksaan–seksaan ta’zir, selain daripada seksaan hudud, qisas, diat dan kaffarah. Ta’zir bererti dera yang menjadi pengajaran.

Syarak tidak menetapkan sesuatu seksaan atau hukuman tertentu bagi kesalahan ta’zir dan cukup serta memadai dengan menetapkan kumpulan hukuman dari serendahrendahnya kepada seberat- beratnya dan sesudah itu diserahkan kepada pihak pemerintah untuk memilih dan menentukan mana- mana hukum yang sesuai mengikut suasana dan keadaan pesalah itu sendiri.

Jenis- jenis kesalahan hudud

Jenis- jenis kesalahan hudud yang telah ditetapkan hukuman sebat ialah:
 
(i) Zina

Firman Allah di dalam surah Al-Nur ayat 2:

Maksudnya: Orang- orang perempuan dan lelaki yang berzina hendaklah dijatuhkan hukuman sebat tiap- tiap seorang dari keduanya dengan seratus kali sebat.

Yang dimaksudkan dengan penzina perempuan dengan penzina lelaki yang dikenakan hukuman sebat seratus kali itu ialah khusus untuk penzina yang belum berkahwin (Ghair muhsan) ertinya yang belum merasai persetubuhan halal iaitu dengan perkahwinan. Adapun penzina yang telah berkahwin (muhsan) hukumannya
ialah rejam.
 
Ini adalah berdasarkan kepada hadis berikut:

Maksudnya: Seorang lelaki telah datang menemui Rasul (s.a.w) semasa baginda berada di dalam masjid lalu beliau memanggil Rasulullah (s.a.w) seraya berkata:

wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah melakukan perbuatan zina maka Rasulullah berpaling daripadanya sehingga diulang pengakuannya sebanyak empat kali. Maka apabila lelaki berkenaan telah membuat pengakuan keatas dirinya sebanyak empat kali Rasulullah (s.a.w) pun memanggilnya lalu bersabda : adakah engkau gila? Jawab lelaki itu: tidak. Nabi bersabda lagi : adakah engkau telah berkahwin? Jawab lelaki itu: Ya. Maka nabi bersabda: Bawalah dia dan jalankan hukuman rejam.

(ii) Qazaf
Firman Allah di dalam surah Al- Nur ayat 4:

Maksudnya: Dan mereka yang melemparkan tuduhan zina keatas perempuan perempuan yang bersih, kemudian mereka tidak dapat membawa dan membuktikan dengan empat orang saksi maka hendaklah dikenakan keatas mereka yang menuduh sebat lapan puluh kali.

Mengikut kaedah dalam perundangan Islam bahawa sesiapa yang menuduh seseorang dengan apa jua perbuatan yang haram tertanggung keatasnya (wajib) membuktikan kebenarannya. Dan jika gagal atau enggan hendaklah dikenakan seksaan. Melemparkan tuduhan zina keatas seseorang adalah perbuatan yang menjatuhkan maruah dan kehormatan seseorang. Sangat berat untuk ditanggung oleh mana- mana orang yang tidak bersalah. Sangat banyak akibat yang timbul dari sesuatu tuduhan zina yang melulu keatas seseorang .Perbuatan itu akan melahirkan kemarahan, persengketaan serta meruntuhkan rumahtangga dan masyarakat. Anak- anak yang lahir daripada seseorang yang dituduh berzina akan menjadi mangsa. Kerukunan dan kebahagiaan suami isteri akan roboh dan hancur berkecai. Oleh itu amat wajar orang yang membuat tuduhan palsu itu dihukum sebat dengan lapan puluh kali sebatan.

(iii) Minum arak
Firman Allah di dalam surah Al- Maaidah ayat 90:

Maksudnya: Wahai orang- orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, patung dan menenung nasib adalah keji dan kotor dari pekerjaan syaitan, maka hendaklah kamu jauhi semuanya itu.

Sabda Nabi (s.a.w):
Maksudnya: Setiap yang memabukkan adalah arak dan semua jenis arak hukumnya haram.

Nabi bersabda lagi:
Maksudnya: Dari Abu Said al- Khudri dan Ali bahawa nabi (s.a.w) telah menghukum empat puluh kali sebat dalam kes minum arak.

Islam mengharamkan arak kerana ianya merupakan ibu segala keburukan, kejahatan dan sebagainya. Ianya boleh membinasakan diri, akal dan harta disamping perbuatan orang yang selalu minum arak itu amat keji sama seperti orang yang menyembah berhala.

Sabda Nabi (s.a.w):
Maksudnya: Orang yang ketagih arak itu adalah seperti penyembah berhala.

Oleh kerana minum arak itu adalah perbuatan dan pekerjaan syaitan yang amat keji, maka Rasulullah (s.a.w) telah menghukum keatas peminum arak dengan empat puluh kali sebat samada peminum itu mabuk atau pun tidak.

Kesalahan ta’zir.

Firman Allah:
Maksudnya:
Dan wanita- wanita yang kamu takuti nusyuznya (derhakanya) maka nasihatilah mereka dan pulaukanlah diri dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka.

Ayat tersebut merupakan hujah dan dalil bagi ahli- ahli perundangan Islam bahawa hukuman sebat boleh dikenakan keatas kesalahan- kesalahan ta’zir dan sebat merupakan hukuman utama dalam kesalahan- kesalahan ta’zir yang serius untuk memberi pengajaran yang tepat dan berkesan kepada penjenayah- penjenayah yang merbahaya yang sudah sebati dengan kesalahan- kesalahan itu. 

Keistimewaan hukuman ini ianya tidak membebankan pihak berkuasa ( kerajaan ) dan tidak menghalang pesalah sesudah menjalani hukuman dari berusaha menjalankan pekerjaan dan sebagainya dan tidak pula terpaksa meninggal dan membiarkan ahli keluarganya menempuh berbagai bagai kesusahan dan keperitan hidup mencari nafkah dan sebagainya sepertimana dalam kes hukuman penjara kerana hukuman sebat dilaksanakan serta merta setelah
disabitkan kesalahannya dan sesudah itu dibebaskannya untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan biasa bersama- sama keluarganya.

2. Pelaksanaan hukuman sebat
Hukuman sebat wajib dilaksanakan oleh Hakim, kerana hukuman itu adalah menjadi hak pemerintah atau kerajaan di mana Hakim adalah menjadi orang yang bertanggungjawab bagi pihak pemerintah atau kerajaan secara umum terhadap rakyat di bawah wilayahnya.

Sungguhpun demikian, pihak Hakim harus melantik orang yang khusus dan benar- benar amanah dan bertanggungjawab sebagai wakilnya untuk melaksanakan hukuman itu dengan disaksikan oleh Pegawai- pegawai Penguatkuasa dari Jabatan Ugama Islam.

3. Hukuman sebat dalam kes ta’zir.
Mengikut peruntukkan hukum syarak dalam kesalahan jenayah syariah seseorang yang melakukan sesuatu jenayah yang bukan dikira sebagai kes hudud tidak boleh dikenakan hukuman sebat lebih daripada sepuluh sebatan. Ini adalah berdasarkan kepada Hadis Rasullullah (s.a.w) yang bersabda:

Maksudnya: janganlah disebat lebih sepuluh kali sebatan kecuali dalam kes had daripada had- had Allah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut ahli tafsir muhadithin (ulama- ulama hadis) yang dimaksudkan dengan had di dalam hadis tersebut ialah kes-kes yang dikira sebagai kes hudud yang mana hukumannya telah ditentukan dan ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah (s.a.w). oleh yang demikian hadis yang diriwayatkan oleh Buraidah al-Ansari ini adalah mengandungi tiga tafsiran

(i) Orang yang melakukan jenayah yang tidak dikira sebagai kes hudud boleh dikenakan hukuman ta’zir iaitu disebat tidak lebih daripada sepuluh kali sebatan.

(ii) Orang yang melakukan salah satu jenayah yang dikira sebagai kes hudud dengan sengaja boleh dikenakan hukuman sebat lebih dari sepuluh sebatan sehingga sampai ke batas sebat yang ditentukan jumlahnya oleh syarak jika hukumannya hukum sebat.

(iii) Orang yang terlibat secara langsung dengan orang yang melakukan salah satu daripada jenayah- jenayah yang dikira sebagai kes hudud boleh dikenakan hukuman sebat lebih dari sepuluh kali sebat tetapi jangan melebihi sebagaimana yang ditentukan oleh hukum syarak.

Oleh yang demikian, sesuatu kes yang tidak dikira sebagai kes hudud tidak boleh dikenakan hukuman sebat sampai ke batas hukuman dalam kes hudud sebagai hukuman ta’zir supaya tidak melampaui batas yang telah ditentukan oleh syarak. Sabda Rasulullah (s.a.w) di dalam hadisnya yang diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir r.a katanya: Rasulullah (s.a.w) bersabda:

Maksudnya:
sesiapa yang menyampaikan (sesuatu hukuman) kepada hukuman had dalam kes yang bukan kes had, maka orang itu adalah termasuk di dalam golongan orang yang melampaui batas. (Riwayat Baihaqi)

4. Tujuan hukuman sebat

Hukuman sebat adalah diantara hukuman yang disyariatkan dalam perundangan islam.
di antara tujuan melaksanakannya ialah

(i) Sesiapa yang dikenakan hukuman atau menyaksikan akan merasa takut dan gerun untuk mendekati kesalahan atau jenayah itu.
(ii) Membersihkan masyarakat dari pada perbuatan dan tabiat yang keji dan hina.
(iii) Menghindarkan masyarakat daripada melakukan jenayah.
(iv) Mengamankan masyarakat dari bahaya dan ancaman jenayah.
(v) Untuk menjadi contoh teladan yang paling berguna untuk mengatasi perbuatan dan gejala jenayah.

5. Hukuman sebat mengikut Kaedah-kaedah Hukuman Sebat 1987

Sebelum Akta Parlimen 1965 Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) dipinda, Mahkamah Syariah seluruh Malaysia tidak mempunyai bidangkuasa untuk mengenakan hukuman sebat terhadap pesalah- pesalah jenayah syariah dan apabila Akta tersebut dipinda mengikut pindaan Akta A612 dan digazet kuatkuasanya pada 1.1.1986 barulah Mahkamah Syariah seluruh Malaysia mempunyai bidangkuasa yang lebih sedikit berbanding sebelumnya iaitu diberi kuasa tiga tahun penjara, denda RM5000.00 dan sebat 6 sebatan.

 6. Hukuman sebat mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah.
Apabila Enakmen Tatacara Jenayah Syariah dipersetujui supaya diseragam disemua negeri dan boleh dikatakan hampir semua negeri menerima pakainya maka diperuntukkan dalam enakmen tersebut beberapa seksyen bagi menjelaskan kaedah pelaksanaan hukuman sebat. Sebagai contoh di negeri Kelantan mengikut seksyen 125 dan 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah nombor 8 tahun 2002 diperuntukkan kaedah sebat .

Dalam kaedah- kaedah tersebut alat sebatan dan cara- caranya adalah berbeza dengan alat dan cara sebatan kes- kes sivil yang berjalan di penjara-penjara seluruh Malaysia. Ini kerana sebatan dalam kes- kes di Mahkamah syariah dijalankan mengikut hukum syarak sebagaimana hadis dan amalan – amalan sahabat berikut:

Maksudnya:
Diriwayatkan oleh Malik dari Zaid bin Aslam katanya: seorang lelaki telah mengaku berzina di zaman Rasulullah (s.a.w) maka rasulullah meminta sebatang tongkat untuk menyebat lelaki tersebut, apabila tongkat yang dikehendaki dikemukakan kepada baginda didapati tongkat itu pecah- pecah , Rasulullah (s.a.w) meminta tongkat yang lain, apabila tongkat yang dikemukakan kepadanya didapati pula tongkat itu daripada dahan kayu yang baru dipotong, Rasulullah (s.a.w) menolaknya lagi dan meminta tongkat yang lain. Akhirnya diberi kepada baginda tongkat yang sederhana yang tidak keras, Rasululllah (s.a.w) menerimanya dan memerintahkan disebat denganya.

(ii) amalan dan arahan Saidina Umar Bin al-Khattab, Saidina Ali bin Abi Talib dan Ibn Mas’ud kepada penyebat- penyebat.

Maksudnya:
Jangan angkat tangan engkau sehingga nampak putih ketiak engkau.

(iii) Saidina Ali seterusnya mengarahkan kepada penyebat:

Yang bermaksud: Pukullah dia dan berilah setiap anggota haknya dan jauhi muka dan kemaluannya.

6. Realiti pelaksanaan sebat.

Pelaksanaan hukuman sebat hendaklah dijalankan pada masa dan keadaan yang sesuai iaitu tidak di dalam keadaan cuaca yang sangat panas atau sejuk kerana boleh membawa kemudaratan kepada pesalah. Ketika pelaksanaannya juga hendaklah dijalankan dihadapan sekumpulan orang- orang mukmin sebagaimana firman Allah di dalam surah al- Nur ayat 2.

Firman Allah:
Dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan dari sekumpulan orang- orang yang beriman.

Menurut pendapat Mujahid, berdasarkan ayat di atas maksud sekumpulan itu ialah beberapa orang keatas sehingga sampai seribu orang. Manakala pendapat Imam Syafi’e dan Imam Malik maksud taaifah itu adalah tidak dapat tidak mesti terdiri daripada sekurang- kurangnya oleh empat orang daripada kalangan orang- orang yang beriman sebagai kias dengan empat orang saksi di dalam kes zina.

Realiti pelaksanaan sebat bagi kes syariah ialah mesti dilaksanakan didalam penjara. Ini kerana mengikut seksyen 125(4) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah nombor 8 Tahun 2002 sebagaimana Lampiran B berkembar dan pelaksanaannya tidak dibenarkan disaksikan orang ramai oleh Penguasa Penjara.

Walaubagaimanapun di Kelantan, pelaksanaannya boleh disaksikan oleh beberapa orang penguatkuasa ugama dan Pegawai- pegawai Ugama yang lain seramai empat orang supaya selaras dengan pendapat Imam Syafi’e dan Imam Malik. Selain daripada itu wanita tidak boleh dikenakan hukuman sebat mengikut Kanun Acara Jenayah Akta no. 593 (Pindaan) 1999 seksyen 289 termasuk lelaki lebih 50 tahun, tetapi pindaan kepada seksyen 289 juga menyatakan bahawa lelaki berumur lebih daripada 50 tahun boleh dikenakan hukuman sebat jika melakukan kesalahan di bawah seksyen 376,376A, 377C, 377CA atau 377E Kanun keseksaan iaitu kesalahan rogol, sumbang mahram dan seks luar tabii.

7. Penutup.
Dengan adanya kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman sebat sekalipun hanya enam rotan sahaja tetapi jika dilaksanakan di seluruh Malaysia serta diperkenalkan kaedah- kaedah sebat kepada masyarakat maka diharap tercapailah kebaikan dan tujuan untuk menjaga kepentingan orang ramai kerana Islam mementingkan pengajaran dan memberi rasa gerun dan takut untuk menghampiri jenayah apalagi untuk melakukannya. Dengan itu juga terhindarlah kerosakan akhlak dan sebagainya seterusnya tercapailah kemuliaan dan kebahagiaan hidup serta sentiasa mendapat inayah, rahmat dan pertolongan Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian,



No comments:

Post a Comment