Andaikata kita sering menghadiri perbicaraan kes di mahkamah Syariah pastinya hampir setiap hari kita akan dihidangkan dengan perbicaraan berkaitan “pengesahan perkahwinan” di bawah seksyen 12 mahu pun “pengesahan perkahwinan poligami tanpa kebenaran” dibawah seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.
Saya sering berfikir, kenapakah permasalahan sedemikian tidak pernah berkurangan malah semakin hari ianya semakin bertambah. Dimanakah silapnya Undang-Undang Keluarga Islam itu sehingga ianya tidak mampu membendung perlakuan sedemikian.
Sepanjang pemerhatian saya, kes-kes Pengesahan Perkahwinan kebanyakannya berpunca dari keengganan wali menerima calon suami waliannya dan dengan itu waliannya mencari jalan pintas disebabkan terpengaruh dengan pujukan orang-orang tertentu bagi meneruskan hasrat untuk berkahwin.
Saya percaya bagi kes-kes pengesahan perkahwinan poligami tanpa kebenaran pula, hampir seratus peratus perkahwinan yang dilangsungkan adalah disebabkan ingin menyembunyikan perkahwinan tersebut dari isteri atau pun isteri-isteri sedia ada.
Berdasarkan pengamatan peribadi saya, saya mendapati daripada 10 kes “Pengesahan Nikah”, 9 kes adalah yang membabitkan perkahwinan berpoligami.Apabila kita menyebutkan tentang “pengesahan perkahwinan” mahu pun “pengesahan perkahwinan poligami tanpa kebenaran” ianya seolah-olah tidak boleh dipisahkan dengan isu “kahwin lari”.
Sering berlaku ibu bapa tidak tahu-menahu langsung tentang tindakan kahwin lari oleh anak-anak mereka. Di sini timbul persoalan sama ada pernikahan yang dilangsungkan dengan menggunakan wali hakim ini, memang disebabkan ketiadaan wali ataupun lari daripada wali. Perkara yang lebih penting adalah penafian bapa sebagai wali itu sama ada munasabah atau tidak.
Kebanyakan dari pasangan wanita yang berkahwin lari sering menggunakan Wali Hakim dalam menyempurnakan rukun nikah mereka. Apabila ditanya apakah sebab mereka berkahwin dengan menggunakan Wali hakim, maka jawapan yang sering diberikan oleh mereka ialah ‘Wali Ghaib”.
Disebabkan wali ghaib iaitu wali tiada ditempat pernikahan iaitu berada lebih dari 2 marhalah maka mereka berpendapat perkahwinan itu bolehlah menggunakan Wali Hakim.
Apabila mereka menjawab sedemikian saya juga sering mempersoalkan kepada mereka, sama ada mereka mengetahui dimana wali mereka berada ketika mereka melangsungkan pernikahan itu dan adakah wali mereka juga tahu mereka berada di mana pada ketika itu ?.
Kebiasaanya, jawapan kembali kepada dua soalan tersebut akan dijawab oleh mereka bahawa mereka tahu di mana wali mereka berada tetapi wali mereka yang tidak menetahui dimana mereka berada pada ketika berlangsungnya perkahwinan itu.
Lantas dengan jawapan mereka itu saya katakan kembali kepada mereka bahawa, “adakah kamu bersetuju jika saya katakan bahawa yang ghaib bukanlah wali kamu, tetapi kamu yang ghaib dari wali kamu kerana kamu mengetahui dimana wali kamu berada tetapi dalam masa yang sama wali kamu tidak tahu kamu berada di mana?.
Soalan sedemikian seolah-olah tiada pilihan jawapan bagi mereka melainkan menjawab “Ya” sahaja. Tidak pernah pula saya mendengar jawapan dari mereka” Tidak”.Sering juga saya ingatkan pada mereka dengan kata-kata begini “Ingatlah! Di akhirat kelak akan ada sekumpulan manusia yang Allah masukkan mereka ke dalam botol dan lalu Allah campakkan mereka ke dalam api neraka lalu mereka bertanya pada Allah “Wahai Allah! Kenapa kamu mencampakkan kami ke dalam api neraka?. Lalu Allah s.w.t. menjawab “Aku tidak pun mencampakkan kamu ke dalam api nerakaku, tetapi aku mencampakkan botol itu ke dalam api neraka. Itulah balasan bagi orang yang terlalu banyak berhelah dalam hukum syarak.
Sebenarnya konsep dua marhalah bagi tujuan pernikahan sebegini hanya sesuai bagi keadaan perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara dan tidak memungkinkan bagi pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut untuk kembali ke tanah air dalam tempoh tertentu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 31 Akta Undang-undang Keluarga Islam.
Dalam keadaan ini, sekiranya perkahwinan yang hendak dilangsungkan itu tidak mencapai rukun nikah seperti lazimnya iaitu tidak adanya wali, maka barulah wali hakim akan mengambil tempat wali asal untuk menyempurnakan rukun nikah tersebut.
Namun, jika sekiranya wali yang layak itu ingin mewalikan pernikahan tersebut maka wajarlah wali tersebut “mewakilkan wali” kepada jurunikah yang akan mengakad nikahkan perkahwinan itu.Wajar untuk diketahui bahawa, pasangan yang hendak berkahwin tetapi kehendak mereka tidak direstui oleh orang tua, dalam keadaan mereka menganggap bahawa perhubungan tersebut tidak ada cacat celanya dari segi Syarak dan adat, undang-undang sebenarnya memberikan ruang yang selesa kepada mereka untuk meneruskan hasrat mulia tersebut.
Walaupun pada dasarnya doa restu orang tua itu sangat penting dan menjadi batu asas sesebuah perkahwinan yang hendak didirikan, akan tetapi garis panduan yang telah diberikan agama itu sebenarnya lebih mengatasi pertimbangan dan kata hati sesiapa.
Melalui pandangan para ulama, soal kufu atau sifat padan pasangan itu sepatutnya menjadi neraca untuk memilih pasangan. Pandangan para ulama bersifat sangat bernas untuk dijadikan sebagai panduan.
Seandainya hubungan tidak direstui disebabkan hal-hal yang remeh-temeh dan ia dibangkitkan oleh ahli keluarga, kahwin lari bukanlah penyelesaian yang bijak kerana Mahkamah Syariah bersedia untuk mendengar permohonan bagi kes seumpama ini.
Sebagaimana yang disebutkan oleh Seksyen 13(b) Enakmen Undang-Undang Keluaraga Islam, sekiranya wali enggan memberikan persetujuan tanpa alasan yang sempurna, Mahkamah akan membenarkan perkahwinan yang diniatkan itu untuk diteruskan dengan menggunakan wali hakim.
Bagi yang kahwin lari disebabkan berpoligami dengan niat menyembunyikannya dari pengetahuan isteri atau isteri-isteri sedia ada, peringatan saya; Adilkah kamu berbuat sedemikian terhadap isteri-isteri kamu sedangkan syarat berpoligami adalah mampu berlaku adil terhadap isteri-isteri?. Sampai bila kamu mahu menyembunyikan perkahwinan ? Adakah sehingga kamu mati dan anak-anak dan isteri-isteri kamu menghentak-hentakkan kaki mereka di atas kubur kamu? Atau sehingga berlakunya anak-anak kamu berkahwin sesama mereka ?. Akhir sekali, kamu fikirkanlah, mungkin kamu menganggap poligami itu sunnah Nabi, Tetapi dimanakah sunnah nabi apabila isteri-isteri baginda saling mengenali sesama mereka dalam diri kamu?. Nampaknya kamu membuat sunnah sendiri dimana “sunnah kamu ” ialah berpoligami dengan menyembunyikan perkahwinan kamu dari isteri atau isteri-isteri yang lain.
Inilah jalan penyelesaian yang sebenar, iaitu membawa masalah ke muka pengadilan. Di sini tidak timbul soal menjadi anak derhaka atau membelakangi orang tua kerana undang-undang mengatasi semua orang dan setiap orang tertakluk kepada undang-undang. Tanpa mengira siapa pun seseorang itu, ia perlu mematuhi undang-undang dan menerima keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Penyelesaian perlu dibuat bagi mengatasi masalah yang tidak kunjung surut ini dan salah satu jalan penyelesaiannya ini adalah dengan menjalankan kajian imperikal mengenai hukum ‘kahwin lari’. Kajian ini kemudian seharusnya dipanjangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dengan melihat semula hukum yang telah dikeluarkan pada Fatwa Kebangsaan Kali ke-52, iaitu pada tahun 2002 yang lalu.
Ingatlah, Islam Itu mudah, tetapi janganlah kita terlalu ambil mudah dalam hal-hal Agama yang akhirnya cara yang kita pilih akan menyebabkan kehendak sebenar Hukum Syarak tidak dipenuhi dan masyarakat menjadi caca merba.
Oleh: Mohd Ridzwan Bin Ghazali
Pegawai Syariah, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka
Pegawai Syariah, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka