Cinta dan kasih sayang umpama mentari, cahayanya boleh dilihat oleh
sesiapa sahaja yang punya mata. Bersyukur jika kelembutan itu ada dalam
rumah tangga kita, kerana itu petanda kebaikan berada bersama kita. “Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut, maka ia dijauhkan dari kebaikan.” (HR.Muslim)
Malangnya, kini semakin sering terdengar betapa kelembutan itu
semakin hilang. Tutur kata yang kasar, bahasa yang kesat dan suara yang
tinggi sudah semakin lumrah di antara suami isteri.Mengapa suami ku suka membentak? Mengapa sejak akhir-akhir ini isteri
ku sudah mula menjerit-jerit? Suaranya menjadi tinggi, bahasanya
menjadi kesat sekali, mengapa? Itulah antara keluhan yang samada
diluahkan atau dipendamkan dalam sebuah rumah tangga.
Ah, betapa manusia semakin lupa bahawa sifat lemah-lembut itu
bukan sahaja diperlukan di dunia, bahkan diperlukan di akhirat. Syurga
itu disedikan untuk mereka yang lemah lembut dalam sikap dan tutur kata.
Rasulullah saw telah bersabda: “Mahukah aku kabarkan kepada
kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan
atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah
lembut, lagi memudahkan.” (HR. Tirmidzi)
Mengapa frekuensi suara pasangan suami isteri boleh meninggi? Mana
bisikan cinta dan luahan rasa yang mendayu-dayu seperti mula-mula
dahulu? Mengapa suara dinyaringkan padahal jarak fizikal antara mereka
begitu hampir? Ya, mengapa perlu menjerit dan membentak pada hal mereka
cuma duduk bersebelahan? Apakah telinga sudah tuli atau lidah kehilangan
tenaga untuk berkata-kata?
Jawabnya mudah, itu semua kerana hati telah menjauh. Walaupun jasad
masih dekat, jeritan, bentakan dan herdikan diperlukan apabila dua hati
sudah menjarak. Justeru, hanya jeritan nyaring sahaja mampu merentasi
jarak dua hati yang telah jauh itu!
Berbeza jika cinta masih ada dan menyala-nyala. Ketika itu dua hati
masih berpadu. Satu bisikan sudah cukup untuk memperdengarkan dan
didengari. Jarak cinta masih sangat hampir. Cuba bayangkan sepasang
suami isteri yang asyik dilamun cinta, suara mereka berbicara hanya
didengar oleh mereka berdua. usteru. ‘alat komunikasi’ yang sebenarnya
bukan gajet-gajet teknologi tetapi hati.
Hati adalah alat komunikasi yang sangat canggih dengan syarat hati
itu bersih. Cuba lihat bagaimana cara orang-orang soleh berkomunikasi
dengan Allah lewat doanya. Suaranya perlahan, lembut, mendayu-dayu, merayu-rayu, penuh rasa harap dan malu.
Firman Allah:“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan
suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang
melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi,
sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa
takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya
rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-A’raf 55-56)
Dan itulah jua asas dan teras komunikasi Allah dengan hambaNya. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah adalah Dzat Yang Maha Lembut yang mencintai kelembutan dalam seluruh perkara.” (HR.
Al Bukhari dan Muslim). Oleh kerana itulah nama-nama Tuhan sangat rapat
dengan sifatNya yang Maha Lembut- Ar Rahman, Ar Rahim, Al Latif, Al
A’fu, Al Ghafar dan lain-lain.
Perlu diingat, komunikasi bukan hanya menggunakan telinga dan mulut,
tetapi menggunakan mata dan hati. Kita perlu memandang orang yang sedang
berdepan dengan kita. Jangan hanya kata-kata kita tujukan kepadanya.
Pandang dengan kasih sayang. Hati itu jendela bagi hati. Justeru,
pertautan mata bermakna pertautan hati. Bahasa mata dan hati inilah yang
dikenali sebagai bahawa rasa. Itulah bahasa sejagat yang mempunyai
nada dan melodi yang sangat harmoni.
Mata sangat diperlukan dalam komunikasi cinta. Oleh itu pandanglah
mata pasangan kita, lalu berbicaralah dengan mata dan kata-kata, pasti
hati kita dan dia akan bertaut… Ya, sekiranya di hati kita berdua masih
ada cinta.Namun, jika kita tidak mampu lagi merenung matanya, dan bicara kita
hanya dengan kata-kata dan telinga, itu petanda cinta sudah terguris. “Sesungguhnya
sifat lemah lembut itu tidak berada pada sesuatu melainkan dia akan
menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, tidaklah sifat itu dicabut
dari sesuatu, melainkan dia akan membuatnya menjadi buruk.” (HR. Muslim)
Pasti ada yang tidak kena di mana-mana. Cuba lihat orang yang
berbohong, cuba amat-amati orang yang khianat, dan telitilah sikap orang
yang benci, mereka tidak akan mampu menatap mata orang yang mereka
bohongi, khianati dan benci. Maka begitulah bila mata tidak turut serta
dalam komunikasi antara suami dan isteri, salah seorang atau keduanya,
besar kemungkinan sudah terguris hatinya!Cuba baca sejarah Rasulullah yang agung. Bagaimana baginda berbicara
dengan sesiapa sahaja di hadapannya. Matanya, gerak tubuhnya, bahasanya
begitu meyakinkan. Orang yang menjadi teman bicaranya rasa dihargai,
disayangi dan diberi perhatian. Bila baginda berpaling, baginda
memalingkan keseluruhan badannya (bukan hanya mukanya).
Nada suaranya lembut kecuali apabila menyampaikan nasihat tentang
neraka dan ancaman-ancaman dosa. Matanya merenung penuh kasih. Baginda
bukan hanya menghantar mesej pakej komunikasinya sepadu dengan rasa
kasih-sayang, empati, dan cinta. “Maka disebabkan rahmat dari
Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu
bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri
dari sekelilingmu.” (QS. Ali Imran: 159)
Para suami dan isteri, contohilah hati Rasulullah yang penuh cinta,
insyaAllah akan lembutlah suara dan harmonilah kata-kata. Meskipun
peribadi baginda terlalu tinggi untuk didaki, tidak mengapa… jika kita
sekadar mampu meniru ‘di hujung kuku’.Cuba hayati nasihat Rasulullah ini. Anggaplah Rasulullah sedang mengingatkan kita ketika baginda menasihati isterinya: “Wahai
Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia mencintai sikap lemah
lembut. Allah memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia
berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang
tidak diberikan pada sikap lainnya.” (HR. Al-Bukhari)
Tidak ada insan lain yang paling berhak mendengar suara cinta dan
bahasa kasih kita melainkan pasangan kita! Jangan berikan pada insan
lain, sebelum kita berikan kepada suami atau isteri kita. Jika
tidak, hati pasangan kita akan ‘lari menjauh’ walaupun mungkin tubuh
badannya masih sebumbung dengan kita. “Maka disebabkan
rahmat dari Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka,
sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka
menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Qs. Ali Imran: 159)
Janganlah memperdengarkan jeritan jika bisikan sudah mampu didengar.
Bahasa adalah jiwa bangsa – maksudnya, bahasa itu boleh menggambarkan
jiwa. Walaupun sifat hati tidak ketara tetapi kata-kata akan membuka
rahsia. Jika hati baik, tutur kata menjadi lembut, bahasa menjadi indah
dan nadanya menjadi merdu. Jika hati jahat, tutur kata menjadi keras,
bahasa menjadi kasar dan nadanya menjadi celaru.Kita hanya merosakan diri sendiri dengan bahasa yang kasar berbanding
orang yang kita tujukan kata-kata itu. Bahasa yang kasar datang
daripada kebencian. Sesungguhnya kebencian itu akan merosakkan diri
sendiri berbanding dengan orang yang kita bencikan. Sebaliknya jika
bahasa kita baik, itu datang dari rasa cinta. Dan cinta akan memberi
kebaikan kepada diri sebanyak mana yang akan diterima oleh orang yang
kita cintai!
Dalam Al-Quran ALLAH memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk
berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha
ayat 44:
“Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”. Ya, para Rasul wajib menebarkan rasa kecintaan bukan kebencian.Oleh Rasulullah saw telah bersabda: “Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi mencintai kelembutan. Dia memberikan pada sifat kelembutan yang tidak diberikan kepada sifat kekerasan, dan tidak pula diberikan kepada sifat-sifat yang lainnya.” (HR. Muslim)
“Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”. Ya, para Rasul wajib menebarkan rasa kecintaan bukan kebencian.Oleh Rasulullah saw telah bersabda: “Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi mencintai kelembutan. Dia memberikan pada sifat kelembutan yang tidak diberikan kepada sifat kekerasan, dan tidak pula diberikan kepada sifat-sifat yang lainnya.” (HR. Muslim)
Cinta mampu kembara merentasi ruang dan masa. Cinta adalah soal hati
yang tidak mampu dipisahkan oleh jarak dan zaman. Cinta boleh melangkaui
dimensi dan generasi. Justeru kita boleh mencintai Allah, yang tidak
menyerupai sebarang makhlukNya. Kita boleh mencintai Rasulullah yang
hidup ribuan tahun yang lalu. Kita boleh mencintai para sahabat dan para
ulama silam yang tidak hidup sezaman dengan kita.Itulah ajaibnya cinta. Ia adalah satu kekuatan yang sangat luar biasa
kerana ia bertapak di hati, yakni ‘raja’ dalam kerajaan diri manusia.
Apabila ada cinta, kita boleh berkomunikasi dan berintraksi walaupun
dengan alat-alat perhubungan yang terhad. Cinta menimbulkan kemahuan
yang sangat kuat dan bertenaga.
Namun, apabila tidak ada cinta…
segalanya akan lesu dan kaku. Hati hilang keinginan, hasrat dan tenaga
untuk berkomunikasi dengan tulus, telus dan harmoni.Bila kita kehilangan bahasa dalam bercinta, itulah petanda cinta
itulah yang sebenar telah hilang! Tanpa cinta kita kehilangan makna,
sedangkan makna itulah yang melahirkan bahasa… Bukankah makna cinta itu
hadir dulu di dalam jiwa, kemudian barulah lahir ungkapan, aku cinta
pada mu!
*PMJ the great!*