Monday, December 26, 2011

KATA SELEMBUT RASA CINTA

Apabila Allah inginkan kebaikan kepada sebuah rumah tangga, maka dberikannya kelembutan dalam interaksi dan komunikasi sesama anggotanya.Itulah petanda yang sangat ketara dan dapat dirasai bukan sahaja oleh mereka tetapi bagi orang lain yang melihatnya.

Cinta dan kasih sayang umpama mentari, cahayanya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang punya mata. Bersyukur jika kelembutan itu ada dalam rumah tangga kita, kerana itu petanda kebaikan berada bersama kita. “Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut, maka ia dijauhkan dari kebaikan.” (HR.Muslim)

Malangnya, kini semakin sering terdengar betapa kelembutan itu semakin hilang. Tutur kata yang kasar, bahasa yang kesat dan suara yang tinggi sudah semakin lumrah di antara suami isteri.Mengapa suami ku suka membentak? Mengapa sejak akhir-akhir ini isteri ku sudah mula menjerit-jerit? Suaranya menjadi tinggi, bahasanya menjadi kesat sekali, mengapa? Itulah antara keluhan yang samada diluahkan atau dipendamkan dalam sebuah rumah tangga.

Ah, betapa manusia semakin lupa bahawa sifat lemah-lembut itu bukan sahaja diperlukan di dunia, bahkan diperlukan di akhirat. Syurga itu disedikan untuk mereka yang lemah lembut dalam sikap dan tutur kata. Rasulullah saw telah bersabda: “Mahukah aku kabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” (HR. Tirmidzi)

Mengapa frekuensi suara pasangan suami isteri boleh meninggi? Mana bisikan cinta dan luahan rasa yang mendayu-dayu seperti mula-mula dahulu?  Mengapa suara dinyaringkan padahal jarak fizikal antara mereka begitu hampir? Ya, mengapa perlu menjerit dan membentak pada hal mereka cuma duduk bersebelahan? Apakah telinga sudah tuli atau lidah kehilangan tenaga untuk berkata-kata?
Jawabnya mudah, itu semua kerana hati telah menjauh. Walaupun jasad masih dekat, jeritan, bentakan dan herdikan diperlukan apabila dua hati sudah menjarak. Justeru, hanya jeritan nyaring sahaja mampu merentasi jarak dua hati yang telah jauh itu!

Berbeza jika cinta masih ada dan menyala-nyala. Ketika itu dua hati masih berpadu. Satu bisikan sudah cukup untuk memperdengarkan dan didengari. Jarak cinta masih sangat hampir. Cuba bayangkan sepasang suami isteri yang asyik dilamun cinta, suara mereka berbicara hanya didengar oleh mereka berdua. usteru. ‘alat komunikasi’ yang sebenarnya bukan gajet-gajet teknologi tetapi hati.
Hati adalah alat komunikasi yang sangat canggih dengan syarat hati itu bersih. Cuba lihat bagaimana cara orang-orang soleh berkomunikasi dengan Allah lewat doanya. Suaranya perlahan, lembut, mendayu-dayu, merayu-rayu, penuh rasa harap dan malu.

Firman Allah:“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”  (Al-A’raf 55-56)

Dan itulah jua asas dan teras komunikasi Allah dengan hambaNya. Sabda Rasulullah s.a.w:  “Sesungguhnya Allah adalah Dzat Yang Maha Lembut yang mencintai kelembutan dalam seluruh perkara.” (HR. Al Bukhari dan Muslim). Oleh kerana itulah nama-nama Tuhan sangat rapat dengan sifatNya yang Maha Lembut- Ar Rahman, Ar Rahim, Al Latif, Al A’fu, Al Ghafar dan lain-lain.

Perlu diingat, komunikasi bukan hanya menggunakan telinga dan mulut, tetapi menggunakan mata dan hati. Kita perlu memandang orang yang sedang berdepan dengan kita. Jangan hanya kata-kata kita tujukan kepadanya. Pandang dengan kasih sayang. Hati itu jendela bagi hati. Justeru, pertautan mata bermakna pertautan hati. Bahasa mata dan hati inilah yang dikenali sebagai bahawa rasa.  Itulah bahasa  sejagat yang  mempunyai nada dan melodi yang sangat harmoni.

Mata sangat diperlukan dalam komunikasi cinta. Oleh itu pandanglah mata pasangan kita, lalu berbicaralah dengan mata dan kata-kata, pasti hati kita dan dia akan bertaut… Ya, sekiranya di hati kita berdua masih ada cinta.Namun, jika kita tidak mampu lagi merenung matanya,  dan bicara kita hanya dengan kata-kata dan telinga, itu petanda cinta sudah terguris. “Sesungguhnya sifat lemah lembut itu tidak berada pada sesuatu melainkan dia akan menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, tidaklah sifat itu dicabut dari sesuatu, melainkan dia akan membuatnya menjadi buruk.” (HR. Muslim)

Pasti ada yang tidak kena di mana-mana. Cuba lihat orang yang berbohong, cuba amat-amati orang yang khianat, dan telitilah sikap orang yang benci, mereka tidak akan mampu menatap mata orang yang mereka bohongi, khianati dan benci. Maka begitulah bila mata tidak turut serta dalam komunikasi antara suami dan isteri, salah seorang atau keduanya, besar kemungkinan sudah terguris hatinya!Cuba baca sejarah Rasulullah yang agung. Bagaimana baginda berbicara dengan sesiapa sahaja di hadapannya. Matanya, gerak tubuhnya, bahasanya begitu meyakinkan. Orang yang menjadi teman bicaranya rasa dihargai, disayangi dan diberi perhatian. Bila baginda berpaling, baginda memalingkan keseluruhan badannya (bukan hanya mukanya).
Nada suaranya lembut kecuali apabila menyampaikan nasihat tentang neraka dan ancaman-ancaman dosa. Matanya merenung penuh kasih. Baginda bukan hanya menghantar mesej pakej komunikasinya sepadu dengan rasa kasih-sayang, empati, dan cinta. “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (QS. Ali Imran: 159)

Para suami dan isteri, contohilah hati Rasulullah yang penuh cinta, insyaAllah akan lembutlah suara dan harmonilah kata-kata. Meskipun peribadi baginda terlalu tinggi untuk didaki, tidak mengapa… jika kita sekadar mampu meniru ‘di hujung kuku’.Cuba hayati nasihat Rasulullah ini. Anggaplah Rasulullah sedang mengingatkan kita ketika baginda menasihati isterinya: “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.” (HR. Al-Bukhari)

Tidak ada insan lain yang paling berhak mendengar suara cinta dan bahasa kasih kita melainkan pasangan kita! Jangan berikan pada insan lain, sebelum kita berikan kepada suami atau isteri kita.     Jika tidak, hati pasangan kita akan ‘lari menjauh’ walaupun mungkin tubuh badannya masih sebumbung dengan kita. “Maka disebabkan rahmat dari Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Qs. Ali Imran: 159)

Janganlah memperdengarkan jeritan jika bisikan sudah mampu didengar. Bahasa adalah jiwa bangsa – maksudnya, bahasa itu boleh menggambarkan jiwa. Walaupun sifat hati tidak ketara tetapi kata-kata akan membuka rahsia. Jika hati baik, tutur kata menjadi lembut, bahasa menjadi indah dan nadanya menjadi merdu. Jika hati jahat, tutur kata menjadi keras, bahasa menjadi kasar dan nadanya menjadi celaru.Kita hanya merosakan diri sendiri dengan bahasa yang kasar berbanding orang yang kita tujukan kata-kata itu. Bahasa yang kasar datang daripada kebencian. Sesungguhnya kebencian itu akan merosakkan diri  sendiri berbanding dengan orang yang kita bencikan. Sebaliknya jika bahasa kita baik, itu datang dari rasa cinta. Dan cinta akan memberi kebaikan kepada diri  sebanyak mana yang akan diterima oleh orang yang kita cintai!

Dalam Al-Quran ALLAH memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44:
“Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”. Ya, para Rasul wajib menebarkan rasa kecintaan bukan kebencian.Oleh Rasulullah saw telah bersabda:  “Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi mencintai kelembutan. Dia memberikan pada sifat kelembutan yang tidak diberikan kepada sifat kekerasan, dan tidak pula diberikan kepada sifat-sifat yang lainnya.” (HR. Muslim)

Cinta mampu kembara merentasi ruang dan masa. Cinta adalah soal hati yang tidak mampu dipisahkan oleh jarak dan zaman. Cinta boleh melangkaui dimensi dan generasi. Justeru kita boleh mencintai Allah, yang tidak menyerupai sebarang makhlukNya. Kita boleh mencintai Rasulullah yang hidup ribuan tahun yang lalu. Kita boleh mencintai para sahabat dan para ulama silam yang tidak hidup sezaman dengan kita.Itulah ajaibnya cinta. Ia adalah satu kekuatan yang sangat luar biasa kerana ia bertapak di hati, yakni ‘raja’ dalam kerajaan diri manusia. Apabila ada cinta, kita boleh berkomunikasi dan berintraksi walaupun dengan alat-alat perhubungan yang terhad. Cinta menimbulkan kemahuan yang sangat kuat dan bertenaga. 

Namun, apabila tidak ada cinta… segalanya akan lesu dan kaku. Hati hilang keinginan, hasrat dan tenaga untuk  berkomunikasi dengan tulus, telus dan harmoni.Bila kita kehilangan bahasa dalam bercinta, itulah petanda cinta itulah yang sebenar telah hilang! Tanpa cinta kita kehilangan makna, sedangkan makna itulah yang melahirkan bahasa… Bukankah makna cinta itu hadir dulu di dalam jiwa, kemudian barulah lahir ungkapan, aku cinta pada mu!

*PMJ the great!*

Tuesday, November 1, 2011

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG TAHUN 2010


KATA-KATA ALUAN
Y.A.A. KETUA HAKIM SYARIE

Bismillahirrahmanirrahim

Bersyukur kita kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat sama-sama kita menjayakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2010 . Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua penerima-penerima anugerah pada tahun ini. Khidmat dan bakti yang kalian sumbangkan amatlah dihargai oleh Jabatan. Pun begitu, bagi yang tidak terpilih, marilah kita sama-sama mengembleng tenaga dan berganding upaya untuk meningkatkan lagi nilai tambah jabatan kita.

Sepanjang tahun 2010 dan 2011, pelbagai kejayaan telah dapat kita capai. Bermula dengan persijilan MS 1900:2005 ( kepatuhan Syariah ) dan akreaditasi  ISO 9001:2008,  juara Sukan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia  hinggalah ke persijilan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S oleh MAMPU. Kesemua kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa komitmen dan pengemblengan daya dari semua pihak. Saya amat-amat berterima kasih atasnya.

Dalam usaha menjadi sebuah Institusi Kehakiman yang berwibawa, pemerkasaan dan pengukuhan 3P bagi sebuah organisasi perlulah diberi tumpuan. 3P tersebut ialah people (Manusia iaitu tenaga kerja ), Process (proses iaitu tanggungjawab kerja) dan Purpose (matlamat iaitu hala tuju jabatan).  Ketiga–tiga P ini adalah merupakan tonggak utama kejayaan sesebuah organisasi. Dan diantara ketiga-tiganya factor People adalah paling penting. Ini adalah kerana Faktor tenaga kerja (people) yang bertanggungjawab untuk menggerakkan atau melaksanakan kerja/proses (proses) untuk mencapai halatuju  (Purpose) sesebuah.

Maka, adalah menjadi harapan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak agar kita semua dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan berintegriti terutamanya dalam melaksanakan peranannya sebagai tempat menegakkan keadilan.

Akhir kata, saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Majlis ini . Semua bakti kalian akan dibalas Tuhan.






SETITIS TINTA, SEULAS BICARA   
Y.B. Dato’ Seri Abdul Rahman bin Hashim,
                                              S.P.M.P., D.P.C.M., P.C.M.


Segala puji dan syukur kepada Tuhan yang maha pengasih atas rahmat serta hidayahNya mempertemukan kita dalam meneruskan komitmen bagi mengukuhkan refleksi dan inspirasi diri. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, keluarga dan para sahabat baginda.
Terima kasih diatas kesudian Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak mengundang saya merasmikan Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang bagi tahun 2010. Sudah pasti dari tahun ke tahun kita mendepani realiti baru dunia perundangan yang pantas berubah dan berkembang. Tahniah diucapkan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak melalui pelbagai pencapaian yang membanggakan khasnya kepada penerima-penerima anugerah kali ini. Sudah pasti sumbangan khidmat bakti wargakerja JKSPk amatlah ditagih bagi memperkasakan lagi pengurusan dan pentadbiran Kehakiman Syariah. Penghargaan juga kepada semua wargakerja JKSPk yang bersemangat serta merealisasikan aspirasi jabatan ini.
Umat Islam masakini tidak memerlukan pembaharuan dari segi prinsip (akidah), hukum hakam (kecuali dalam perkara-perkara baru), tetapi apa yang lebih diperlukan ialah pembaharuan dalam kaedah penyampaiannya agar lebih signifikan dan relevan dengan cabaran terkini khasnya yang berkaitan selok belok perundangan Syariah. Kita tidak menghadapi banyak masalah dalam soal prinsip tetapi cabaran sebenarnya ialah soal pendekatan. Perlu satu anjakan paradigma dalam usaha pendekatan Islam kepada umat Islam sendiri dan juga kepada bukan Islam. Kaedah itu merangkumi soal mesej, medium penyampaian, pendekatan dan keutamaan yang dinyatakan.
Saya menyeru kepada semua wargakerja JKSPk agar sentiasa bermaklumat, berpengetahuan dan aktif menyahut seruan jabatan kerana pelbagai cabaran bakal menghambat jika kita tidak bersedia dari segi fizikal dan mental. Pegawai-pegawai Syariah juga diharap mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu sebagai merealisasikan manifestasi tanggungjawab menjalankan tugas dalam menagih komitmen dan pengertian serius masyarakat.
Akhir kata saya berharap pencapaian yang digarap ini mampu dipertahankan malahan kualitinya dari masa ke semasa dipertingkatkan. Semoga segala visi dan misi yang dirancang dan diusahakan membuahkan hasil dan dapat dinikmati oleh semua kakitangan dan masyarakat khasnya di Negeri Perak.



PENERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN  CEMERLANG 2010

 Puan Multazimah bt. Rafie
 Pegawai Syariah LS41,
 Jabatan Kehakiman Syariah Perak.
   Puan Wan Aison bt. Alang Ahmad
   Penolong Pegawai Tadbir N32,
   Jabatan Kehakiman Syariah Perak.
Puan Fatimah bt. Osman
Pembantu Tadbir (Kew) W22 (KUP),
Mahkamah Rendah Syariah Parit Buntar.
Encik Mohd. Faisarizan bin Hashim 
Pembantu Syariah LS17, 
Jabatan Kehakiman Syariah Perak.
Encik Mohamad Haidir bin Hassan Suhili,
 Pembantu Syariah LS17,
 Mahkamah Rendah Syariah Kuala Kangsar.
Encik Ahmad Kamal bin Rustam Affendi  
Pembantu Perpustakaan S17,  
Jabatan Kehakiman Syariah Perak.

 Encik Ariffin bin Ton
 Pembantu Tadbir Rendah (Bailif) N11,
 Jabatan Kehakiman Syariah Perak.
   Encik Abdullah Shani bin Saari
   Penghantar Notis N3,
   Mahkamah Rendah Syariah Parit Buntar.
Encik Suffian bin Abdullah  
Pemandu Kenderaan R3,
Jabatan Kehakiman Syariah Perak.
   Encik Azizi bin Che Mud
   Pembantu Am Pejabat N4,
   Jabatan Kehakiman Syariah Perak.
                                                   


                                                       



                                                        


PENERIMA SIJIL PENGHARGAAN 2010


1.      Y.A Tn. Hj Ab. Rahman Thobroni bin Mohd. Mansor,
Hakim,
Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.

2.      Y.A Tn. Mohammad Taifor bin Ahmad Rusdi,
Hakim,
Mahkamah Rendah Syariah Seri Iskandar.

3.      Tn. Mohd. Ridzuan bin Haji Yusof,
Hakim,
Mahkamah Rendah Syariah Tapah.

4.      Pn. Siti Norlaili bt. Syed Ali,
Pegawai Syariah LS41,
Jabatan Kehakiman Syariah Perak.

5.      En. Suhaili bin Ishak,
Penolong Pegawai Syariah LS27,
Mahkamah Rendah Syariah Tapah.

6.      Pn. Rohana bt. Samsudin,
Pembantu Syariah LS22,
Jabatan Kehakiman Syariah Perak.


7.      Pn. Khamisah bt. Mohamed,
Pembantu Setiausaha Pejabat N22,
Jabatan Kehakiman Syariah Perak.

8.      Pn. Malawati bt. Zailani,
Pembantu Syariah LS17,
Mahkamah Rendah Syariah Tapah.

9.      Pn. Wassa’adah bt. Abu Bakar,,
Pembantu Tadbir (Kew)W22 (KUP),
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Kangsar.

10.      En. Suliman bin Ali,
Pembantu Tadbir  N17,
Mahkamah Rendah Syariah Parit Buntar.

11.      En. Mohd. Rafi bin Ali,
Penghantar Notis N12(KUP),
Jabatan Kehakiman Syariah Perak.

12.      En. Mokhtar bin Shaari,
Penghantar Notis N3,
Mahkamah Rendah Syariah Tapah.

                   
MUARA NURANI
v  Dalam hidup, kita sentiasa berdepan dengan dua perkara. Pertama, perkara yang perlu kita lakukan. Kedua, perkara yang suka kita lakukan, Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang tidak suka kita lakukan. Dan perkara yang kita suka lakukan adalah perkara yang tidak perlu kita lakukan.


v  Dalam hidup, untuk berjaya dan bahagia kita perlu melakukan perubahan. Kita perlu keluar daripada “zon selesa” menuju “zon mencabar” kerana di zon yang mencabar itulah letaknya kemajuan, perkembangan dan peningkatan dalam kehidupan kita. Zon selesa ialah keadaan yang kita berada sekarang, sementara zon mencabar ialah keadaan yang kita inginkan pada masa depan.


v  Hidup bukanlah satu pertandingan, tetapi satu perkongsian. Teruskan dengan perkongsian ilmu, iman dan kebajikan. Ikhlas itu menjadi keutamaan. Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama


v  Kata bijak pandai, kehidupan umpama satu pelayaran. Cubaan dan ujiannya umpama gelombang yang sangat menggerunkan. Oleh sebab itu bahtera kehidupan mesti kukuh. Kemudinya mesti ampuh. Jika boleh diumpamakan bahtera itu diri kita, maka kemudinya ialah iman. Kita tidak akan gusar betapapun hebatnya gelombang, jika kemudi di tangan mampu mengawalnya.


v  Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!

v  Jagalah hati agar sentiasa lurus dan tulus. Jagalah perlakuan agar sentiasa diikat oleh syariat


v  Kalau syaitan dan nafsu belum diperangi, jangan berani memerangi orang lain. Kecundang kita, buruk padahnya. Terhina di dunia, terhina di akhirat


v  Lihat pada apa yang ada, barulah kita bersyukur. Jangan dikenang apa yang tiada, nanti kita kufur….
Dari Meja KP
Tanggar cita menggugah jaya..
                                 




                                                       



                                                      


                                                     

Monday, September 19, 2011

BERSANGKA BAIK DEMI CINTA


Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya tiga orang cucu. Namun siisteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata, “saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami. Sikap sambil lewanya sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan, ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan saudara?”
“Teruskan perkahwinan,” jawab saya dengan pasti. Saya teringat ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu. Ungkapan itu berbunyi: “Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan berpatah balik, teruskan perjalanan!”
“Mengapa pula?” tanya siisteri.
“Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan teruskan perkahwinan ini. ”
“Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap negatif?”
Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah syarat untuk kita bersikap positif. ‘Right mental attitude’ sangat penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Sikap yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di luar diri kerana apa yang lebih utama ialah ‘what happens in you’ bukan ‘what happens to you.’
Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif:
  1. 1.      Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.
Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.” Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.
Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan! Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus menjadi mangsa?
Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan? Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu… Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.
Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan dibenarkan.  Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan benang yang basah. Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil. Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga)  yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.
Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.
Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan. Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan kita.
Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.
ii) Sering berdamping dengan orang yang positif.
Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.
Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?
Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita. Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.
iii) Jadikan sekarang masa paling gembira.
Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.” Dengan berkata demikian kita telah ‘membunuh’ potensi hari ini.
Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu. Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!
Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’ yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!
iv) Cari jalan untuk mengatasi stres.
Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres. Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.
Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda. Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirahat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?
Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang kita hadapi… bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah kembali stabil.
v) Jangan terlalu serius.
Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah.  Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?
Memang banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan pasangan kita. Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Ternyata mereka yang menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga bahagia.
Apabila rumah tangga kelihatan malap atau ‘sindrom bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini. Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya… Mereka sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan pasangan hidupnya!
Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi.
Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya. Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi yang buruk itu… tidak buruk sama sekali. Ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya. Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir…
Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”
 -UPMJ-