Sunday, May 15, 2011

Punca Gadis Hamil Di Luar Nikah


Dengan anggapan ‘aku tak mungkin hamil’ sesetengah gadis remaja rela mengadakan hubungan seks luar nikah dengan lelaki yang baru saja mereka kenali.Tidak kurangpula mereka ini termasuk wanita berkerja yang tinggal di bandar-bandar diajak teman lelaki mereka menonton VCD lucah lantas kedua-duanya ghairah hingga terjebak dalam maksiat. Akibatnya wanita terbabit melahirkan anak di luar nikah.

Malangnya, bukan semua teman lelaki mangsa yang mahu bertanggungjawab akibat keterlanjuran mereka itu. Memang ada lelaki yang hendak berkahwin tetapi dihalang oleh keluarga wanita, ada yang yang enggan menerima kehamilan pasangannya manakala ada pula yang takut selain tidak kurang pula yang terus memutuskan hubungan yang mereka bina dengan gadis terbabit sebelum itu.
Bagi gadis yang malang itu keadaan diburukkan lagi kerana pandangan serong masyarakat terhadap kehamilan diluar nikah. Ada pula yang berasa malu atau takut perbuatan terkutuk mereka diketahui keluarga. Ini akhirnya mencetuskan fenomena ngeri lain pula – dimana bayi tidak berdosa yang baru dilahirkan itu dibuang.
Demikian rumusan Profesor Madya Dr Fatimah Abdullah, pensyarah Program Kerja Sosial, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM mengenai isu hangat dewasa ini berdasarkan penyelidikannya mengenai masalah seks di luar nikah mengikut rekod yang terdapat di Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Pusat Perubatan UKM.
Rekod juga menunjukkan hampir semua bayi itu kemudian dijumpai sudah mati setelah dibuang dalam tong sampah, dicampak dalam longkang atau ada ditanam dalam kubur cetek.
Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan 65 kes buang bayi dicatat pada tahun 2000 meningkat kepada 83 kes pada 2006.
Daripada 83 kes itu, 79 membabitkan pembuangan bayi yang baru dilahirkan dengan empat lagi masih janin.  Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006).
Sebab bayi dibuang belum dapat dipastikan kerana belum ada kajian khusus dijalankan, kata Dr Fatimah. Beliau menarik perhatian satu laporan akhbar mendedahkan kes sebegini biasanya membabitkan remaja yang terlanjur tetapi malu berdepan dengan masalah. Keadaan ini diburukkan lagi dengan sikap teman lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab.
Remaja yang mengandung luar nikah juga menghadapi pelbagai masalah seperti disisih keluarga serta dibuang kerja.
Dalam menjalankan kajiannya, Dr Fatimah turut mendapatkan data terperinci faktor kehamilan, sikap keluarga dan perancangan masa depan remaja hasil temu bual dengan penghuni di Rumah Nur Adwa dari 2004 hingga 2008.
Walaupun terdapat 81 gadis berusia 15-19 tahun, namun dalam masa tersebut golongan berumur 20 hingga 24 tahun mencapai 118 orang manakala ada juga melebihi 40 tahun iaitu seorang janda.
Sebanyak 190 orang daripada mangsa menamatkan persekolahan menengah, 39 STPM dan kolej, 53 tamat sekolah rendah dengan 10 orang tidak bersekolah.
Dengan pencapaian pendidikan agak baik itu, tidaklah menghairankan 177 daripada mereka mendapat gaji RM1,500 dan lebih sebulan dan  81 di antara RM1,000-RM1,499 sebulan.
Namun, apa yang agak membimbangkan, kata Dr Fatimah adalah hakikat kurangnya pengetahuan gadis terlibat ini dengan perkara-perkara berkaitan seksualiti. Ini kerana kebanyakan daripada mereka tidak prihatin apabila haid mereka terhenti walaupun ini salah satu tanda kehamilan.
Lebih buruk lagi ada gadis yang masih tidak tahu mengenai fungsi bahagian badan dan sistem reproduktif mereka sendiri seperti perbezaan kedudukan saluran kencing dan saluran peranakan.  Fakta ini didedahkan hasil kajian sebuah syarikat pengeluar alatl pencegah kehamilan.
Kajian rapi terhadap lapan gadis terlibat mendapati lima datang daripada keluarga tidak lengkap yakni keluarga ibu tunggal akibat penceraian atau kerana bapa telah meninggal dunia.
Dr Fatimah mencadangkan agar beberapa perkara diberikan perhatian dalam usaha membendung dan menangani masalah berkenaan.
Kebanyakan remaja atau wanita muda yang melanjutkan pelajaran tinggi atau bekerja di bandar dan jauh daripada keluarga biasanya tinggal bersendirian atau menyewa bersama rakan.
Ada kalanya, tegas Dr Fatimah, mereka ini tinggal serumah dengan teman berlainan jantina malah jika tidak menetap sebumbung pun kedudukan flat yang bersebelahan memudahkan teman lelaki atau wanita keluar masuk unit masing-masing.
“Sifat jiran tetangga khususnya di bandar yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan masing-masing tidak dapat berfungsi sebagai sistem kawalan sosial tidak formal yang berkesan sedangkan majikan yang menyediakan kemudahan perumahan tidak prihatin mengenai hal tersebut,’ kata beliau.
Bagi pihak keluarga pula keengganan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka berkahwin merupakan antara faktor remaja lari mengikut teman lelaki dan bersekedudukan sehingga hamil dan melahirkan anak.
“Perpecahan dan sikap keluarga ini kelihatan mempunyai kaitan dengan perlakuan devian remaja kita,” ujarnya.
Dr Fatimah juga berpendapat bahawa walaupun data yang ada tidak cukup untuk memberikan maklumat perkaitan antara didikan agama dengan penglibatan dalam hubungan seks sebelum berkahwin atau di luar perkahwinan namun pegangan agama yang kuat merupakan benteng utama dalam menghindari perlakuan devian.
Beliau turut menarik perhatian sungguh pun tidak ada maklumat mengenai pengaruh media dan hiburan terhadap masalah melahirkan anak di luar nikah, tetapi satu kajian pda tahun 2003 mendapati wujudnya hubungan yang rapat antara dorongan seks dengan gejala itu.
“Lantas kawalan dan saringan terhadap kedua-dua pengaruh dan dorongan itu juga amat penting,” kata Dr Fatimah.
Dalam konteks Malaysia, kata Dr Fatimah lagi, dasar dan program bersepadu untuk membantu remaja hamil diluar nikah hampir tidak ada.  Hal tersebut mungkin timbul kerana tidak adanya data lengkap megenai mereka khususnya berkaitan latar belakang sosio-ekonomi, pergaulan dan hubungan hetroseksual serta pengalaman hubungan seks sebelum berkahwin.
Apa pun gejala kehamilan remaja diluar nikah ini perlu dilaksanakan dengan penuh teliti kerana ia turut melibatkan isu agama dan budaya yang berbeza di antara satu kaum dengan yang lain.
Kaedah yang dilakukan di Barat seperti penggunaan kaedah kontraseptif bagi mencegah kehamilan tidak boleh digunakan bagi remaja beragama Islam.
Fenomena ini sebenarnya adalah manifestasi kepada isu yang lebih besar lagi tentang kekalutan dalam struktur dan organisasi sosial dalam masyarakat. Sehubungan itu profail yang lengkap mengenai mereka sedang dikumpulkan kerana ia penting dalam merangka pelan intervensi dan prevensi.
“Ini amat penting bukan saja kepada remaja yang terlibat tetapi anak mereka yang bakal dilahirkan, khususnya daripada segi nasab, penjagaan dan masa depan mereka,” kata Dr Fatimah.

Cerai Berleluasa : Perlukan Kementerian Pembangunan Lelaki?


Pendedahan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha berdasarkan kajian yang dibuat pada tahun 2008, tempoh selama sepuluh tahun perkahwinan amat kritikal sekali kerana potensi penceraian adalah besar.

Dalam kajian pada tahun 2007, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian. Bagi tempoh enam hingga sepuluh tahun pula mendapati 27.7 peratus bercerai. Ini bererti tempoh sepuluh tahun pertama merupakan tahun yang paling kritikan kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan penceraian.

Daripada sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun berkenaan.

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN LELAKI
Kita sudah biasa dengan kewujudan kementerian pembangunan wanita di Negara kita Malaysia. Secara spontan kita dapat fahami peranan kementerian terbabit adalah untuk menjaga kebajikan kaum wanita dari serba serbinya agar tidak teraniaya, tertindas, ketinggalan dan seumpamanya. Namun melihat kepada keadaan semasa di Malaysia, mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan sebuah badan khas untuk membantu kaum lelaki yang kelihatan sudah semakin pudar keupayaan mereka.

Allah swt menciptakan isi dunia ini berpasangan agar mereka saling boleh bekerjasama memakmurkan dunia sesuai dengan fitrah mereka, fitrah yang pastinnya membawa kepada ketenangan, keharmonian dan dinamisme. Namun, dengan jumlah wanita yang lebih ramai memenuhi institut pengajian tinggi dan setersunay semakin banyak menguasai jawatan-jawatan di medan pekerjaan. Pendidikan di dalam rumah tangga semakin terhakis, salah satu puncanya adalah apabila wanita semakin ramai diperlukan untuk keluar beekrja seeangkan lelaki pula gagal menampung keperluan membantu dalam pendidikan anak-anak.
Dalam kata mudahnya, dunia pekerjaan kini memerlukan bantuan wanita untuk terus bergerak.

Namun dunia rumahtangga memerlukan bantuan lelaki untuk terus harmoni. Apabila wanita kelihatan berjaya menampung keperluan  dunia pekerjaan, tentunya kemampuannya mengurus isi rumahtangga menyusut, ketika itulah peranan lelaki diperlukan, tapi sedikit malang apabila lelaki terus terkebelakang. Di dunia kerjaya mereka menyusut, di dalam rumahtangga mereka sering gagal menampung ruang kosong yang ditinggalkan isteri bekerja. Hasilnya pergolakan pasti berlaku, rumahtangga berantakan, anak pasti terkena impak negatif dan seterusnya mendasar di dalam jiwa mereka sehingga dewasa.

Lebih buruk jika impak tersebut merosak jiwanya dan menjadi anak tersebut sebagai pembuli di sekolah, virus di universiti, sampah dalam masyarakat dan pencipta masalah dalam Negara.
Allah swt menyebut :

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Ertinya : Lelaki itu adalah ketua ke atas wanita disebabkan kerana kurniaan yang diberikan kepada mereka dan disebabkan nafqah yang mereka berikan.. ( Al-Nisa : 34)

Jelas dari ayat diatas, Allah melantik lelaki selaku ketua dan pemutus keputusan di dalam sesebuah rumahtangga berdasarkan dua sebab utama iaitu
a) kelebihan fizikal mereka dan
b) tanggungjawab mereka selaku pencari nafqah untuk keluarga.

Nescaya, kalau kedua-dua itu tidak disempurnakan dengan baik, pastinya masalah akan berputik satu demi satu, ketidakpuasan hati akan menjelma hari demi hari, kehidupan akan berubah kepada seribu satu macam jenis masalah, berakhir dengan penceraian dan anak-anak bermasalah.

Anak-anak ini akan membawa masalahnya ke sekolah dan universiti, sebagaimana ibu dan ayah mereka membawa masalah ke tempat kerja. Akhirnya aura negatif mereka berpindah dari seorang ke yang lain, lalu mempengaruhi sekelompok masyarakat dan seterusnya Negara. Ia adalah kesan domino yang berantai.

Kerana itu keharmonian keluarga amat penting dalam Islam, dan Nabi mengatakan krisis dalam keluarga adalah penghakis agama. Ia punca kepada masalah lebih besar dalam masyarakat.
Nabi memaklumkan keperluan segara mendamaikan dan menyelesaikan masalah dalam keluarga malah ia lebih besar ertinya dari sedeqah, puasa dan solat (sunat).
Nabi bersabda :-

ألا أخبركم بأفضل من درجة الصيام والصدقة والصلاة " أي درجة الصيام النافلة وصدقة نافلة والصلاة النافلة " ، فقال أبو الدرداء : قلنا بلى يا رسول الله ، قال : إصلاح ذات البين[1]

Ertinya : Wahai sahabatku, mahukah kamu aku khabarkan satu amalan yang lebih besar fadhilatnya berbanding puasa (sunat), sedeqah (sunat) dan solat (sunat), Maka Abu darda’ menjawab : ya Rasulullah. Nabi membalas “Itulah mendamaikan perbalahan dalam keluarga dan masyarakat” (Riwayat Al-Tirmidhi Abu Daud : Hadis bertaraf hasan dan sohih menurut Albani)

Dan Nabi menambah selepas itu, menyebut :-

وفساد ذات البين الحالقة
Ertinya : Keroasakan dalam hubungan rumahtangga, kaum kerabat dan organisasi masyarakat akan menghakis (ketaatan dalam agama) ( Riwayat Ahmad dan Tirmidhi : Hadis Hasan)

SEMAKIN MUDAH CERAI

Apabila wanita sudah berkerja dan berpendapatan sendiri, mereka tiada lagi punyai masalah untuk bercerai, hasilnya berdasarkan kajian Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin, trend perceraian bagi tempoh 1998-2002 menunjukkan, hampir 70 peratus kes perceraian di Kelantan, Johor dan Terengganu dipohon oleh wanita (isteri). Di beberapa negeri lain pula menyaksikan lebih 50 peratus wanita sebagai plaintif dalam kes perceraian.

Allah maha mengetahui wanita dan emosinya, ia satu perkara fitrah, justeru kuasa cerai diberikan kepada suami. Namun isteri masih mempunyai kuasa untuk memohon melalui mahkamah, apabila mereka benar-benar mempunyai kes dan sebab yang utuh di sisi syara’. Fakta yang diberikan di atas menyokongnya, ia juga sekaligus menunjukkan kegagalan kaum lelaki.

Tulisan ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, cuma mengajak kita berfikir sejenak kepada kelemahan lelaki dalam memainkan peranannya yang dianugerahkan oleh Allah, iaitu sebegai ketua keluarga. Ia merupakan satu tugas dan amanah yang datang dengan  tanggungjawab dan peranan.

Tanggungjawab sebesar itu, memerlukan ilmu dan kredibiliti secukupnya untuk bertindak selaku pemutus keputusan di dalam ruamhtangga. Keputusan yang dibuat pula mestilah cukup rasional dan boleh diterima oleh ahli rumah khususnya isteri. Seperti sifat seorang hakim di dalam mahkamah, selain hakim, peguam bela dan peguam pendakwa juga pakar di dalam bidang undang-undang, namun ia perlukan seorang pemutus keputusan. Itulah sebaik-baik cara yang Allah ajarkan untuk manusia, mereka perlukan pemimpin yang tidak mudah terpengaruh dengan emosi, tetapi lebih tumpu kepada rasional dalam membuat keputusan. Berdasarkan ayat surah al-Nisa tadi, Allah melantik lelaki dan Allah maha mengetahui setiap kelemahan dan kelebihan makhluk yang diciptakannya.

Hari ini, dengan segala kecukupan peralatan dan fizikal yang ada pada lelaki, semakin ramai yang menyalahgunakan kemudahan fizikal yang diberi. Digunakan untuk menjadi penjenayah tegar, tenaga fizikal digunakan untuk merempit dan bergaduh, ‘tunjuk kuat’. Sebahagiannya diguna untuk mendera anak dan isteri dan wanita lain. Minda logika dan kurang emosi yag Allah anugerahkan digunakan untuk justifikasikan segala kelalaian, menghiburkan diri apabila ditimpa kegagalan, padahal tiada usaha secukupnya dilaksanakan.

Akhirnya makin ramai lelaki yang gagal menggalas tugas ketua sebuah keluarga. Mendorongnya untuk terus mendesak isteri mengambil alih sebahagian tugasannya. Dan berterusan rumah menjadi ‘rumahku nerakaku’.

Mungkin dengan sebab itu, kita kini memerlukan Kementerian Pembangunan Lelaki di Negara kita?
Kita sedar, tabiat lelaki tidak suka dinasihati kecuali mereka yang datang meminta, tidak seperti wanita yang lebih mudah menerima nasihat. Justeru, adakah jika kementerian seperti ini diwujudkan, ia boleh mengubah situasi buruk yang melanda?.

SEGERALAH MELAKAR PLAN BERTINDAK ATAU..

Apapun, pemimpin Negara dan semua pihak berkuasa perlukan kaedah dan strategi jelas bagaimana untuk kembali memperkasakan lelaki, bukan dengan sibuk menjual ‘ubat kuat’ dan ‘tahan lasak’ tetapi untuk memperkasakan iman, ilmu, jiwa, minda mereka agar kembali boleh berperanan sebaiknya, tanpa plan bertindak yang jelas dan jitu, krisis lebih buruk akan berlaku dalam negara kita.
Sudah tentulah, pemerkasaan yang pertama adalah mengembalikan mereka kepada fitrah mereka, membawa lelaki kepada agama, kerana semua itu bakal mempengaruhi isteri dan anak-anak mereka.
Apa pandangan anda?

Dsiplin Islam Ketika Bercerai

 Mengulas persoalan talaq atau penceraian dalam Islam memerlukan huraian yang panjang lebar dan boleh mencecah tahap sebuah buku. Justeru, saya hanya akan memetik beberapa bahagian sahaja.

Penceraian adalah jalan terakhir yang disediakan Islam bagi pasangan suami isteri yang menghadapi masalah sama ada ketidakserasian atau juga masalah lain berkait dengan zalim, tidak tunai tanggung jawab dan lainnya.

Terdapat ulama yang menyatakan talaq ini sebenarnya amat dibenci sehingga sampai tahap dilarang dan ia hanya diharuskan apabila cukup syarat dan sebabnya atas nama 'keringanan' atau 'rukhsah'.

Nabi s.a.w bersabda :-

أبغض الحلال إلى الله الطلاق

Ertinya : "Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah Talaq ( penceraian suami isteri)"( Riwayat Abu Daud, Al-Hakim ; As-Suyuti, Ibn 'Adiyy : Sohih ; Al-Munawi, tidak sohih )

Namun pendapat ini tidaklah kuat kerana Nabi sendiri pernah menjatuhkan talaq ke atas hafsah Bt Umar Al-Khattab dan kemudian ruju' kembali. Kesimpulannya ia hanyalah makruh. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Nailul Awtar, 6/247 )  

Ini bertepatan dengan sabda baginda s.a.w : -
"Saya tidak suka kepada laki-laki yang suka kawin cerai dan perempuan yang suka kawin cerai." (Riwayat Thabarani dan Daraquthni)
Dan sabdanya pula:
إن الله لا يحب الذواقين والذواقات
Ertinya : "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada laki-laki yang suka kawin cerai dan perempuan-perempuan yang suka kawin cerai." (Riwayat Thabarani dengan sanad Dhoif kata Al-Munawi)
Namun demikian, talaq yang hendak dijatuhkan mestilah mengikut tatacara dan displin yang ditentukan Islam seperti berikut : -

1)Jangan Dicerai Ketika Isteri Haid & Nifas.

Haram dan berdosa hukumnya seorang suami menjatuhkan talaq isterinya dalam keadaan isterinya dalam keadaan :
  • haid
  • nifas
  • setelah disetubuhi waktu suci isteri kecuali sudah jelas wanita itu mengandung.
Justeru, bagi suami yang ingin menceraikan isterinya, pastikan bukan dan tiga situasi tersebut.

Ini adalah tanda fitrahnya (bertepatan dengan naluri manusiawi yang normal) hukum Islam, kerana dalam keadaan haid, termasuk juga nifas, seorang suami wajib menjauhi isterinya. Barangkali karena terhalangnya dan tketidakmampuannya mengawal nafsunya itu yang mendorong untuk menjatuhkan talaq.

Ia juga mungkin terdorong oleh perilaku isteri sewaktu haid. Sedangkan diketahui mental dan mood sang isteri tidak stabil diwaktu haid dan nifas terutamanya. Justeru tidak wajar sama sekali dibenarkan penceraian di waktu itu jika terdorong dek rasa marah dan tidak puas hati itu.

Syeikh Al-Qaradawi berkata :
"Sebagaimana diharamkannya mencerai isteri di waktu haid, begitu juga diharamkan menceraikannya sewaktu suci sesudah bersetubuh. Sebab siapa tahu barangkali si perempuan itu memperoleh benih dari suaminya pada kali ini, dan barangkali juga kalau si suami setelah mengetahui bahawa isterinya hamil kemudian dia akan merubah niatnya, dan dia dapat hidup senang bersama isteri karena ada janin yang dikandungnya." ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam )

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dikisahkan, bahwa Abdullah bin Umar Ibnul-Khattab pernah mencerai isterinya waktu haid. Kejadian ini sewaktu Rasulullah s.a.w. masih hidup. Maka bertanyalah Umar kepada Rasulullah s.a.w., maka jawab Nabi kepada Umar:
ً
Ertinya : "Suruhlah dia (Abdullah bin Umar) supaya ruju' kembali, kemudian jika dia mahu, cerailah sedang isterinya itu dalam keadaan suci sebelum disetubuhinya. Itulah yang disebut mencerai pada iddah, sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam firmanNya: Hai Nabi! Apabila kamu hendak mencerai isterimu, maka cerailah dia pada iddahnya. Yakni menghadapi iddah, yaitu di dalam keadaan suci."

Di satu riwayat disebutkan:
Ertinya : "Perintahlah dia (Abdullah bin Umar) supaya kembali, kemudian cerailah dia dalam keadaan suci atau mengandung." (Riwayat Bukhari)

JIKA DIJATUHKAN KETIKA HAID, ADAKAH SAH ?
Menurut pendapat majoriti mazhab Islam, talaq itu tetap sah, tetapi si pelakunya berdosa. Ia berdalilkan sebuah hadis Abdullah Ibn Umar tadi, apabila menceraikan isterinya dalam keadaan haid, nabi mengarahkannya agar segera ruju' kembali. Ini bererti talaqnya jatuh cuma berdosa. (Al-Mughni, 7/99 ; Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, hlm 225 )

Sementara kumpulan minoriti ulama berpendapat talaq tidak jatuh dan tidak sah, sebab talaq itu samasekali tidak menurut aturan syara' dan tidak dibenarkan. Oleh karena itu bagaimana mungkin dapat dikatakan berlaku dan sah?

Namun, pendapat yang lebih kuat adalah sah dan jatuh talaqnya.

2)Perempuan yang Dicerai Tetap Tinggal di Rumah Suami Selama dalam Iddah

Perempuan yang dicerai wajib tetap tinggal di rumah suaminya selama dalam 'iddah. Dia diharamkan keluar rumah, dan suami diharamkan mengeluarkan bekas isterinya itu dari rumah tanpa suatu alasan yang dapat dibenarkan.

Hal ini disebabkan suami, selama dalam 'iddah, masih diperkenankan merujuk dan mengembalikan isteri kepada perlindungan perkawinan untuk sekali lagi --apabila talaq ini baru satu atau dua kali.

Seorang isteri yang masih tinggal bersama di dalam rumah suami membuka ruang untuk membangkitkan perasaan suami dan mengingat-ingat serta berfikir sebelum habis 'iddah itu, dan sebelum berakhirnya bulan-bulan 'iddah dimana perempuan diperintahkan supaya menunggu agar yakin akan bersihnya rahimnya dari benih suami serta melindungi hak suami dan kehormatan isteri. Sebab hati selalu berubah, fikiran selalu baru, seorang yang sedang marah kadang-kadang menjadi rela, orang yang naik pitam kadang-kadang menjadi dingin dan orang yang benci kadang-kadang menjadi cinta.

Sehubungan dengan persoalan perempuan yang dicerai ini, Allah s.w.t. telah berfirman dalam al-Quran sebagai berikut:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاء فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا

Ertinya : "Dan takutlah kamu kepada Allah, Tuhanmu. Jangan kamu usir mereka itu dari rumah-rumah mereka dan jangan sampai mereka itu keluar rumah, kecuali apabila mereka berbuat kejahatan yang terang-terangan; dan yang demikian itu adalah batas-batas ketentuan Allah, dan barangsiapa melanggar batas-batas ketentuan Allah, maka sungguh dia telah berbuat zalim pada dirinya sendiri; kamu tidak tahu barangkali Allah akan mengadakan hal baru sesudah itu."(at-Thalaq: 1)

3) Talaq Mesti Dijatuhkan Mengikut Aturan Kiraan

Islam memberikan kepada seorang muslim tiga talaq untuk tiga kali, dengan suatu syarat tiap kali talaq dijatuhkan pada waktu suci, dan tidak disetubuhinya. Kemudian ditinggalkannya isterinya itu sehingga habis iddah. Kalau nampak ada keinginan merujuk sewaktu masih dalan 'iddah, maka dia boleh merujuknya.

Sekiranya dia tetap tidak merujuknya sehingga habis 'iddah, dia masih boleh untuk kembali kepada isterinya itu dengan aqad dan mahar (maskawin) baru. Dan kalau dia tidak lagi berhasrat untuk kembali, maka si wanita boleh berkahwin dengan orang lain.

Jika si laki-laki tersebut kembali kepada isterinya sesudah talaq satu, tetapi tiba-tiba terjadi suatu peristiwa yang menyebabkan jatuhnya talaq yang kedua, si lelaki masih boleh ruju' semula dalam tempoh 'iddah.

Dan kalau suami kembali dan menceraikan isterinya buat kali ketiga, maka ini merupakan suatu bukti nyata, bahwa perceraian antara keduanya itu harus dikukuhkan, sebab persesuaian antara keduanya sudah tidak mungkin.

Oleh karena itu dia tidak boleh kembali lagi, dan si perempuan pun sudah tidak lagi halal buat si laki-laki tersebut, sampai dia kawin dengan orang lain secara syar'i. Bukan sekedar menghalalkan si perempuan untuk suaminya yang pertama tadi. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

TALAQ TIGA SEKALI LAFAZ?
Menjatuhkan talaq tiga dengan satu kali ucapan, adalah salah di sisi Islam.

Para ulama berbeza pendapat berapa talakkah yang jatuh sekiranya ia dilakukan juga seperti berikut :-
Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali : Jatuh talaq tiga sekaligus. ( Al-Mughni, 7/104 ; Hasyiah Ad-Dusuqi, 2/385 )
Ibn Taimiah & Ibn Qayyim : jatuh satu Talaq sahaja ( Zad Al-Ma'ad, 4/67 )

Apapun, di Malaysia pendapat majoriti mazhab adalah terpakai, ini bermakna sesiapa yang menyebut cerai talaq tiga dalam satu lafaz, jatuhlah talaq tiga.

Kes Zakaria Talib lwn Norziah Ahmad [2005] 1 CLJ (Sya) 132 adalah contoh dimana suami menlafazkan talak tiga sekali gus melalui surat dan hakim berpendapat bahawa talak tiga telah jatuh kerana lafaz telah jelas dan niat tidak perlu dibuktikan. Hasilnya, suami tidak boleh rujuk atau nikah semula dengan isterinya kecuali setelah isterinya berkawhin dengan lelaki lain, cerai dan tamat iddahnya.

Namun, walalupun jatuh talaq tiga itu, Ia dikira satu kesalahan spiritual dari sudut Islam . Satu ketika Rasulullah s.a.w. diberitahu tentang seorang laki-laki yang mencerai isterinya tiga talaq sekaligus. Kemudian Rasulullah berdiri dan marah, sambil bersabda:
أيُلعبُ بكتابِ اللَّه عزَّ وجلَّ وأنا بينَ أظهُرِكم حتى قامَ رجلٌ فقال يا رسولَ الله أَلاَ أقتُله   
Ertinya : "Apakah dia mahu mempermainkan kitabullah, sedang saya berada di tengah-tengah kamu? Sehingga berdirilah seorang laki-laki lain, kemudian dia berkata: Ya Rasulullah! apakah tidak saya bunuh saja orang itu!" (Riwayat Nasa'i, 2/349 )

Tebus Talak

Seorang perempuan apabila tidak suka kepada suaminya tidak sanggup bergaul bersama, maka dibolehkan menebus dirinya dan membeli kemerdekaannya dengan mengembalikan harta yang pernah diberikan oleh suami kepadanya berupa maskawin, atau hadiah dengan sedikit berkurang atau lebih menurut kesepakatan bersama.
Akan tetapi yang lebih baik si laki-laki tidak mengambil lebih dari apa yang pernah diberikan.

Firman Allah:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ يُقِيمَا حُدُودَ اللّهِ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ فَلاَ تَعْتَدُوهَا
Ertinya : "Jika kamu kawatir mereka berdua tidak dapat menegakkan batas-Batas ketentuan Allah, maka tidak dosa atas keduanya tentang sesuatu yang ia menebus dengannya." (al-Baqarah: 229)
Isteri Tsabit bin Qais pernah datang kepada Nabi s.a.w. mengadukan:

"Ya Rasulullah! Sesungguhnya Tsabit bin Qais tidak saya cela budi dan agamanya, tetapi saya tidak tahan marahnya. Kemudian Nabi bertanya tentang apa yang pernah dia ambil dari suaminya itu. Ia menjawab: Kebun. Lantas Nabi bertanya lagi., Apakah kamu mau mengembalikan kebun itu kepadanya? Ia menjawab: Ya. Maka bersabdalah Nabi kepada Tsabit: Terimalah kebun itu dan cerailah dia." (Riwayat Bukhari dan Nasa'i)

Namun demikian, seorang isteri tidak dibenarkan cepat-cepat minta cerai tanpa alasan yang dapat dibenarkan dan tanpa suatu pendorong yang dapat diterima yang kiranya bisa membawa kepada perceraian antara keduanya. Sebab Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagai berikut:

قال رسول الله أيما امرأة سألت زوجها الطلاق من غير بأس حرم الله عليها أن تريح رائحة الجنة
Ertinya : "Siapa saja perempuan yang minta cerai kepada suaminya tanpa suatu sebab yang dapat dibenarkan, maka dia tidak akan mencium bau syurga." (Riwayat Abu Daud, Al-Hakim, 2/218 ; At-Tirmizi, 3/493 ; Al-Hakim : Sohih dengan syarat Bukhari & Muslim ; At-Tirmidizi : Hadis Hasan)

Sekian


Ust Zaharuddin Abd Rahman

Sunday, May 8, 2011

Tahniah MRS Tapah....

Penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh wargakerja MRS Tapah yang bertungkus lumus menjayakan perlaksanaan 5S. Alhamdulillah berkat kerjasama dan komitmen dari semua MRS Tapah berjaya menduduki tempat ke 3 keseluruhan dan layak dipersijilkan dengan Amalan Perlaksanaan Persekitaran Berkualiti 5S yang telah diaudit oleh pihak MAMPU baru-baru ini.

Penilaian perlaksanaan 5S ini telah diperhalusi dari pelbagai aspek-aspek utama terutama keperluan asas, kawasan persekitaran, ruang pejabat, kemudahan, pengurusan stok dan pelbagai kriteria yang telah ditetapkan. Selaras menyahut seruan dan cabaran Y.A.A Dato Ketua Hakim Syarie, MRS Tapah bertekad untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan untuk terus memberi saingan kepada mahkamah-mahkamah daerah yang lain seterusnya berazam memperbaiki pencapaian ini ke tahap yg lebih tinggi dan terpuji.

Pendekatan mesra pentadbiran yang diamalkan oleh MRS Tapah mula menampakkan hasil dengan wujudnya komitmen, kesungguhan dan kerjasama dari seluruh wargakerja yang bersama-sama memikul tanggungjawab memantapkan lagi jentera pentadbiran MRS Tapah. Dikesempatan ini tahniah diucapkan kepada Zon Perak (Pentadbiran HQ) selaku juara keseluruhan, Zon Kalimaya (MRS Parit Buntar) naib johan dan semua Zon yang telah bersama2 memberikan saingan positif didalam menjayakan Perlaksanaan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S. Semoga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak terus maju dan gemilang..

  Bilik Mesyuarat Tertutup

 Dewan Bicara

 Info 5S yang lengkap

 Dewan Syura

 Auditan Mampu (sesi interview dokumentasi)

 Tuan Hamzah MAMPU menilai pegawai penyelaras 5S MRS Tapah

 Ruang kerja yang selesa dan kemas

 Penemuan kreatif dijadikan contoh bagi menilai personaliti dan sikap didalam perlaksanaan 5S

 Persekitaran MRS Tapah yang menghijau dan mendamaikan

Sistem Bilik Fail yang kemas dan kemudahcapaian menjadi aset utama penilaian auditor

 Galeri di Kamar Hakim yg tersusun indah... he he jgn marah nooo