Usia
perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya tiga orang cucu.
Namun siisteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata, “saya sudah letih
berdepan dengan kerenah suami. Sikap sambil lewanya sangat memeningkan kepala.
Saya benar-benar berada di persimpangan, ingin minta agar perkahwinan ini
dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan saudara?”
“Teruskan
perkahwinan,” jawab saya dengan pasti. Saya teringat ungkapan lama yang menjadi
pegangan diri sejak dahulu. Ungkapan itu berbunyi: “Jika sesat di hujung jalan,
balik ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah
menghalang, jangan berpatah balik, teruskan perjalanan!”
“Mengapa
pula?” tanya siisteri.
“Jika
puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun sahaja untuk terus
bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam bersabar. Yang penting cubalah
positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di jalan yang betul, cuma rintangannya
ada. Puan mesti atasi dan teruskan perkahwinan ini. ”
“Saudara
cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap
negatif?”
Saya
senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk saya juga serta
untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah syarat untuk kita
bersikap positif. ‘Right mental attitude’ sangat penting dalam melayari
bahtera rumah tangga. Sikap yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumah tangga
yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira
apa yang sedang dihadapi di luar diri kerana apa yang lebih utama ialah ‘what
happens in you’ bukan ‘what happens to you.’
Untuk
mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan
terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah beberapa langkah
praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang
positif:
- 1.
Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.
Punca
hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia
ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh
dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.” Dalam kebanyakan
situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul
bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang
kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.
Di
dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga
yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah
kerana tidak mendapat balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan!
Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh
syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih
utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus
menjadi mangsa?
Jawabnya,
tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus
membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku
berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan? Ramai orang terseksa dengan
kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu…
Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang
penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung
jawab ku.
Katalah
dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul dan benar, itu
pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan dibenarkan. Acap kali pihak
pasangannya kita terus berusaha menegakkan benang yang basah. Apatah lagi bila
egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak.
Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil. Ingatlah,
berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga)
yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam,
marah, kecewa dan kemurungan.
Rasa-rasa
yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan
pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan
ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini.
Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih
bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu tinggalkan segala keegoan,
kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.
Semua
itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu
berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya
dia (pasangan kita) lakukan. Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni
tanggung jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita
yang ada pada kawalan pasangan kita.
Ironinya,
mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat
haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada
pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti
mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.
ii)
Sering berdamping dengan orang yang positif.
Siapa
kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku
apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita
meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang
sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang
ditentukan oleh temannya.
Justeru,
berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’
yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam
melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa
mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang
tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya
yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?
Oleh
itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’
sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat
sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita berhak untuk meletakkan satu jarak
yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat
kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri
kita. Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun
kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa
rebah.
iii)
Jadikan sekarang masa paling gembira.
Jika
orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga
kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa
mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “bila
anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.” Dengan berkata demikian kita
telah ‘membunuh’ potensi hari ini.
Ya,
memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya
pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini
bukan pada masa lalu. Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira.
Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum
tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi
jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan
meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan
esok!
Jangan
biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya
selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas
itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu
kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa
kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’ yang menghasilkannya dahulu dan mari
dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!
iv)
Cari jalan untuk mengatasi stres.
Stres
akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan
membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan
cara untuk mengawal stres. Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti
fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca,
berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada
aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.
Jangan
tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan
diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda. Dengan
aktiviti yang aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran,
jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirahat. Lupakah kita
bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?
Ini
akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita
akan dapat melupakan seketika masalah yang kita hadapi… bukan untuk eskapisme
tetapi untuk kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita
tenang dan emosi kita telah kembali stabil.
v)
Jangan terlalu serius.
Kehidupan
berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak
terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur.
Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat
tarian orang Habsyah. Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu
terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak.
Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya,
mengapa kita tidak?
Memang
banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu
tidak menghalang daripada kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan
pasangan kita. Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita,
hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih
jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Ternyata mereka yang
menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya
menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga
bahagia.
Apabila
rumah tangga kelihatan malap atau ‘sindrom bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah
ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara
yang dicadangkan ini. Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat
tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi
positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya… Mereka sahaja yang
layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain.
Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan
pasangan hidupnya!
Kesimpulannya,
bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan.
Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka
akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum
terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar
terjadi.
Apabila
kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan
upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya,
mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya
kekuatan untuk menghadapinya. Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya
seketika, atau boleh jadi yang buruk itu… tidak buruk sama sekali. Ada hikmah
yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya.
Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah
kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini?
Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain.
Itulah misterinya takdir…
Apa
yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah
tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan
menambah kebahagiaan kita. Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang
Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah
bukan? Ya, kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah
hati yang tabah untuk menghadapinya!”