Mungkin ramai tidak menyangka bahawa dengan istighfar dan taubat mampu menjadi sebab terbukanya pintu-pintu rezeki. Oleh kerana itu, berlumba-lumba dan bersegeralah kepada pintu taubat Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Ali ‘Imran:
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu...” (Surah Ali ‘Imran, 3: 133)
Dalam al-Qur’an terdapat banyak petunjuk yang menunjukkan bahawa rezeki Allah diturunkan kepada orang-orang yang sentiasa beristighfar, bertaubat dan kembali kepada Allah. Di antara petunjuk yang dimaksudkan tersebut adalah sebagaimana berikut.
Nuh ‘alaihis Salam pernah berkata kepada kaumnya sebagaimana dikatakan oleh Allah dalam al-Qur’an:
فَقُل فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (١٠) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (١١) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا
“Maka aku katakan kepada mereka, “Beristighfarlah kepada Rabb-mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan melengkapkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun, dan mengadakan pula di dalamnya sungai-sungai.” (Surah Nuh, 71: 10-12)
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H)menjelaskan ayat ini dalam tafsir:
أي: إذا تبتم إلى الله واستغفرتموه وأطعتموه، كثر الرزق عليكم، وأسقاكم من بركات السماء، وأنبت لكم من بركات الأرض، وأنبت لكم الزرع، وَأَدَرَّ لكم الضرع، وأمدكم بأموال وبنين، أي: أعطاكم الأموال والأولاد، وجعل لكم جنات فيها أنواع الثمار، وخللها بالأنهار الجارية بينها
“Maksudnya apabila kamu semua bertaubat kepada Allah, beristighfar (memohon ampun) kepada-Nya dan kamu sentiasa mentaati-Nya, nescaya Dia akan memperbanyakkan rezeki ke atas kamu, menurunkan kepada kamu hujan yang barakah, mengeluarkan untuk kamu keberkahan dari bumi, menumbuhkan untuk kamu tumbuh-tumbuhan, mengalirkan (melimpahkan) untuk kamu susu-susu perahan, dan melengkapkan untuk kamu harta dan anak-anak. Maksudnya Dia akan memberi kamu dengan harta kekayaan dan anak-anak serta memberi kepada kamu kebun-kebun yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis buah-buahan yang di dalamnya mengalir sungai-sungai.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/233)
Imam al-Qurthubi dan Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahumallah menyebutkan sebuah atsar dari al-Hasan al-Bashri rahimahullah:
ان رجلا شكى إليه الجدب فقال استغفر الله وشكى إليه آخر الفقر فقال استغفر الله وشكى إليه آخر جفاف بستانه فقال استغفر الله وشكى إليه آخر عدم الولد فقال استغفر الله ثم تلا عليهم هذه الآية
“Bahawasanya seorang lelaki mengadu kepadanya tentang musim kemarau yang sedang terjadi. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristighfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah.”
Kemudian datang pula orang lain mengadu kepada beliau tentang kefaqirannya. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristighfarlah kepada Allah.”
Kemudian datang lagi yang lain pula mengadu kepada beliau tentang kekeringan tanamannya. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristigfarlah kepada Allah.”
Kemudian datang lagi yang lain mengadu kepada beliau kerana masih tidak memiliki anak. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristighfarlah kepada Allah.” Kemudian al-Hasan al-Bashri pun membacakan surah ini (Surah Nuh, 71: 11-12) kepada mereka.” (Tafsir al-Qurthubi, 18/302-303. Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 11/98)
Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَيَقَوْمِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَى قُوَّتِكُمْ وَلا تَتَوَلَّوْا مُجْرِمِينَ
“(Hud berkata): “Wahai kaumku, beristighfarlah kepada Rabb-mu kemudian bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat ke atas kamu dan Dia akan menambahkan kekuatan pada kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling dengan melakukan dosa.” (Surah Huud, 11: 52)
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah mengatakan:
ثم أمرهم بالاستغفار الذي فيه تكفير الذنوب السالفة، وبالتوبة عما يستقبلون ومن اتصف بهذه الصفة يسر الله عليه رزقه، وسهل عليه أمره وحفظ شأنه؛ ولهذا قال: يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا
“Kemudian dia (Huud) menyuruh mereka beristighfar yang dengannya dapat menghapuskan dosa yang telah lalu, juga dengan bertaubat dari apa yang sedang mereka hadapi. Dan sesiapa yang memiliki sifat ini, Allah memudahkan rezeki ke atasnya dan memudahkan ke atasnya urusannya dan memelihara keadaannya. Dan untuk itulah Allah berfirman: “...nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat ke atas kamu.”
Disebutkan dalam suatu hadis:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
“Sesiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah menjadikan untuknya dari setiap kesedihan ada kegembiraan, bagi setiap kesempitan ada jalan keluar, dan memberinya rezeki yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Dinilai sahih sanadnya oleh Ahmad Syakir, tetapi dinilai dhaif oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth).” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/329)
Dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman:
وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُمْ مَتَاعًا حَسَنًا إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ
“Dan beristighfarlah kepada Rabb-mu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kepada kamu kenikmatan yang baik sehingga waktu yang ditentukan, dan Dia memberi kepada setiap yang memiliki keutamaan, keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab di hari yang besar (Kiamat).” (Surah Huud, 11: 3)
Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menjelaskan:
هَذِهِ ثَمَرَةُ الِاسْتِغْفَارِ وَالتَّوْبَةِ، أَيْ يُمَتِّعُكُمْ بِالْمَنَافِعِ من سَعَةِ الرِّزْقِ وَرَغَدِ الْعَيْشِ، وَلَا يَسْتَأْصِلُكُمْ بِالْعَذَابِ كَمَا فَعَلَ بِمَنْ أَهْلَكَ قَبْلَكُمْ
“Inilah buah hasil istighfar dan taubat. Iaitu Allah memberi kenikmatan kepada kamu dengan manfaat-manfaat berupa rezeki yang banyak dan hidup yang sejahtera, serta Dia tidak akan mengazab kamu sebagaimana yang dilakukan-Nya ke atas orang-orang sebelum kamu.” (Tafsir al-Qurthubi, 9/3)
Demikian juga sebagaimana ditegaskan oleh Syaikh Muhammad al-Amin asy-Syanqithi rahimahullah (Wafat: 1393H):
هذه الآية الكريمة تدل على أن الاستغفار والتوبة إلى الله تعالى من الذنوب سبب لأن يمتع الله من فعل ذلك متاعاً حسناً إلى أجل مسمى؛ لأنه رتب ذلك على الاستغفار والتوبة ترتيب الجزاء على شرطه
“Ayat yang mulia ini adalah dalil yang menunjukkan istighfar dan taubat kepada Allah dari dosa-dosa adalah termasuk sebab yang dengannya Allah memberikan kenikmatan yang baik sehingga waktu yang ditentukan kepada orang-orang yang melakukannya. Allah memberikan balasan kebaikan atas istighfar dan taubat tersebut berdasarkan syaratnya.” (Adhwa’ul Bayan, 2/169-170)
Anjuran dan Contoh-contoh Istighfarnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
Oleh itu, perbanyakkanlah istighfar dan taubat. Istighfar dan taubat memiliki keutamaan yang sangat besar bukan sekadar apa yang disebutkan di atas. Malah Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri yang memerintahkan kepada kita agar sentiasa beristighfar dan bertaubat kepada-Nya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
مَنْ عَمِلَ سَيِّئَةً فَلا يُجْزَى إِلا مِثْلَهَا وَمَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ يُرْزَقُونَ فِيهَا بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Dan mohonlah ampun untuk dosamu dan bertasbihlah dengan memuji Rabb-mu di waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Mukmiin, 40: 55)
Di ayat yang lain:
لِلَّذِينَ اتَّقَوْا عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَأَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ (١٥)الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا إِنَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (١٦)الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنْفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالأسْحَارِ
“Untuk orang-orang yang bertaqwa (kepada Allah), di sisi Rabb mereka ada Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan mereka dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat para hamba-Nya. Iaitu orang-orang yang berdoa, “Wahai Rabb kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka.” Iaitu orang-orang yang sabar, yang tetap taat, yang mengeluarkan sedekah, dan yang memohon keampunan di waktu sahur.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 15-17)
Dalam ayat lain lagi:
وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا
“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menzalimi dirinya lalu kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nisaa’, 4: 110)
Demikian juga sebagaimana apa yang diperintahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau bukan sahaja mengajak agar kita sentiasa beristighfar dan bertaubat, malah beliau sendiri telah menunjukkan contohnya dengan sebaik-baik contoh. Beliau mengajar kita agar beristighfar dalam banyak keadaan dan hampir setiap keadaan. Seperti ketika tersedar dari melakukan dosa, ketika menutup majlis, ketika waktu pagi dan petang, ketika hendak mengakhiri solat, ketika sebaik selesai solat, ketika di dalam solat, ketika sebaik selesai berwudhu’, dan banyak lagi.
Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
“Demi Allah, aku benar-benar beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam satu hari lebih banyak dari tujuh puluh kali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, bab: Istighfar Nabi di siang dan malam hari, no. 6307)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِي، وَإِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللهَ، فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ
“Sesungguhnya aku dicukupkan atas hatiku dan aku beristighfar kepada Allah sehari seratus kali.” (Hadis Riwayat Muslim, bab: anjuran beristighfar, no. 2702)
Di antara contoh-contoh istighfar dan taubat Nabi sebagaimana dalam hadis-hadisnya yang sahih adalah:
Abu Barzah al-Aslami radhiyallahu ‘anhu berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: بِأَخَرَةٍ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَقُومَ مِنَ الْمَجْلِسِ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ» فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّكَ لَتَقُولُ قَوْلًا مَا كُنْتَ تَقُولُهُ فِيمَا مَضَى، فَقَالَ: «كَفَّارَةٌ لِمَا يَكُونُ فِي الْمَجْلِسِ
“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau berkata (berdoa) ketika di akhir hendak bangun (menutup) majlis (dengan doa):
“Maha Suci Engkau Ya Allah, dan segala puji bagi-Mu, aku mengakui bahawa tiada Ilah selain Engkau, aku memohon ampun kepada Engkau dan aku bertaubat kepada Engkau.”
Seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau mengucapkan satu ucapan yang tidak pernah engkau ucapkan sebelum ini?”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda, “Itu adalah sebagai penebus dosa yang terjadi sepanjang dalam majlis.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4857. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Ketika solat malam setelah tasyahhud akhir sebelum salam, beliau berdoa:
اللهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
“Ya Allah ampunilah dosaku yang telah lalu dan yang akan datang, yang aku rahsiakan dan yang tampak, yang aku lakukan secara berlebihan serta yang Engkau lebih mengetahui daripadaku sendiri, Engkau yang mendahulukan dan Engkaulah yang mengakhirkan, tiada Ilah melainkan Engkau.” (Hadis Riwayat Muslim, bab: Doa dalam solat malam, no. 771)
Tsauban radhiyallahu ‘anhu menjelaskan cara Nabi beristighfar setelah solat fardhu:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلَاتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلَاثًا وَقَالَ: اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ قَالَ الْوَلِيدُ: فَقُلْتُ لِلْأَوْزَاعِيِّ: كَيْفَ الْاسْتِغْفَارُ؟ قَالَ: تَقُولُ: أَسْتَغْفِرُ اللهَ، أَسْتَغْفِرُ اللهَ
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila selesai bersolat, beliau beristighfar tiga kali, kemudian mengucapkan:
“Ya Allah, Engkaulah yang memiliki Kesejahteraan, dan daripada Engkau asalnya kesejahteraan itu, segala keberkatan adalah milik Engkau Ya Allah, yang memiliki kebesaran dan kemuliaan.”
Al-Waliid (salah seorang perawi, murid al-Auzaa’i) bertanya kepada al-Auzaa’i, “Bagaimana cara beristighfar yang dimaksudkan?” Al-Auzaa’i menjawab:
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ
(Dengan mengucapkan): “Astaghfirullah (Aku memohon ampun kepada Allah), astaghfirullah...”.” (Hadis Riwayat Muslim, bab: Anjuran berdzikir setelah solat, no. 591)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ قَالَ: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ، غُفِرَ لَهُ، وَإِنْ كَانَ قَدْ فَرَّ مِنَ الزَّحْفِ
“Sesiapa mengucapkan: “Aku memohon ampun kepada Allah yang tiada Ilah melainkan Dia, yang terus-menerus mengurus makhluk-Nya dan aku bertaubat kepada-Nya.”
Nescaya dosa-dosanya diampuni walaupun dia telah lari dari peperangan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, bab: al-Istighfar, no. 1517)
Selain itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah ditanya oleh ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha tentang ketekunan beliau dalam melakukan amal-amal seperti solat malam dan memohon keampunan sedangkan Allah telah mengampuni dosa-dosa beliau sama ada yang terdahulu mahupun yang akan datang. Lalu Rasulullah pun menjawab:
يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
“Wahai ‘Aisyah, tidak wajarkah aku menjadi hamba yang bersyukur?” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2820)
Demikianlah sebahagian contoh hadis-hadis yang menunjukkan anjuran agar kita semua sentiasa memperbanyakkan istighfar dan taubat. Dari hadis-hadis ini juga telah menunjukkan bagaimana sikap atau sunnah yang dicontohkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kita agar mencontohi dan mengamalkannya. Lihatlah betapa tekunnya Nabi dalam beristighfar.
Hakikat Istighfar dan Taubat
Walau bagaimanapun, istighfar dan taubat tidak cukup hanya dengan lisan, ia perlu diiringi dengan tekad yang kuat dan dizahirkan melalui amal perbuatan dan kebaikan. Istighfar dan taubat yang hanya semata-mata di lisan, maka takut-takut ia termasuk istighfar dan taubatnya para pendusta. Ini sebagaimana kata imam Fudhail B. ‘Iyadh rahimahullah (Wafat: 187H):
استغفارٌ بلا إقلاع توبةُ الكذّابين
“Istighfar (mohon keampunan) tanpa melepaskan diri (dari kemaksiatan) adalah taubatnya para pendusta.” (an-Nawawi, al-Adzkar, m/s. 703; Tahqiq ‘Amir ‘Ali Yasin – Daar Ibn Khuzaimah)
Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
قال أصحابنا وغيرهم من العلماء للتوبة ثلاثة شروط أن يقلع عن المعصية وأن يندم على فعلها وأن يعزم عزما جازما أن لايعود إلى مثلها أبدا فان كانت المعصية تتعلق بآدمى فلها شرط رابع وهو رد الظلامة إلى صاحبها أو تحصيل البراءة منه والتوبة أهم قواعد الاسلام وهى أول مقامات سالكى طريق الآخرة
“Para ulama mazhab kami dan selain mereka mengatakan, taubat itu memiliki 3 syarat; iaitu meninggalkan maksiat, menyesalinya, dan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat tersebut untuk selama-lamanya.
Apabila maksiat tersebut berkaitan dengan hak sesama manusia, maka ditambah dengan satu syarat lagi, iaitu mengembalikan apa yang diambilnya kepada pemiliknya, atau mendapatkan pelepasan dari segala apa yang dituntutnya.
Taubat adalah merupakan sendi (atau tiang) agama Islam yang paling penting, dan ia adalah langkah awal bagi yang berhajat kepada jalan akhirat.” (Syarah Shahih Muslim, 17/25)
Maka begitulah sebahagian dari dalil-dalil yang menunjukkan keagungan istighfar. Betapa besar dan banyak buahnya! Di antaranya ia mampu menjadi penyebab dibukanya pintu rezeki oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Ya Allah, jadikanlah kami termasuk hamba-hamba-Mu yang pandai beristighfar. Jadikanlah kami termasuk orang-orang yang memiliki sifat taubat dan sentiasa beristighfar. Dan kurniakanlah kepada kami buahnya, di dunia mahupun di akhirat. Dan mudahkanlah bagi kami rezeki-rezeki kami, lancarkanlah urusan-urusan kami, serta peliharalah kami. Sesungguhnya Engkau Maha memperkenankan doa, wahai Dzat yang Memiliki ke-Agungan dan ke-Muliaan. Ameen.
Wallahu a’lam...
No comments:
Post a Comment