Monday, February 28, 2011

Peguam Syarie...Bertindak membantu Mahkamah


Apabila memperkatakan mengenai peguam syarie, kita memperkatakan mereka yang membela anak guamnya di Mahkamah Syariah dalam kes di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.Hakikatnya peguam syarie ada tugas tertentu dan tugas utamanya ialah mewakili pihak yang terbabit dalam prosiding perbicaraan dengan menghadirkan diri bagi pihak mereka, membela pelanggan secara lisan atau bertulis. Ini bermakna tugas peguam merangkumi mengemuka, membela dan menjadi wakil kepada pihak yang terbabit dalam sesuatu kes.

Menurut Almarhum Syaikh Mohd Abu Zuhrah mengenai peguam syarie, "seorang yang alim mengenai undang-undang yang mampu mencari kebenaran pihak yang benar dan menolak kepalsuan pihak yang bersalah bersandarkan kepada ilmunya mengikut kehendak undang-undang dalam menegakkan hak dan kewajipan dan pengekalan dan pengukuhan kepada kepada kebebasan awam."

Ini bermakna peguam syarie mempunyai tugas penting selain mewakili anak guamnya di mahkamah iaitu dengan membantu mahkamah menegakkan keadilan dengan meletakkan hak kepada yang berhak.

Dengan kata lain, peguam syarie sebenarnya adalah pegawai mahkamah yang membantu hakim mengendalikan kes di mahkamah syariah supaya mahkamah dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan. Tanpa bantuan peguam syarie akan menyukarkan mahkamah untuk membuat sebarang keputusan yang tepat dan adil kerana mahkamah berperanan untuk mendengar dan memutuskan kes saja.

Peguam bertindak membentangkan fakta kes pihak yang bertikai, membentangkan daripada aspek perundangan dan prosedur kepada mahkamah supaya mahkamah dapat memberikan keputusan yang tepat dan adil berlandaskan hukum syarak. Justeru, peguam syarie perlu mempersiapkan diri dengan ilmu untuk mencari kebenaran serta menolak sebarang kebatilan. Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh peguam syarie sebelum dapat mewakili anak guamnya.

Allahyarham Prof Datuk Dr Mahmud Saedon Awang Othman berkata, peguam syarie hendaklah seorang yang berakhlak. Ini bermakna peguam syarie perlu memiliki akhlak serta budi pekerti yang mulia seperti dituntut hukum syarak.

Peguam syarie hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan anak guamnya dengan jujur serta niat ikhlas melakukan ibadat. Niat penting bagi mengelakkan hak anak guam diabaikan. Selain itu, peguam syarie hendaklah mempunyai pengetahuan syariah yang mendalam daripada aspek Usul Fiqh, Qawaid Fiqhiyyah, memahami Maqasid Syariah dan sebagainya.

Peguam syarie yang tidak mempunyai pengetahuan syariah mendalam akan menghadapi kesukaran mendapat membantu hakim dalam menegakkan keadilan terutama yang berhubung undang-undang syariah diamalkan di mahkamah syariah. Peguam syarie, memahami undang-undang prosedur di Mahkamah Syariah yang terbahagi kepada dua iaitu prosedur atau tatacara mal dan prosedur atau tatacara jenayah.

Tanpa memahami kedua-dua prosedur ini, peguam syarie dianggap gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai peguam syarie. Peguam syarie hendaklah mengetahui Undang-Undang Keterangan Islam dan Kanun Jenayah Syariah yang diterima pakai di mahkamah syariah, selain mengetahui undang-undang berkaitan tugasan seharian dan memahami enakmen atau akta Keluarga Islam, Pentadbiran Agama Islam, Perlembagaan Malaysia, Kanun Tanah Negara, Akta KWSP dan undang-undang lain yang berkaitan.

Selain itu pengetahuan serta pemahaman berkaitan dengan Arahan Amalan Mahkamah Syariah yang dikeluarkan oleh JKSM juga perlu bagi memudahkan urusan pentadbiran serta pengamalan di mahkamah syariah lebih berkesan. Mengetahui dan memahami undang-undang lain berkaitan arahan amalan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan di samping menyelesaikan permasalahan yang timbul lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan permasalahan anak guam yang semakin kompleks hari ini.

Justeru, bagi melahirkan peguam syarie yang cemerlang hendaklah menyahut cabaran dengan mempertingkatkan ilmu pengetahuan terutama berkaitan perundangan syariah serta mendalami ilmu lain berkaitan tugasan mereka. Ini adalah kerana peguam syarie mempunyai tugasan berat selain mendokong amanah anak guam, mereka bertanggungjawab membantu hakim di mahkamah menegakkan keadilan.

Selain itu, akhlak sebagai peguam syarie hendaklah dijaga dan dihayati supaya profesion ini lebih dihormati dan disegani bukan saja daripada aspek profesion tetapi nilai mulia yang ditampilkan mereka. Hayatilah kisah Ka'b di mana Ka'b berjaya membantu Khalifah Umar memahami pengaduan seorang wanita mengenai suaminya yang gagal memberikan layanan wajib terhadapnya.

Kisah Ibn Abbas membela seorang perempuan yang disabitkan kesalahan melakukan zina dan hendak direjam. Dengan pembelaan itu, Khalifah Uthman membetulkan hukuman yang dijatuhkan dengan membebaskan perempuan berkenaan walaupun sebelum ini sudah berikrar di hadapannya bahawa dia melakukan zina.

KAEDAH-KAEDAH PEGUAM SYARIE 1995
BAHAGIAN III - PEGUAM SYARIE

Seksyen 8. Kelayakan Peguam Syarie.(1) Tertakluk kepada subkaedah (2), mana-mana orang memenuhi syarat-syarat yang berikut adalah layak untuk menjadi Peguam Syarie-
    (a) (i) Seseorang yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah yang diiktiraf oleh Majlis dari mana-mana institut pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan; atau
      (ii) Seseorang Peguambela atau Peguamcara yang berdaftar di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976[Akta 166]; dan
    (b) (i) Telah mendapat latihan profesional yang diiktiraf oleh Majlis di dalam bidang kehakiman Islam, atau
      (ii) Berkemahiran dalam Hukum Syarak; dan
    (c) Berkelakuan baik dan-
      (i) Tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di mana-mana tempat lain atas apa-apa kesalahan Jenayah (di bawah mana-mana undang-undang bertulis) yang menjadikannya tidak layak menjadi Peguam Syarie khususnya. Tetapi tidak terhad kepada kesemua kesalahan berkenaan dengan penipuan atau kecurangan; atau (ii) Bukan sedang menjadi bankkrap; atau (iii) Tidak pernah didapati bersalah atas apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang dinyatakan di dalam paragraf (a), (b), (c), (e), (f), (h), (k) atau (l) Sub Seksyen (6). Seksyen 33 Akta Kebankrapan 1967[Akta 55]; dan
    (d) Seseorang warganegara atau pemastautin tetap Malaysia.

(2) Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis dan Peguam Persekutuan Malaysia adalah dianggap sebagai telah dilantik oleh Majlis di bawah Kaedah-kaedah ini sebagai Peguam Syarie dan boleh jika tugas rasminya memerlukan, mewakili mana-mana pihak dalam mana-mana Mahkamah.

Peguam Syarie adalah peguam yang beramal di Mahkamah Syariah. Sebagaimana peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kedudukan sama taraf antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil, demikian juga dengan kedudukan dan taraf Peguam Syarie adalah sama seperti Peguambela dan Peguamcara.

Peguam Syarie di Mahkamah Syariah adalah lebih unik dan sistematik kerana ia berasaskan kepada prinsip `wakalah bi al-khusumah’. Wakalah, perkataan bahasa Arab yang bererti menjaga, melengkapkan dan menyerah. Apabila seseorang itu dikatakan `wakil’ ertinya orang itu adalah sebagai penjaga, penjamin atau pelengkap ataupun kepadanya diserahkan sesuatu hal untuk dilakukannya.

Banyak dalil dan bukti bahawa Islam mengiktiraf peranan peguam Syarie dalam mewakili anak guam di dalam suatu pertikaian. Antaranya dalam kisah Nabi Yusuf a.s. sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran (Surah Yusuf : 27), apabila Allah s.w.t. berfirman menunjukkan cara yang dicadangkan oleh keluarga Zulaikha bagi membuktikan tuduhan Nabi Yusuf cuba memperkosa Zulaikha. Dalam kisah ashabul kahfi yang tertidur selama beratus-ratus tahun, dan apabila terjaga, mereka telah mengutus seorang daripada mereka sebagai wakil untuk membeli makanan (Surah al-Kahfi : 19). Juga dalam kisah Nabi Yusuf a.s. yang menawarkan diri baginda sebagai wakil kepada raja untuk mentadbir dan menjaga perbendaharaan Mesir, kerana baginda mempunyai keahlian dan kepakaran dalam perkara tersebut. (Surah al-Kahfi : 55).

Diriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w. pernah mengutus sahabat bernama al-Su`at untuk mengutip zakat. Baginda juga mewakilkan sahabat `Amru bin Umaiyyah al-Damiri dalam menikahkan Ummu Habibah bin Abu Sufyan. Dalam satu kisah pada zaman Umar r.a., seorang wanita datang kepadanya dan membuat ikrar yang dia telah berzina. Ali r.a. kemudiannya bertindak sebagai peguam, telah meneliti kes tersebut dan didapati perempuan tersebut telah diperkosa. Penzinaan berlaku bukan dengan kerelaannya tetapi untuk menyelamatkan dirinya dari kebuluran (menukarkan susu kepunyaan seorang lelaki dengan dirinya). Wanita itu telah dibebaskan. Dalam kisah yang lain, seorang wanita yang didakwa dicabul oleh seorang lelaki, dan membawa bukti air mani ditubuh dan kainnya Umar r.a. telah meminta pendapat Ali. Ali mengambil air mendidih dan disiramkan ke atas bekas yang didakwa air mani lelaki tersebut. Cecair itu menjadi beku dan putih dan rasanya seperti telur. Akhirnya wanita itu mengakui itu adalah tuduhan palsu dan tipu dayanya semata-mata.

Peguam Syarie adalah dilantik oleh Majlis Agama Islam, menurut Kaedah-Kaedah Peguam Syarie dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri. Menurut Seksyen 9, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Pulau Pinang 1997, kelayakan untuk menjadi seorang Peguam Syarie ialah - seorang Pegawai Undang-Undang Kerajaan Persekutuan ; seorang Pengamal Undang-Undang yang memiliki sijil yang sah dikeluarkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang, 1976 [Akta 166] ; atau seseorang yang telah mencapai umur 21 tahun ; dan seseorang yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Sarjana Muda Undang-Undang yang diiktiraf oleh MAINPP dari mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan ; dan telah mendapat latihan profesional yang diiktirafkan di dalam bidang kehakiman Islam ; atau berkemahiran dalam Hukum Syarak ; dan berkelakuan baik, dan tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di mana-mana tempat lain atas apa-apa kesalahan jenayah ; atau tidak pernah dihukum menjadi seorang bankrap ; atau tidak pernah didapati bersalah atas apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang dinyatakan dalam Akta Kebankrapan 1967 [Akta 55] ; dan seorang warganegara Malaysia.

Menurut Kaedah ini, seseorang yang telah digugurkan namanya dari daftar Peguambela dan Peguamcara menurut Akta Profesion Undang-Undang 1976 adalah tidak layak untuk diterima masuk sebagai Peguam Syarie. Bagi seseorang yang telah diterima masuk sebagai Peguam Syarie sebelum beliau digugurkan sebagai Peguambela dan Peguamcara menurut Akta 166 tersebut, kedudukannya sebagai Peguam Syarie adalah tertakluk kepada aduan dan tindakan tatatertib yang akan dikenakan oleh Jawatankuasa Peguam Syarie di bawah Majli Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), menurut Seksyen 18 hingga 20 Kaedah tersebut.

Sebab dan bukti yang wajar boleh ditunjukkan kepada Jawatankuasa bahawa Peguam Syarie itu telah disabitkan atas suatu kesalahan jenayah di bawah mana-mana undang-undang bertulis, atau dia telah bersalah untuk kelakuan curang dalam menjalankan kewajipan profesionalnya atau kelakuan yang tak sesuai sebagai seorang Peguam Syarie ; atau apa-apa kesalahan lain yang diperuntukkan oleh Seksyen 18 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie tersebut. Apa-apa aduan mengenai kelakuan seseorang Peguam Syarie hendaklah dibuat secara bertulis kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie di bawah MAINPP [Seksyen 19]. Pengerusi Jawatankuasa akan mengadakan siasatan secara yang difikirkan adil dan munasabah dengan dengan memberi ruang kepada Peguam yang diadu untuk memberikan penjelasan dan membela diri. Setelah siasatan selesai, Jawatankuasa hendaklah memberi suatu laporan tentang siasatan kepada MAINPP sama ada Peguam Syarie berkenaan adalah bersalah atau tidak atas kesalahan yang diadukan itu [Seksyen 20].

Menurut Seksyen 21, MAINPP berkuasa membuat apa-apa perintah-perintah samada menggugurkan nama Peguam Syarie berkenaan daripada Daftar Peguam Syarie atau menggantung Peguam Syarie itu daripada menjalankan amalan bagi suatu tempoh tertentu atau memberi amaran atau membuat apa-apa perintah yang lain yang difikirkan adil dan munasabah.

Jelaslah bahawa Peguam Syarie bukanlah profesion kelas kedua yang membenarkan seseorang Peguambela dan Peguamcara yang telah digugurkan oleh Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk mencari jalan keluar dan menangguk kesempatan di bidang Syariah ini. Syarat-syarat kelayakan dan penerimaan masuk sebagai Peguam Syarie adalah amat ketat dan berwibawa, dan tidak memungkinkan seseorang yang telah melakukan tindakan atau kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib diterima sebagai salah seorang pengamal profesion Peguam Syarie

 PGSM

No comments:

Post a Comment