Sunday, February 27, 2011

Pertahan perundangan Islam di tempat tertinggi

Kedudukan dalam perlembagaan tidak wajar diperlekeh

RAKYAT Malaysia lebih peka kepada hak yang diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang lain yang berkaitan.

Perkembangan ini adalah baik kerana rakyat yang celik undang-undang adalah aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperguna oleh orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.
Prof Datuk Shad Saleem Faruqi mengkategorikan hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada beberapa kategori, antaranya:

  • Hak yang dianugerahkan kepada semua orang tanpa mengira sama ada mereka warga negara Malaysia atau tidak. Umpamanya Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan asasi kepada semua orang yang berada dalam Persekutuan, begitu juga Perkara 6 yang memperuntukkan pemansuhan perhambaan dan buruh paksa, perkara 11 (kebebasan beragama) dan perkara 13 (hak terhadap harta).
  • Hak yang hanya diberikan kepada warga negara saja seperti hak bersuara dan berhimpun dalam perkara 10 dan hak mendapatkan pelajaran Perkara 12. Hak ini hanya dinikmati oleh warga negara Malaysia saja.
  • Hak yang dilindungi walaupun ketika darurat. Perkara 150 (6A) menegaskan ada enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat. Hak itu berkait dengan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.
  • Hak yang tidak boleh dihakis pada masa biasa seperti Perkara 7, hak untuk mendapat ganti rugi jika tanah diambil dan Perkara 13, hak kepada orang yang ditangkap diberitahu alasan penangkapan dan menghubungi peguam. Dalam erti kata lain hak termasuk dalam kategori ini boleh dihapuskan, digantung atau diketepikan ketika berlaku darurat dalam negara saja. Dalam situasi lain Perlembagaan menjamin hak ini dilindungi.


  • Hak yang dihadkan atas alasan tertentu seperti hak kebebasan bersuara dan berhimpun dibataskan selagi tidak menggugat ketenteraman awam, keselamatan negara, menggalakkan perlakuan jenayah dan sebagainya. Oleh itu walaupun hak itu tersurat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan namun ia bukanlah bersifat tidak terbatas. Ia boleh dihadkan atas sebab tertentu yang digariskan Perlembagaan sendiri.
Sebenarnya kategori itu mempunyai implikasi tersendiri menurut undang-undang. Perlembagaan adalah dokumen unik dan perlu diberi tafsiran supaya Perlembagaan itu ‘hidup’ dan sesuai diaplikasikan.

Kaedah tafsiran Perlembagaan juga tidak sama seperti tafsiran undang-undang lain. Ia harus ditafsirkan secara harmoni dan tidak bertentangan antara satu sama lain.

Namun, yang menarik perhatian penulis ialah kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat dan tidak aman.

Secara tersiratnya sudah tentu Perlembagaan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain.

Undang-Undang itu termasuklah undang-undang pentadbiran hukum syarak, undang-undang jenayah syariah, undang-undang keluarga Islam, undang-undang tatacara dan undang-undang keterangan Mahkamah Syariah.

Oleh itu, tiada sesiapapun boleh mempertikaikan atau memandang rendah undang-undang ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya.

Natijah, sewajarnyalah jika ada pertelingkahan atau percanggahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain maka tafsiran memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Keabsahan undang-undang Islam yang sejak kebelakangan ini sering dipertikai, diketepikan, diperlekeh atau tidak dihiraukan sepatutnya tidak menjadi fenomena yang mengukir landskap perundangan negara kerana ia melupai sejarah perundangan negara dan kerangka Perlembagaan yang meletakkan undang-undang Islam di tempat yang tinggi.

Suara mempertikaikan undang-undang Islam ini semakin nyaring kedengaran sehingga memberi gambaran suara itulah yang benar dan perlu dipatuhi. Undang-undang Islam seharusnya menjadi penambat undang-undang lain daripada dihakis.

Jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, namun undang-undang Islam termasuk undang-undang keluarga Islam masih berkuat kuasa.

Seharusnya pendekatan diambil ialah meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam.

Adalah penting bagi rakyat Malaysia bukan saja mengetahui hak yang tersurat tetapi juga memahami falsafah dan semangat Perlembagaan. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara.

Dalam perspektif lain, kita terlalu banyak memperkatakan mengenai hak, tetapi jarang bercakap mengenai tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Kita terlalu mementingkan diri menuntut hak tanpa mahu membuat pengorbanan melaksanakan tanggungjawab.


Berita Harian 2011/02/28

No comments:

Post a Comment