Sunday, February 27, 2011

Khasiat makan bersama... tradisi yang semakin menipis dikalangan kita...


ANTARA budaya masyarakat kita yang perlu diteruskan ialah makan bersama kerana ia bukan sekadar boleh merapatkan hubungan kekeluargaan, malah ada kajian menunjukkan amalan ini mempunyai banyak manfaat, terutama daripada segi kesihatan.

Dalam kajian terbaru di Amerika Syarikat ke atas 200 keluarga yang mempunyai anak berumur lima hingga 12 tahun menghidap asma mendapati, interaksi antara ibu bapa dan anak ketika makan boleh meningkatkan tahap kesihatan mereka.

Walaupun tempoh makan bersama itu pendek (18 minit), interaksi antara ahli keluarga memberi kesan langsung kepada kesihatan, termasuk paru-paru anak, gejala asma dan kualiti hidup secara keseluruhan.

Ini kerana ibu bapa boleh mengambil peluang ketika makan untuk mengambil tahu aktiviti harian anak dan memberi ruang anak bercerita mengenai pengalaman dilalui pada hari berkenaan tanpa gangguan.

Sebaliknya, kanak-kanak asma yang jarang makan bersama keluarga atau makan dalam keadaan tidak tenteram (ada gangguan telefon atau televisyen) menunjukkan tahap kesihatan kurang baik berbanding mereka yang menghabiskan waktu makan bersama ibu bapa.

Selain itu, banyak kajian lain menunjukkan makan bersama boleh merangsang komunikasi dan hubungan antara ahli keluarga. Walaupun kebanyakan orang menganggap bercakap ketika makan kurang sopan, ini antara masa anak berasa selamat, selesa, mesra dan sangat rapat dengan ibu bapa.

Malah, ketika makan bersama juga ibu bapa boleh menunjukkan teladan baik kepada anak, khususnya mengenai tabiat pemakanan, adab di meja makan dan kemahiran berkomunikasi. Pastikan waktu makan adalah waktu tenang dan penuh ceria. Elak mengkritik anak dengan cara negatif kerana anak akan meniru perlakuan ditunjukkan ibu bapa.

Kebanyakan kanak-kanak memang cerewet dalam soal makan, terutama membabitkan pengambilan sayur-sayuran. Apabila makan bersama, anda boleh menerangkan kebaikan sayur-sayuran dan sedikit sebanyak mereka akan terdorong untuk mencuba jika ibu bapa mengamalkan pemakanan seimbang.Makanan disediakan di rumah biasanya lebih sihat dan berkhasiat kerana anda boleh mengawal penggunaan lemak, garam dan gula.

Pada masa sama, jika anak anda ada gejala alahan, makan bersama adalah cara terbaik untuk mengetahui jenis makanan yang dia alah supaya ia boleh dielakkan pada masa depan.

Selain itu anda boleh berkongsi ilmu pemakanan dan masalah alahan dengan anak lain.

Ketika ini juga ibu bapa boleh mengawal pemakanan anak, terutama bagi yang mengalami masalah berat badan berlebihan. Individu yang makan sendirian di depan televisyen akan terdorong untuk makan melebihi keperluan harian yang boleh menyebabkan mereka menjadi gemuk.

Kajian juga menunjukkan makan bersama dapat mengelak anak, khususnya remaja, daripada terjebak dengan perlakuan merosakkan seperti merokok, minum minuman keras atau menagih dadah.

Kekerapan makan bersama membolehkan ibu bapa mengesan sebarang perlakuan atau tanda ganjil yang ditunjukkan anak.

Anak yang terbabit dalam masalah sosial begini biasanya dahagakan kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Berbual dan berbincang ketika makan adalah cara tidak langsung yang boleh membuatkan anak berasa dihargai dan disayangi.

Minda anak akan berasa tenang apabila mengetahui ibu bapa menyayangi dan memberi perhatian kepada mereka. Ini membolehkan mereka memberi lebih tumpuan kepada pelajaran dan mencuba bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan baik.

Remaja yang makan bersama ibu bapa sekurang-kurangnya empat kali seminggu didapati menunjukkan pencapaian akademik lebih baik berbanding yang hanya makan bersama ibu bapa satu atau dua kali seminggu.

Malah, penyelidik mendapati remaja yang makan bersama ibu bapa mempunyai kecenderungan untuk mengambil sayur-sayuran, buah-buahan dan kurang minum minuman ringan apabila dewasa.

Ini satu perkara yang sangat memberangsangkan dan diharap tabiat baik ini dapat dicontohi anak mereka pula.


No comments:

Post a Comment