Wednesday, February 16, 2011

KONSEP, TUJUAN DAN MATLAMAT UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

 Punca undang-undang Islam terdapat di dalam al-Quran yang mengandungi ajaran-ajaran yang diwahyukan oleh Allah bagi manusia dan ajaran-ajaran itu telah diterangkan dan diberi contoh oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang mana baginda telah memberi tauladan bagaimana ajaran-ajaran al-Quran itu boleh dilaksanakan dalam kehidupan di dunia ini. Undang-Undang Islam kemudiannya telah diperkembangkan di dalam pelaksanaannya oleh Khulafak al-Rasyidin dan dengan usaha ulamak dan ahli Hukum yang telah berusaha menggunakan ijtihad mereka  menerangkan dan menggunakan ajaran al-Quran dan Sunnah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka. Di dalam zaman moden ini, boleh dikatakan undang-undang itu telah dipengaruhi oleh perundangan dan keputusan-keputusan Mahkamah. Walau bagaimanapun kita perlu menyedari apa dia punca dan asas undang-undang Islam, sepertimana yang ditegaskan oleh Allah s.w.t. di dalam surah al-Nisa' ayat 59 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan uli"l amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikan kepada Allah dan Rasulnya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, dan lebih elok pada kesudahannya".
Perkahwinan

Islam telah menekankan kepentingan perkahwinan dan menguatkan perhubungan keluarga. Islam juga menekankan bahawa perkahwinan adalah yang penting dan pertama sekali perkara ibadat. Apabila kita merujuk kepada al-Quran  kita dapati maksudnya "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu bermula dari diri yang satu dan yang menjadikan isterinya dan juga membiakkan dari keduanya zuriat keturunan laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan arham; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu".
(surah al-Nisa' 4 : 1)

"Dialah (Allah) yang mencipta kamu semua dari (hakikat) diri yang satu dan ia mengadakan pada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri) untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain".
(surah al-A'raaf 7 : 189)
 

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawaIa menciptkan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu suami-isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan".
(Surah Ar-Rum 30::21)

"Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu cicit, serta kurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal".
(Surah An-Nahl 16:72)

Perkahwinan adalah dianjurkan bagi lelaki dan perempuan.  Disebutkan di dalam Al-Quran maksudnya -

"Dan kahwinkanlah orang0orang yang bujang lelaki dan perempuan dari kalangan kamu dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu.  Jika mereka miskin Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha luas RahmatNya dan limpah kurniaNya lagi Maha Mengetahui.
Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya".
(Surah An-Nur 924:32 dan sebahagian 33)

Perkahwinan adalah sunnah Nabi (s.a.w.) dan beliau telah bersabda maksudnya -

"Demi Allah bukanlah aku ini orang yang paling taqwa kepada Allah, tetapi aku tetap berpuasa dan berbuka, bersalat dan tidur dan berkahwin.  Barangsiapa membenci sunnahku, bererti ia bukan dari umatku".

Nabi (s.a.w.) juga telah bersabda maksudnya -

"Bila di antara kamu ada yang mampu kahwin hendaklah ia berkahwin, kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara,  Dan bilamana  ia belum mampu kahwin hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu mengawal nafsunya".
(Sunan Abu Dawud, Kitab Al-Nihah)

Perkahwinan didalam Islam bukan perjanjian atau kontrak biasa akan tetapi ia adalah perjanjian yang kuat (mithaq ghlidha).

Di masa haji beliau yang terakhir Nabi (s.a.w.) telah berpesan maksudnya -

"Bertaqwalah kepada Allah mengenai kaum perempuan.  Sebenarnya kamu telah mengambil mereka atas jaminan kepada Allah dan perhubungan jenis dengan mereka telah dihalal bagi kamu dengan perkataan-perkataan Allah".
(Sahih Muslim, Kitab al-Haji Vol. 2 p. 615)

Di dalam al-Quran disebutkan maksudnya -

"Dan jika kamu hendaklah mengambil isteri menggantikan isteri lama yang kamu ceraikan sedang kamu telahpun memberikan kepadanya harta yang banyak maka janganlah kamu mengambil sedikit pun dari harta itu.  Patutlah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan yang menyebabkan dosa yang nyata?  Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan lain dan mereka pula telahpun mengambil perjanjian yang kuat (mithaq ghalidha) dari kami".
(Surah An-Nisaa 4: 20-21)
 
Supaya kita betul-betul memahami hak-hak dan kewajipan suami isteri di dalam Islam ada baiknya jikalau kita memandang kepada ajaran Islam mengenai kedudukan lelaki dan perempuan. Di dalam al-Quran disebutkan maksudnya:

"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat serta orang-orang perempuan yang benar,  dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri kepada Allah dan orang-orang perempuan yang merendah diri kepada Allah dan orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatan serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatan dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar".
(Surah Al-Ahzab 33:35)
 

Mengenai hak-hak perempuan al-Quran menerangkan maskudnya -

"Dan isteri-isteri mempunyai hak yang sama seperti hak suami terhadap mereka dengan cara yang sepatutnya; dalam pada itu orang-orang lelaki mempunyai satu darjah kelebihan atas orang-orang perempuan".
(
Surah Al-Baqarah 2:228)

Kedudukan itu telah dijelaskan di dalam suatu ayat al-Quran yang lain yang bermaksud -

" Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan dan memberi nafkah sebahagian dari harta mereka".
(Surah an-Nisa 4:34)

Sabda Rasulullah s.a.w.

"Setiap orang dari kamu pengembala dan bertanggungjawab terhadap yang digembalakan.  Kepala negara pengembala dan bertanggungjawab terhadap bawahannya. Seorang suami pengembala keluarganya dan bertanggungjawab terhadap yang digembalanya.  Seorang isteri pengembala dalam ruamah suaminya dan bertanggungjawab terhadap yang digembalanya.  Seorang makan gaji pengembala mengenai hartabenda majikannya dan bertanggungjawab terhadap yang digembalanya.  Tiap-tiap orang dari kamu adalah pengembala dan bertanggungjawab terhadap apa yang digembalakannya".

Suami dan isteri hendaklah menguruskan soal rumahtangga mereka dengan cara tolong menolong dan bantu membantu.  Seperti yang disebut di dalam al-Quran maksudnya -

"dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka".
(Surah Ash-Syura 42:38)

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan), 1984 memperuntukkan sesuatu perkahwinan adalah tak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syara", untuk menjadikannya sah.  Sebagai tambahan beberapa peruntukan pentadbiran telah diadakan di bawah Akta itu.  Pada masa sekarang diperuntukkan bahawa suatu perkahwinan yang bersalahan dengan Akta ini tidak boleh didaftarkan di bawah Akta itu akan tetapi telah dicadangkan bahawa peruntukan itu hendaklah dipinda supaya memperuntukkan bahawa sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan Akta ini tidak boleh didaftarkan di bawah Akta itu akan tetapi telah dicadangkan bahawa peruntukan itu hendaklah dipinda supaya memperuntukkan bahawa sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan Akta itu akan tetapi sah mengikut Hukum Syarak hendaklah didaftarkan tertakluk kepada penalti yang dikenakan.  Ini termasuk perkahwinan di bawah umur minima (S. 8) dan poligama (S. 23).  Ada juga terdapat peruntukan cara bagi permohonan berkahwin dan untuk pendaftaran perkahwinan.
 

Antara peruntukan di dalam Akta itu adalah peruntukan yang memerlukan persetujuan wali pihak perempuan untuk perkahwinan selain dari persetujuan perempuan itu.  Ini mengikut ajaran yang ditafsir di dalam mazhab itu.  Antara hadis yang digunakan ialah hadis maksudnya -

"Perkahwinan seorang perempuan tanpa izin walinya, adalah batal, batal, batal - Jika ada pertelingkahan Sultan yang menjadi wali bagi seorang yang tidak mempunyai wali".

Mengenai poligami kita boleh merujuk kepada ayat di dalam al-Quran yang maksudnya -

"Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain, dua, tiga atau empat.  Jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu maka berkahwinlah dengan seorang sahaja.  Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk mencegah supaya kamu tidak melakukan kezalaiman".
(Surah An-Nisaa 4:3)

"Dan kamu tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh hendak melakukannya.  Oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-melampau berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung di awang-awang; dan jika kamu memperbaiki keadaan yang picang itu dan memelihara diri daripada perbuatan yang zalim maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi".
(Surah An-Nisaa 4:129)

Di dalam al-Quran disebutkan perkahwinan-perkahwinan yang dilarang, seperti maksudnya -

"Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang berikut - ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu yang telah menyusukan kamu dan suadara-saudara susuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu dan kamu telahpun menceraikan mereka, maka tiadalah salah kamu berkahwin dengannya.  Dan haram juga kamu berkahwin dengan bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu.  Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali untuk menjadi isteri-isteri kamu kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.  Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi.

Dan diharamkan juga kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan isteri orang.  Haramnya segala yang tersebut itu ialah suatu ketetapan Allah yang diwajibkan ke atas kamu.  Dan sebaliknya dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut, untuk kamu mencari isteri dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara zina.  Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya setelah ia menjadi isteri kamu maka berikanlah kepada mereka maskahsinnya dengan sempurna sebagai ketetapan yang diwajibkan oleh Allah.  Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu suami isteri, sesudah ditetapkan maskahwin itu tentang cara dan kadar pembayarannya.  Sesungguhpun Allah Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
(Surah An-Nisaa 4: 23 - 24)

Disebutkan juga di dalam al-Quran maksudnya -

"Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan musyrik kafir sekalipun keadaannya menarik hati kamu.  Dan janganlah kamu kahwinkan perempuan-perempuan Islam dengan lalaki kafir musyrik sebelum mereka beriman.  Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.  Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izinNya.  Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya kepada umat manusia, supaya mereka dapat megambil pelajaran".
(Surah al-Baqarah 2:221)

"Pada masa ini dihalalkan bagi kamu memakan makanan yang lazat serta baik.  Dan makanan orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan kamu adalah halal bagi mereka.  Dan dihalalkan kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatan di antara perempuan-perempuan yang beriman dan juga perempuan-perempuan yang menjagi kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamumemberi mereka maskahwinnya, sedang kamu bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan.  Dan sesiapa yang ingkar sesudah ia beriman maka sesungguhnya gugurlah amalannya dan adalah ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi".
(Surah al-Midah 5:5)

Perhubungan suami isteri
 
Seperti yang telah dihuraikan di atas, Islam menekankan pentingnya dan kewajipan menjaga hubungan perkahwinan seperti yang disebutkan di dalam al-Quran maksudnya:

"Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dan menyebut-nyebut namaNya serta peliharalah hubungan arham; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu"
(surah al-Nisa'  4:sebahagian ayat 1)
 
"Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki dengan beberapa keistimewaan atas orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan memberi nafkah sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang salih itu ialah yang taat dan yang memelihara kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan  yang kamu bimbang melakukan perbuatan nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka, dan jika mereka berdegil pulaukan mereka di tempat tidur dan kalau juga masih berdegil pukullah mereka dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajar mereka. Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, Lagi Maha Besar".
(surah al-Nisa' 4:34)

"Dan isteri-isteri mempunyai hak yang sama seperti hak suami terhadap mereka dengan cara yang sepatutnya; dalam pada itu orang-orang lelaki mempunyai satu darjah kelebihan atas orang-orang perempuan".
(surah al-Baqarah 2:sebahagian ayat 228)

Suami dan isteri diperintah hidup bersama di dalam aman dan hidup mesra dengan perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Seperti yang disebut di dalam al-Quran maksudnya:

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan RahmatNya bahawa Allah menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang ynag berfikir".
(surah al-Rum 30:21)

Al-Quran juga mengingatkan kita maksudnya:

"Wahai orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan  jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka dengan menahan dan menyusahkan mereka kerana kamu hendak mengambil sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya,kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka isteri-isteri kamu itu dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu merasai benci kepada mereka janganlah kamu terburu-buru menceraikan mereka, kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu."
(surah al-Nisa' 4 : 19)

Pada masa haji terakhir baginda Nabi s.a.w. telah berkhutbah antara lain maksudnya -

"Bertakwalah kepada Allah mengenai kaum perempuan! Sesungguhnya kamu telah menerima mereka atas jaminan Allah dan perhubungan kamu dengan mereka telah dihalalkan dengan perkataan-perkataan Allah. Kamu mempunyai hak atas mereka iaitu mereka tidak membenarkan sesiapa duduk atas katil kamu yang kamu tidak berkenaan. Jika mereka membuat demikian kamu boleh memukul mereka akan tetapi tidak dengan keras. Hak-hak mereka supaya kamu memberi mereka makanan dan pakaian dengan cara yang sepatutnya."
(sahih Muslim, kitab al-Hajj)

Perhubungan suami isteri kerana sangat rapat dan mesra masing-masing disifatkan, antara satu sama lain, sebagai pakaian yang lekat di badan yang dapat mengawal dan memelihara pemakainya.

Seperti yang disebut di dalam al-Quran maksudnya -
"Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka."
(surah al-Baqarah 2 : 187)

Perhubungan jenis di antara suami dan isteri dijadikan suci. Di dalam al-Quran disebutkan maksudnya -
"Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang disukai dan sediakanlah amal-amal yang baik untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya pada hari akhirat kelak. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman."
(surah al-Baqarah 2 : 223)

Kita dianjurkan berdoa kepada Allah seperti yang disebut di dalam al-Quran maksudnya -
"Wahai Tuhan kami berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa."
(surah al-Furqa 25 :74)

Tugas suami dan ayah di dalam Islam ialah seperti yang disebut di dalam al-Quran maksudnya -
"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahannya manusia dan batu."
(surah al-Tahrim 66 : sebahagian ayat 6)

Di dalam al-Quran disebutkan juga maksudnya -
"Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka suami isteri membuat perdamaian di antara mereka berdua secara yang sebaik-baiknya kerana perdamaian itu lebih baik bagi mereka daripada cerai berai;sedang sifat bakhil kedekut tidak suka memberi atau bertolak ansur itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik dalam pergaulan dan mencegah diri daripada melakukan kezaliman, maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuannya akan apa yang kamu lakukan."
(surah al-Nisa' 4 : 128)

Mengenai hak berkaitan pendapatan, disebutkan di dalam al-Quran maksudnya -
"Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang-orang perempuan ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; maka berusahalah kamu dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu..."
(surah al-Nisa' 4 : sebahagian ayat 32)
 

Perceraian

Talaq adalah perbuatan yang tidak disukai. Sabda Nabi s.a.w. maksudnya -
"Perbuatan halal yang sangat dibenci oleh Allah ialah talaq."
(sunan Abu Dawud, Kitab al-Talaq Vol. 2 p. 586)

"Siapapun perempuan yang minta cerai kepada suaminya tanpa suatu sebab, maka haram baginya bau syurga."

Di dalam al-Quran ada disebutkan banyak ajaran mengenai talaq dan acaranya. Antara ayat ialah yang bermaksud -
"Talaq yang boleh dirujuk kembali itu hanya dua kali. Sesudah itu boleh ia rujuk dan memegang terus isterinya itu dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan dengan cara yang baik."
(surah al-Baqarah 2 : sebahagian ayat 229)

"Sesudah dicerai dua kali itu jika diceraikan pula bagi kali yang ketiga maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan oleh suami baharu itu dan habis eddahnya, maka mereka berdua suami lama dan bekas isterinya tidaklah berdosa untuk kembali berkahwin semula jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang mahu mengetahui dan memahaminya."
(surah al-Baqarah 2 : 230) 

"Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka dari berkahwin selama tiga kali suci dari haid. Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat.  Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali isteri-isteri itu jika suami-suami bertujuan hendak berdamai."
(surah al-Baqarah (2) : Sebahagian ayat 228)

"Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu kemudian mereka hampir habis tempoh eddahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka dan (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudharat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka; dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejekan-ejekan dan permainan. Dan kenanglah nikmat Allah yang diberi kepada kamu dan kenanglah apa yang diturun kepada kamu iaitu kitab al-Quran dan ilmu hikmah, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
(surah al-Baqarah (2) : 231)

Di dalam Surah At-Talaq disebutkan maksudnya -
"Wahai Nabi !  Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri kamu maka ceraikanlah mereka pada masa dapat memulakan  iddahnya dan hitunglah masa-masa iddah itu dengan betul  serta-bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu.  Janganlah kamu mengeluarkan dari rumah-rumah kediamannya dan janganlah pula dibenarkan mereka keluar dari situ kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.  Dan  itulah aturan-aturan  hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya  ia telah berlaku  zalim  kepada dirinya.  Patuhilah hukum-hukum itu kerana engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara yang lain.

Kemudian apabila mereka hampir habis tempoh iddahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (ruju') dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu; dan hendaklaha kamu yang menjadi saksi menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata.  Dengan hukum  Allah yang tersebut diberi pengingatan  dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar dari segara perkara yang menyusahkannya -

serta memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya.  Dan ingatlah sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah cukuplah baginya.  Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya.  Allah telahpun menentukan kadar dan kuasa masa yang berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Dan  perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haidh jika kamu menaruh syak terhadap tempoh iddah mereka, maka iddahnya ialah tiga bulan; dan demikian juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaidh.  Dan perempuan-perempuan  mengandung, tempoh iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak (melepaskan beban mereka).  Dan ingatlah sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusan.

Peraturan-peraturan yang demikian adalah hukum-hukum Allah yang diturunkan dan diterangkanNya kepada kamu; dan ingatlah sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan membesarkan pahala balasannya.

Tempatlah isteri-isteri yang menjalani iddahnya itu di tempat kediaman kamu sesuai  dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu  yang menyakiti mereka dengan tujuan hendaklah menyusahkan kedudukan mereka supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu.  Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu berikanlah kepada mereka upahnya dan berundinglah di antara kamu dengan cara yang baik.  Dan sebaliknya jika kmau mengalami  kesulitan, maka bolehlah perempuan iaitu menyusukannya.

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yag diberikan Allah kepadanya sekadar mampu; Allah tidak memberati  seseorang melainkan sekadar kemampuan yang diberikan Allah kepadanya.  Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.  (Surah At-Talaq (65) : 1 - 7)

Perdamaian digalakkan, seperti yang disebut dalam Al-Quran maksudnya - "Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka (suami isteri) maka lantiklah hakam untuk mendamaikan  mereka iaitu seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan.  Jika kedua-dua hakam itu dengan ikhlas bertujuan hendak mendamaikan nescya Allah  akan menjadikan kedua suami isteri berpakat baik.  sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuanNya;  (Surah An-Nisaa (4) : 35)

Ada diriwayatkan hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud -
"Bahawa Ibn Umar menthalaq salah seorang isterinya di masa haid dengan sekali talaq.  Lalu Umar menyampaikan hal itu kepada Nabi s.a.w.   Maka beliau bersabada "Surahlah dia untuk merujuk, kemudian bolehlah ia mentalaqnya jika telah suci atau ketika ia hamil.  (Sunan Abu Dawud, Kitab al-Talaq Vol 2 p. 586)

Di dalam satu hadith yang lain disebutkan maksudnya -

"Rasulullah (s.a.w.) mengakhbarkan kepada kami tentang seorang laki-laki yang menceraikan isterinya tiga kali sekaligus, maka beliau berdiri dengan marah lalu bersabda "Apakah akan dipermainkan kitab Allah padahal saya ada ditengah-tengah kamu?" Sehingga bangunlah seorang lalu berkata " Wahai Rasulullah! Adakah saya boleh membunuh dia?

Mengenai khlu' disebut di dalam al-Quran -
"Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan) kecuali jika keduanya suami isteri takut  tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.  Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran tebus talak yang diberikan oleh isteri untuk menebus diriny dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu.  Itulah  aturan-aturan  hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar hukum Allah maka mereka itulah orang yang zalim.  (Surah al-Baqarah (2) : Sebahagian ayat 229)

Di dalam suatu hadith pula disebutkan maksudnya -

"Isteri Tsabit bin Qais datang kepada Rasulullah (s.a.w.) sambil berkata "Ya Rasulullah saya tidak mencela akhlaq dan agamanya, tetapi  saya tidak ingin mengingkari ajaran Islam.  Maka jawab Rasulullah s.a.w. "Mahukah kamu mengambilkan kebunnya" Jawabnya "Mau".  Maka Rasulullah s.a.w.  bersabda "Terima Tsabit kebun itu dan talaqlah ia satu kali ".
(Sunan Abu Dawud Kitab at-Talaq vol 2 p. 600)

Di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) ada disebut mengenai talaq dan cara pelaksanaannya, perdamaian dan hakm, khulu, taalik dan fasak, rujukdan pendaftaran perceraian dan rujuk.  Ada peruntukan mengenai anggapan mati akan tetapi dicadang di dalam perkara itu isteri memohon fasakh.

Tuntutan fasakh boleh disandarkan kepada ayat al-Quran dan hadith antaranya yang bermaksud -
"Maka peliharalah dengan baik atau lepaskan dengan baik"
(Surah al-Baqarah (2) : Sebahagian ayat 229)

"Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka; dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiyakan dirinya sendiri"
(Sunan al-Baqarah (2) :  Sebahagian ayat 231)

Hadith Nabi s.a.w. maksudnya -
"Tidak boleh membahayakan dan membalas dengan bahaya"

Disebutkan juga di dalam al-Quran maksudnya -
"Dan jika perempuan bimbang akan timbul nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya dari suami, maka tiadalah salah mereka membuat pendamaian di antara mereka berdua secara yang sebaik-baiknya kerana perdamaian itu lebih baik bagi mereka dari bercerai-berai; sedang sifat bakhil kedekut tidak suka memberi atau bertolak ansur itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia.  Dan jika kamu berlaku baik dalam pergaulan dan mencegah diri daripada melakukan kezaliman, maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuannya akan apa yang kamu lakukan.
(Surah An-Nisaa (4) : 128)
 

Di dalam Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah Persekutuan) 1984 tidak disebut mengenai zihar dan lian.  Lian  disebutkan di dalam al-Quran maksudnya -
"Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi yang mengesahkan tuduhannya itu, hanya dirinya sendiri, maka persaksian-persaksian bagi seorang yang menuduh itu hendaklah  ia bersumpah dengan nama Allah empat kali bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar."

Dan sumpah yang kelima hendaklah ia berkata - Bahawa la'nat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang dusta.

Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri yang kena tuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah empat kali, bahawa suaminya yang menuduh itu sesungguhnya adalah dari orang yang berdusta.  Dan sumpah yang kelima hendaklah ia berkata "Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang yang benar."

Kesan pembubaran perkahwinan

Seorang perempuan yang dicerai berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal di dalam masa eddahnya.

Di dalam Al-Quran disebutkan maksudnya -
"Wahai Nabi!  apabila kamu (engkau dan umatmu) hendaklah menceraikan  isteri-isteri kamu maka cerikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddahnya dan hitunglah masa iddah itu  dengan betul, serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu.  Janganlah kamu mengeluarkan  mereka dari rumah kediamannya dan janganlah pula dibenaran  mereka keluar dari situ kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata"
(Surah At-Talaq (65) - Sabahagian ayat 1)

Tempatkanlah isteri-isteri kamu yang menjalankan iddah itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka di tempat tinggalnya itu dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu.  Dan jika mereka keadaan sedang mengandung maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan  anak; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikalan kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara  kamu dengan cara yang baik.  Dan sebaliknya jika kamu  dari kedua pihak mengalami sulitan, aka bolehlah perempuan lain menyusukannya.  (Surah At-Talaq (65) : 6)

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah  ia memberi nafkah tidak memberati seseorang melainkan sekadar kemampuannya yang (Surah at-Talaq (65) : 7)

Mengenai muta'ah disebutkan di dalam al-Quran maksudnya -
"Tidaklah kamu bersalah jika kamu enceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh  mereka atau sebelum kamu menetapkan maskahwin untuk mereka.  Walaupun demikian  hendaklah kamu memberi muta'ah  (pemberian saguhati) kepada mereka yang diceraikan itu.  Iaitu suami yang senang hendaklah memberi saguhati itu menurut ukuran  kemampuannya;  dan suami yang susah pula menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang yang mahu berbuat kebaikan"
(Surah al-Baqarah (2) : 236)

"Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat muta'ah (pemberian sagu hati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan  yang wajib atas orang-orang taqwa".  (Surah al-Baqarah (2) : 241)

"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya maka tiadalah  kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang iddah yang kamu boleh hitungkan masanya.  Oleh itu berilah muta'ah (pemberian sagu hati) kepada mereka dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.
(Surah al-Ahzal (33) : 49)

Di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, ada disebutkan mengenai tuntutan maskahwin, nafkah eddah, mutaah dan tempat tinggal.  Ada juga disebut mengenai tuntutan harta sepencarian.  Harta sepencarian boleh diasaskan kepada beberapa pendpaat ulama dan fatwa dan terdapat juga hadith Nabi s.a.w yang bermaksud -
"Nabi (s.a.w.) telah menghukumkan pembahagian sama rata antara dua orang yang dua-dua menuntut atas binatang, tiap-tiap seorang mendakwa binatang itu dia yang punya, selepas dua-dua mereka mengangkat sumpah"

Kedudukan kanak-kanak
 

Kesahtarafan seorang anak boleh diputuskan berdasar kepada dua ayat al-Quran yang bermaksud -
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.  Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.  Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan"
(Surah al-Ahqaf (46) : 15)

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung hingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan  susunya ialahd alam masa dua tahun.
(Surah Luqman (31) : 14)

Jelaslah dari dua ayat ini bahawa masa mengandung yang minima ialah 6  bulan.  Adalah riwayat dari Aishah yang menyatakan "anak itu tidak tinggal lebih dari dua tahun dalah rahim ibunya" - ini menjadi pegangan mazhab Hanafi.  di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) maka itu ditetapkan 4 tahun.

Mengenai hak jagaan anak disebutkan di dalam al-Quran maksudnya -
"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan  penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.  Tidaklah diiberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.  Janganlah menjadikan seorang ibu itu menderita kerana anaknya dan jangan juga menjadikan seorang bapa menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut jika sibapa tiada.  Kemudian  jika keduanya suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan yang telah dicapai oleh mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah melakukannya.  Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan upah yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut.  Dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua kamu lakukan."
(Surah al-Baqarah (2) : 233)

Terdapat juga dua hadith yang boleh menjadi panduan perkara hadhanah  ini.  Hadithnya ialah yang bermaksud -

(a)    "Dari Abdullah bin Amar, bahawa seorang perempuan bertanya "Ya Rasulullah, sesungguhnya bagi anak laki-lakiku ini       perutkulah  yang mengandungnya, pangkuan aku menjadi perlindungannya dan tetek aku yang menyusuinya, tiba-tiba sekarang ayahnya mahu mencabutnya dari aku.  Maka Rasulullah s.a.w. bersabda "Engkaulah lebih berhak terhadapnya selama engkau tidak berkahwin lain"
(Sunan Abu Dawud Kitab at-Talaq Vol.2 p. 636)

(b)    "Seorang perempuan datang kepada Rasulullah s.a.w. katanya "Ya Rasulullah!   Sesungguhnya suamiku mau membawa anakku pergi pada hal dialah yang mengambil air untukku dari sumur Abu Unbah dan dia pun berguna sekali bagiku.  Maka Rasulullah s.a.w. bersabada "Ini ayahmu dan ini ibu mu.  Pilihlah mana yang engkau sukai".  Lalu anak tersebut  memilih ibunya.  Lalu ibunya pergi membawa anaknya.
(Sunan Abu Dawud Kitab at-Talaq Vol. 2 p. 617)

Penutup

Kita orang Islam hendaklah yakin bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang yang terbaik dan sesuai untuk kita.  Sungguhpun boleh dikatakan semua sistem undang-undang berusaha untuk mencapai keadilan akan tetapi oleh kerana undang-undang Islam berpunca dari wahyu  dari Allah Subhanahu wataala, yang lebih mengetahui keperluan manusia dan apa yang terbaik untuk mereka, Undang-undang Islam mempunyai keutamaan atas undang-undang lain.  Seperti yang disebutkan di dalam al-Quran maksudnya -
"Tidakkah Allah yang mencipta sekalian makhluk itu mengetahui segala-galanya?  Sedang Ia Maha Halus urusan TadbiranNya lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.
(Surah Al-Mulk (67) : 14)

Kewajipan kita menegakkan keadilan telah ditegaskan di dalam al-Quran seperti dalam ayat yang maksudnya -

(a)    Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya yang berhak menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia Allah menyuruh kamu menghukumkan dengan adil.  Sesungguhnya Allah dengan suruhannya memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.  Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat."
(Sura An-Nisaa (4) : 58)

(b)    Wahai orang-orang yang beriman!  Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi yang menerangkan kebenaran kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibubapa dan kaum kerabat kamu.  Kalaulah orang yang di dalam itu kaya atau miskin maka janganlah kamu terhalang memperkatakan kebenaran, kerana Allah  lebih  bertimbang rasa kepada keduanya.  Oleh itu janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan.  Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan daripada menjadi saksi maka sesungughnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa kamu lakukan.
(Surah An-Nisaa 9) : 135)

(c)    Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman.  Allah mengajar kamu dengan suruhan dan laranganNya ini supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.
(Sura An-Nahl (16) : 90)

Untuk menegakkan keadilan kita memerlukan undang-undang untuk panduan kita dan tidak syak lagi kita telah dikurniakan undang-undang Islam yang terbaik dan lengkap.  Sayangnya dengan pengedaran masa dan pengaruh penjajah, kita orang Islam telah mengabaikan atau dipaksa atau didorong meninggalkan pelaksanaan undang-undang Islam itu.  Di Malaysia umpamanya kita telah dipaksa atau didorong menerima dan melaksanakan undang-undang Inggeris atau undang-undang berkaitan  dengan undang-undang Inggeris itu.  Undang-Undang Inggeris itu pula bukanlah diterima oleh kerana keyakinan atau kerelaan orang-orang di Malaysia akan tetapi ia telah diterima oleh kerana ia telah dilaksanakan selengkapnya.  Untuk melaksanakannya telah diadakan antara lain mahkamah, hakim, megistret, pendakwa, peguam, pegawai polis dan pegawai penjara.  Sebaliknya kita telah  mengabaikan untuk mengadakan pegawai dan infra-struktur untuk pelaksanaan undang-undang Islam dan oleh kerana itulah telah timbul beberapa masalah dan teguran mengenai pelaksanaan undang-undang itu.  Sesungguhpun sesuatu undang-undang itu terbaik dan lengkap akan tetapi pelaksanaanya boleh menimbulkan masalah.
Diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa Rasulullah (s.a.w.) bersabda maksudnya "Seandainya manusia diberi kebebasan dakwaan mereka, tentulah banyak orang yang mendakwakan dara orang dan hartanya.  Akan tetapi orang yang didakwa itu harus bersumpah".
(Shih Muslim Kitab al-Adqiyyah vol. III p. 927)

Di dalam satu hadith lain dari Ummu Salamah dikatakan bahawa Nabi (s.a.w.) bersabda maksudnya : "Sesungguhnya aku hanyalah manusia, sedangkan kamu datang kepada ku untuk menyelesaikan persengketaan di antara kamu.  Mungkin sebahagian dari kamu lebih pintar menyampaikan hujjahnya daripada sebahagian yang lain, lalu aku memutuskan baginya sesuai dengan apa yang aku dengar darinya."

Maka barang siapa yang aku putuskan baginya sebahagian dari hak dari saudaranya, maka hendaklah dia itu tidak mengambilnya; kerana sesungguhnya aku potongkan bagi sepotong dari api neraka.
(Sunan Abu Dawud Kitab al-Qdiyah vol III p. 1016; Sahih Muslim, Kitab al-Aqdyah vol III p. 927)

Ulama Islam telah berhujjah dari hadith yang kemudian itu bahawa pihak-pihak dalam satu kes berhak mempunyai peguam atau wakil untuk mengemukakan tuntutan mereka kepada hakim, kerana orang itu mungkin tidak boleh atau tidak sebaiknya membuat demikian.  di dalam memutuskan suatu kes seorang hakim harus memandangkan kepada perkaraundang-undang dan perkara fakta.  Di dalam perkara undang-undang mungkin hakim itu, oleh kerana ia ariff, boleh memutuskannya, sungguhpun ia juga memerlukan bantuan dan rujukan dari peguam-peguam yang mewakili pihak-pihak dalam kes itu.  Pada masa dahulu haki boleh meminta bantuan dari mufti atau orang pakar.  Sebaliknya di dalam perkara fakta adalah kewajipan pihak-pihak di dalam sesuatu  kes mempersembahkan dan membuktikan fakta-fakta di dalam kes itu dan disinilah perkhidmatan seorang peguam boleh membantunya.  Seorang peguamnya boleh menolong menerangkan kedudukan kes itu dan memberi nasihat kepada pihak itu.  Peguam boleh menasihatkan pihak itu bertolak ansur dan cuba mengadakan pendamaian atau persetujuan yag digalakan di dalam Islam.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi (s.a.w.) telah bersabda maksudnya "Pendamaian (salah) antara orang-orang Islam dibolehkan,  kecuali pendamaian yang menjadikan perkara halal  haram dan perkara haram halal.  Nabi (s.a.w.) juga telah bersabda "Orang-orang Islam terikat dengan perjanjian mereka."
(Sunan Ab Dawud, Kitab al-Aqidyah vol III p. 1020)

Ka'ab b. Malik telah berkata bahawa di zaman Nabi (s.a.w.) ia telah menuntut hutang di masjid dari Ibn Abu Hadrad dan mereka telah bertengkar dan suara kuat mereka telah sampai kepada Nabi (s.a.w.) di dalam rumahnya.  Beliau keluar dan menasihatkan Ka'ab memaafkan separuh hutang itu.  Ka'ab bersetuju dan Nabi (s.a.w.) telah menyuruh ia segera membuat demikian."
(Sama)

Seorang peguam atau wakil di dalam Islam hendaklah sentiasa berusaha mengadakan keadilan.  Yahya b. Rashid telah berkata "Kami sedang duduk menunggu kedatangan Abdullah b. Umar.  Beliau  telah datang dan duduk bersama kami.  Beliau berakta "Saya telah dengar Nabi (s.a.w.) bersabda "Jika campurtangan seorang itu menghalang mana-mana hukuman yang ditetapkan oleh Allah, bermakna ia berlawan dengan Allah; jika seorang berhujjah mengenai sesuatu perkara yang tidak benar, ia dimurkai oleh Allah hingga ia berhenti; jika  seseorang membawa tuduhan yang tidak benar terhadap seorang Islam, ia akan ditempatkan oleh Allah di dalam nasjis keluar dari penduduk neraka hingga ia menarik balik tuduhan itu."  Hadith ini telah juga diriwayatkan oleh Ibn Umar dengan tambahan bahawa Nabi (s.a.w.) bersabda maksudnya "Seorang yang membantu di dalam suatu perselisihan secara tidak adil menerima kemurkaan Allah Subanahu wataala."
(Sunan Abu Dawud, Kitab al-Aqdiyyah vol. III p. 1021)

Satu perkara yang terdapat di dalam sistem undang-undang Inggeris ialah kedudukan penting peguam.  Hakim-hakim dipilih dari mereka yang telah bekerja dan berjaya sebagai peguam.  Pada masa dahulu, pelajaran dan pendidikan undang-undang telah diusahakan oleh peguam dan pada masa sekarang pun pelajaran profesynal undang-undang diruuskan oleh peguam melalui Inns of Courts dan Law Society.  Hakim-Hakim banyak memerlukan bantuan dari peguam di dalam mendengar dan memutuskan kes-kes yang dibawa di hadapan mereka.  Tidaklah keterlaluan jika dikatakan pentadbira undang-undang di England akan runtuh jika tidak ada Peguam.  Hakim-hakim dan peguam-peguam melibatkan diri mereka dengan kes-kes yangsebenarnya yagn di bawa kepada mereka.  Ini mungkin adalah sejajar dengan amalan di dalam undang-undang Islam.  Telah dikatakan bahawa Ubbay b. Ka'ab, seorang sahabat Nabi (s.a.w.) apabila disoal mengenai sesuatu perkara telah bertanya "Sudahkah ia terjadi".  Apabila jawapannya tidak, beliau berkata "Tinggalkanlah sahaja hingga perkara itu terjadi.  Apabila ia terjadi, kami akan memutuskan perkara itu."

Hadith yang mashyur mengenai Muadh ibn Jabal juga berpunca dari soal Nabi (s.a.w) "Bagaimanakah akan kamu menghukumkan apabila kamu diminta memtuuskan sesuatu kes".  Nabi (s.a.w.) juga telah menasihatkan Syedina  Ali "Apabila dua orang yang bersengketa menghadap kepadamu, maka janganlah kamu mengadili di antara keduanya, sehingga kamu mendengar dari orang yang kedua seperti kamu mendengar dari orang yang pertama; kerana sesungguhnya bila kamu melakukan yang demikian itu, maka akan jelaslah bagimu pengadilan."
(Sunan Abu Dawud, Kitab al-Aqdiyyah vol III, p. 1016)

Kita telah diwarisi dengan suatu sistem undang-undang yang tidak syak lagi tinggi mutunya dan tidak ada bandingan dari segi keadilan dan perikemanusiaan.  Kita yang mentadbirkan undang-undang memikul tanggungan yang berat.  Tugas kita ialah menunjukkan undang-undang Islam bukan sahaja terbaik akan tetapi perlaksanaannya membawa keadilan dan diterima baik oleh semua pihak. 

No comments:

Post a Comment