Monday, November 22, 2010

Bapa wajib kerja untuk bayar nafkah anak

 ISLAM mewajibkan nafkah anak disediakan oleh bapa. Kewajipan membayar nafkah anak berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: "Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya" (Surah al-Talaq: ayat 6)

Dalam memahami konsep kewajipan menyediakan nafkah itu, cuma persoalan  adalah berkaitan dengan kemampuan  melebihi daripada permintaan atau keperluan anak seperti yang dituntut oleh ibunya. Namun, jika bapa masih hidup, ada kemudahan kewangan dan berkemampuan berusaha serta bekerja, fuqaha sepakat mewajibkan bapa membiayai nafkah anak tanpa berkongsi dengan sesiapa walaupun ibu kepada anak itu.

Maka tiada alasan seseorang bapa berdalih tidak mampu menyara anaknya kerana gaji kecil. Setiap bapa pada masa kini akan sedaya upaya berusaha mendapatkan rezeki lebih untuk menyara anaknya, melainkan dia bercerai dengan ibu kepada anaknya menggunakan helah berpendapatan kecil dan tidak mampu menyara anak seperti dituntut.

Garis panduan yang digunakan oleh mahkamah merujuk kepada kemampuan bapa berdasarkan hadis Rasulukllah SAW diriwayatkan Aishah ra katanya: "Hindu binti Utbah berkata; Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah seorang lelaki bakhil dan tidak tidak pernah memberi aku harta yang mengcukupi untuk aku dan anak aku melainkan harta yang aku ambil tanpa pengetahuannya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Ambillah harta (Abu Sufyan) apa yang mencukupi untuk kamu dan anak kamu dengan baik."

Berdasarkan hadis itu jelas nafkah anak tetap menjadi kewajipan seorang bapa walau dalam apa juga keadaan. Jika bapa tidak memberi nafkah, maka ibu boleh mengambil harta bapa sekadar yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan anak itu. Inilah menunjukkan ibu boleh menuntut nafkah anak dengan menyenaraikan setiap keperluan bulanan anak itu ke mahkamah.

Jika ia tidak mempunyai harta tapi mampu membuat kerja, wajib ke atasnya berusaha mencari kerja yang membolehkannya membiayai nafkah anaknya. Dengan itu bapa yang menganggur dan mengharapkan ibu membayar keperluan anak adalah lelaki yang tidak amanah dan berdosa mengabaikan tanggungjawabnya.

Oleh itu, ibu akan cuba membuktikan kepada mahkamah, bapa berkemampuan bukan setakat dengan gaji bulanan malah merujuk juga wang simpanan di mana-mana akaun bank bapa, tabung haji, insurans bulanan, koperasi dan sebagainya. Mahkamah biasanya mengambil pendekatan membandingkan keperluan nafkah anak dengan kemampuan defendan untuk menentukan suatu nilai bagi nafkah anak.

Alasan pendapatan dipotong untuk membayar pinjaman peribadi, kad kredit, insurans diri atau tabungan haji bukanlah alasan yang kukuh untuk menentukan ketidakmampuan bapa. Mahkamah akan merujuk fiqh aulawiyyad dalam bab yang manakah satu perlu diutamakan di antara membayar pinjaman peribadi atau kad kredit dengan membayar nafkah anak yang hakiki, perlulah diutamakan yang wajib iaitu memberi nafkah kepada anak.

Kegagalan melaksana perintah mahkamah yang menetapkan nilai yang wajib bayar kepada anak boleh menyebabkan dikenakan saman Penghutang Penghakiman di mana ibu boleh menuntut hutang iaitu bayaran nafkah anak yang tertunggak dibayar dengan mendapatkan Perintah Pemotongan pendapatan majikan saudara.
Jika  tiada majikan atau tidak bergaji tetap, tindakan penghinaan perintah mahkamah boleh dikenakan terhadap bapa yang boleh dikenakan hukuman penjara. Ibu itu juga boleh memohon penguatkuasaan perintah nafkah itu dikenakan terhadap bapa dengan menjual harta saudara yang sama nilainya dengan hutang nafkah tertunggak anak. Ingatlah, apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah SWT nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)( Surah Anfaal ayat 60).


Hak Muslim disiarkan dalam Berita Harian 3 April 2008


Luqmanul Hakim menasihati Anaknya:

"Ambillah dari dunia sekadar keperluan dan biayakan lebihan hasil usahamu untuk akhirat.Dunia jangan ditolak habis agar engkau jangan jadi 'parasit'(org yg hidup menumpang pada org lain dan tidak membalas apa-apa) yang menjadi beban manusia lain."

No comments:

Post a Comment