Saturday, November 6, 2010

SULH..... Tatapan sebagai pengenalan





BAB 1 - PERMULAAN
Manual Kerja ini bertujuan menjelas dan menyeragamkan prosedur yang perlu diikuti oleh semua Pegawai Sulh dalam mengendalikan Majlis Sulh.

BAB 2 - OBJEKTIF
Bagi melaksanakan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh)………2002 maka diperbuat di bawah ini Manual Kerja Sulh untuk diguna pakai dan dipatuhi oleh Pegawai Sulh.

BAB 3 - KENYATAAN AWAL(AL TAARRUF) PEGAWAI SULH

a) Pegawai Sulh selaku Pengerusi Majlis Sulh hendaklah meminta pihak-pihak mengambil tempat masing –masing.

b) Pegawai Sulh hendaklah memulakan majlis dengan memperkenalkan diri, membaca surah al-Fatihah dan doa yang disarankan.

c) Pegawai Sulh hendaklah memaklumkan pihak-pihak berkenaan tentang prosedur yang dipakai, sambil menimbulkan keyakinan pihak-pihak kepada proses sulh dan kepada diri Pegawai Sulh. Jika difikirkan perlu, galakkan kedua-dua pihak mengemukakan soalan sehingga Pegawai Sulh yakin mereka benar-benar faham apa yang hendak dijalankan.

d) Pegawai Sulh hendaklah menyatakan bahawa matlamat sulh adalah untuk mencapai penyelesaian pertikaian mereka secara sukarela berasaskan persetujuan mereka sendiri tanpa sebarang paksaan. Pegawai Sulh hendaklah menjelaskan perbezaan antara proses Sulh dengan kaedah-kaedah penyelesaian yang lain iaitu perundingan, timbangtara dan perbicaraan.

e) Pegawai Sulh hendaklah menggariskan peraturan sulh yang mesti dipatuhi antaranya:

Semua pihak hendaklah bercakap mengikut giliran.

Apabila suatu pihak bercakap, pihak lain hendaklah mendengar dan memberi perhatian.

Apabila bercakap hendaklah dalam keadaan tenang dan tidak meninggikan suara.

Pihak-pihak hendaklah bercakap dan bertindak secara sopan dan tidak menyerang peribadi pihak lawan.

Pihak-pihak tidak boleh berkomunikasi secara langsung antara mereka kecuali dengan kehadiran Pegawai Sulh.

Pihak-pihak hendaklah membuat akujanji akan mematuhi peraturan-peraturan ini.

f) Pegawai Sulh hendaklah menggalakkan pihak-pihak berkerjasama dan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai penyelesaian secara damai.

g) Pegawai Sulh hendaklah menyatakan kepada pihak-pihak bahawa semua perkara yang dibincangkan dan dirundingkan di dalam Majlis Sulh ini adalah rahsia dan tidak akan didedahkan kepada sesiapapun.

h) Pegawai Sulh hendaklah menyatakan niatnya kepada pihak-pihak untuk membuat catatan sepanjang Majlis Sulh.

i) Pegawai Sulh hendaklah menyatakan kepada pihak-pihak bahawa dia tidak boleh dipanggil di dalam mana-mana prosiding mahkamah berhubung dengan kes itu.
 
BAB 4 - PEMBENTANGAN AWAL PIHAK YANG BERTIKAI

a) Pegawai Sulh hendaklah meminta Plaintif/Pemohon membentangkan apa yang dipertikai olehnya, kesan yang timbul dan apa cadangan untuk menyelesaikannya.

b) Pegawai Sulh kemudian hendaklah meminta Defendan/Responden membentangkan apa yang dipertikai olehnya, kesan yang timbul dan apa cadangan untuk menyelesaikannya.

c) Setelah mendengar pembentangan kedua-dua pihak, Pegawai Sulh hendaklah membentuk satu peta konflik untuk mengenal pasti skop pertikaian antara kedua-dua pihak. Untuk tujuan itu, Pegawai Sulh hendaklah mengambil masa secukupnya dan tidak melakukannya dengan tergesa-gesa. Selain menyenaraikan perkara-perkara yang dipertikai oleh kedua-dua pihak dalam peta konflik itu, Pegawai Sulh hendaklah juga mengenal pasti sebab konflik itu timbul, halangan yang ada atau dirasakan ada kepada penyelesaian dan tindakan yang perlu dilakukan untuk mencapai penyelesaian.

d) Pegawai Sulh hendaklah menyusun dan mengurus maklumat yang diperolehinya bagi menentukan : –

isu atau masalah yang perlu diselesaikan;
kedudukan pihak-pihak yang bertikai;
kepentingan mereka;
alternatif (opsyen) penyelesaian.

BAB 5 - PERBINCANGAN BERSAMA
a) Setelah mendengar pembentangan awal kedua-dua pihak, Pegawai Sulh hendaklah meminta setiap pihak menyatakan pendapatnya tentang perkara yang dipertikaikan itu.

b) Setelah mendengar pendapat setiap pihak, Pegawai Sulh hendaklah menjelaskan penilaiannya berdasarkan peta konflik yang telah disediakan sebelum ini dan berbincang dengan penuh yakin tentang kekuatan dan kelemahan pihak-pihak dalam kes yang berkaitan dan memujuk mereka menerima penilaiannya.

c) Sekiranya kedua-dua pihak secara sukarela bersetuju menyelesaikan pertikaian mereka sepenuhnya, Pegawai Sulh hendaklah menyediakan satu deraf perjanjian penyelesaian yang merangkumi semua isu yang dipertikai

d) Sekiranya kedua-dua pihak secara sukarela bersetuju menyelesaikan sebahagian besar pertikaian mereka, sambil rela menggugurkan selebihnya, Pegawai Sulh juga boleh menyediakan deraf perjanjian penyelesaian merangkumi perkara yang telah dipersetujui.

e) Sekiranya kedua-dua pihak secara sukarela bersetuju menyelesaikan sebahagian dari pertikaian mereka sahaja, manakala selebihnya yang tidak berkenaan mereka menggugurkannya, Pegawai Sulh boleh menyediakan deraf perjanjian penyelesaian merangkumi perkara yang telah dipersetujui. Mengenai perkara selebihnya yang masih dipertikai, andainya masa untuk sulh tidak ada lagi ataupun pihak-pihak berkenaan tidak mahu meneruskan sulh (walaupun masa masih ada), Pegawai Sulh hendaklah merujuk perkara-perkara tersebut kepada Pendaftar untuk dibawa terus ke mahkamah untuk dibicarakan.

f) Kecuali Pegawai Sulh berpuashati bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan secara sukarela, Pegawai Sulh hendaklah memulakan pertemuan sebelah pihak

BAB 6 - PERTEMUAN SEBELAH PIHAK (KAUKUS)

a) Pegawai Sulh hendaklah menjalankan pertemuan sebelah pihak mengikut giliran yang ditetapkan. Plaintif / Pemohon hendaklah dipanggil dahulu diikuti oleh pihak Defendan / Responden.

b) Pegawai Sulh hendaklah memperkasakan setiap pihak untuk mengemukakan kes dan cadangan penyelesaiannya.
c) Jika mana-mana pihak tidak mampu mengemukakan kesnya secara jelas kerana sebab-sebab tertentu seperti tidak cukup maklumat, tidak ada keyakinan diri, tidak ada kewangan, takut tindak balas, tidak mahir berkomunikasi atau ada kekurangan tertentu, Pegawai Sulh hendaklah bertindak sewajarnya untuk menyeimbangkan keadaan.
d) Pegawai Sulh hendaklah mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kes setiap pihak dan memaklumkan mereka supaya lebih bersedia untuk bertolak ansur.
e) Pegawai Sulh hendaklah mencari ikhtiar penyelesaian dengan menggunakan pelbagai teknik, antaranya seperti berikut :-
  • Tanya atau minta cadangan dari pihak-pihak.

  • Nyatakan semula secara terperinci dan tersusun masalah yang dihadapi, supaya lebih mudah dikenal pasti dan difahami. Nyatakan ia sebagai satu “masalah bersama”, tanpa meletakkan kesalahan (blame) pada mana-mana pihak.

  • Berasaskan peta konflik yang diwujudkan itu, lakukan sumbang saran (brainstorming) iaitu mengumpulkan semua ide penyelesaian tanpa mengambil kira merit atau kesesuaiannya.

  • Pada masa tertentu Pegawai Sulh hendaklah mendiamkan diri, bagi menggalakkan pihak-pihak berkenaan berusaha lebih bersungguh-sungguh menjana idea mereka sendiri.
f) Pegawai Sulh hendaklah berlaku adil dan sama rata dalam memperuntukkan masa kaukus. 

BAB 7 - PERUNDINGAN BERSAMA 

a) Selepas pertemuan sebelah pihak (kaukus) Pegawai Sulh hendaklah mengundang kedua-dua pihak untuk berbincang dalam sessi perundingan secara langsung antara satu sama lain. Matlamat perundingan bersama ini ialah mencapai penyelesaian secara damai berasaskan persetujuan kedua-dua pihak secara sukarela.
b) Sekiranya perundingan bersama pusingan pertama atau pusingan awal belum mendatangkan hasil yang diharapkan, manakala Pegawai Sulh masih yakin penyelesaian secara damai bukan satu perkara yang mustahil, Pegawai Sulh boleh memulakan pusingan kedua dan seterusnya pertemuan sebelah pihak diikuti dengan perundingan bersama

BAB 8 - PENGHAKIMAN BERASASKAN PERSETUJUAN
a) Di akhir prosedur sulh ini, Pegawai Sulh hendaklah memutuskan sama ada sulh yang dijalankan ini berjaya sepenuhnya ataupun tidak.
b) Sekiranya Sulh berjaya, Pegawai Sulh hendaklah menderaf satu Perjanjian Penyelesaian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
c) Pegawai Sulh hendaklah memastikan bahawa Perjanjian Penyelesaian itu tidak mengandungi apa-apa terma yang bertentangan dengan Hukum Syarak dan undang-undang Negeri yang berkaitan.
d) Pegawai Sulh boleh membenarkan mana-mana pihak merujuk kepada peguam masing-masing deraf Perjanjian Penyelesaian sebelum mereka menandatanganinya. Dalam pada itu Pegawai Sulh hendaklah menasihatkan pihak berkenaan supaya jangan mengubah persetujuan mereka kerana dipengaruhi sebaliknya oleh peguam mereka.
e) Setelah Perjanjian Penyelesaian ditandatangani oleh kedua-dua pihak di hadapan Pegawai Sulh perjanjian itu hendaklah disampaikan kepada Hakim supaya satu penghakiman berasaskan persetujuan boleh dibuat olehnya.

BAB 9 - KES DISERAHKAN KEMBALI
Sekiranya penyelesaian sepenuhnya tidak dicapai tetapi kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan sebahagian sahaja pertikaian mereka, Pegawai Sulh hendaklah mempastikan apakah mereka mahukan perkara-perkara yang disetujui itu direkodkan dalam satu Perjanjian Penyelesaian, manakala selebihnya diserahkan kembali kepada mahkamah untuk dibicarakan ataupun keseluruhan kes itu diserahkan kembali untuk pengadilan.

BAB 10 - KERAHSIAAN
Pegawai Sulh hendaklah merahsiakan segala perkara yang dibangkitkan dalam Majlis Sulh dan tidak boleh mendedahkannya kepada mana-mana pihak termasuklah mahkamah selepas Majlis Sulh selesai, sama ada ia berjaya atau sebaliknya, kecuali setakat mana yang dibenarkan oleh Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (SULH)(Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998).

No comments:

Post a Comment