Prosedur Pentadbiran Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk ini menggariskan peraturan-peraturan pentadbiran yang perlu diikuti oleh Ketua Pendaftar dan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk dalam melaksanakan Akta/Enakmen/ Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri mengenai perkahwinan, perceraian dan rujuk.
Dalam Prosedur Pentadbiran ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang berlainan.
i. ' Beristeri ' ertinya mempunyai isteri.
ii. ' Iddah ' ertinya tempoh menanti yang diwajibkan ke atas isteri yang diceraikan oleh suaminya, atau yang mati suaminya.
iii. ' Tempoh Bermastautin ' ertinya tinggal dalam sesuatu kawasan tertentu sekurang-kurangnya 90 hari atau mengikut budi bicara Pendaftar
iv. ' Teruna ' ertinya lelaki yang belum pernah berkahwin mengikut Hukum Syarak.
v. ' Wali Mujbir ' ertinya bapa atau datuk lelaki sebelah bapa.
vi. ' Negeri' ertinya negeri-negeri di dalam Malaysia.
vii. ' Luar Negeri ' ertinya luar negara.
viii. ' Tempat Lain' ertinya di luar kariah masjid atau dalam mana-mana negeri.
C. PROSEDUR PENTADBIRAN PERKAHWINAN
1. Kursus Pra Perkahwinan Modul Bersepadu
Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPPl)
Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPPl)
Pendaftar Perkahwinan , Perceraian dan Rujuk hendaklah memastikan pasangan bagi warganegara Malaysia yang mengemukakan permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran berkahwin telah menghadiri dan memiliki Sijil Kursus Pra Perkahwinan MBKPPI.
2. Permohonan Untuk Kebenaran Berkahwin
2.1. Pengesahan Permohonan Berkahwin
i) Penolong Pendaftar hendaklah memastikan pemohon yang membuat permohonan kebenaran berkahwin adalah tinggal atau bermastautin di kawasan kariahnya.
ii) Penolong Pendaftar hendaklah memastikan permohonan untuk berkahwin menggunakan borang yang ditetapkan.
iii) Penolong Pendaftar hendaklah memastikan borang permohonan di isi dengan lengkap oleh pemohon
iv) Penolong Pendaftar hendaklah memastikan borang permohonan kebenaran berkahwin dilampirkan bersama dokumen-dokumen berkaitan seperti berikut:
- Salinan Sijil Kelahiran.
- Salinan Kad Pengenalan.
- Sijil Kursus Pra Perkahwinan MBKPPI
- Surat akuan teruna yang dikeluarkan oleh majikannnya atau surat akuan sumpah teruna sekiranya beliau tidak mempunyai majikan jika pemohon seorang lelaki.
- Surat perakuan cerai jika pemohon bercerai hidup.
- Surat perakuan mati jika pemohon bercerai mati.
- Surat akuan memeluk agama Islam jika saudara baru.
- Surat kebenaran daripada Jabatan polis jika pemohon anggota polis.
- Surat kebenaran dari angkatan Tentera jika pemohon anggota tentera.
V) Setelah berpuashati Penolong Pendaftar hendaklah mengesahkan status pemohon di dalam ruang yang disediakan dalam borang permohonan perkahwinan berkenaan.
2.2. Kebenaran Permohonan Berkahwin
i) Pendaftar hendaklah menerima permohonan yang telah disahkan oleh penolong pendaftar kecuali bagi sub peraturan ( iii )
ii) Pendaftar hendaklah memastikan borang perkahwinan diterima selewatnya tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan yang dicadangkan.
iii) Pendaftar boleh menerima borang permohonan perkahwinan bagi kes-kes tertentu.
iv) Setelah berpuashati Pendaftar hendaklah mengeluarkan kebenaran berkahwin melalui catatan dalam borang permohonan bagi perkahwinan dalam negeri. Manakala bagi permohonan perkahwinan luar negeri dan tempat lain dikeluarkan melalui surat kebenaran.
3. Proses Permohonan Perkahwinan
Yang Memerlukan Kebenaran Mahkamah
3.1 Pendaftar hendaklah memastikan kes-kes berikut dirujuk kepada Mahkamah apabila:
a) Perempuan tidak mempunyai wali nasab atau wali enggan
b) Pasangan atau salah seorang kepada perkahwinan itu masih dibawah umur.
c) Perkahwinan itu secara poligami.
d) Perempuan yang bercerai dan belum disetubuhi oleh suami
( jika perkahwinan itu dalam tempoh iddah perceraian biasa )
3.2. Pendaftar hendaklah menyemak permohonan tersebut sebelum dikemukakan ke Mahkamah.
3.3. Setelah berpuas hati terhadap borang permohonan berkahwin dan dokumen-dokumen yang dilampirkan, Pendaftar hendaklah mengeluarkan surat dan laporan kepada Pendaftar Mahkamah melalui pemohon.
3.4 Pendaftar hendaklah menguruskan perkahwinan setelah mendapat kebenaran daripada Mahkamah.
4. Tempoh Sah Kebenaran Berkahwin
4.1. Pendaftar hendaklah mengeluarkan kebenaran kahwin bagi tempoh sembilan puluh ( 90 ) hari dari tarikh dikeluarkan.
4.2. Pendaftar boleh dengan permohonan melanjutkan tempoh sah kebenaran berkahwin selama sembilan puluh ( 90 ) hari lagi bagi kes-kes tertentu.
4.3. Pendaftar hendaklah memastikan bahawa kebenaran berkahwin lanjutan dibuat dalam tempoh empat belas ( 14 ) hari dari tarikh tamat kebenaran berkahwin kali pertama.
4.4. Pendaftar hendaklah memastikan permohonan lanjutan kebenaran berkahwin dibuat di pejabat Pendaftar di mana kebenaran asal dikeluarkan.
4.5. Pendaftar hanya boleh menerima permohonan kebenaran berkahwin yang baru setelah tamat tempoh lanjutan kebenaran berkahwin.
5. Kebenaran Berkahwin Dengan Warga Asing
5.1 Perkahwinan Warganegara Malaysia Dengan Warganegara Asing di Malaysia.
i) Bagi perkahwinan warganegara asing dengan warganegara Malaysia, Pendaftar hendaklah memastikan borang permohonan berkahwin disertakan dengan dokumen-dokumen berikut:
- Salinan pasport yang sah.
- Surat kebenaran dari kedutaan negara pemohon.
- Surat keterangan dari Jabatan Imigresen Malaysia.
ii) Sekiranya warganegara asing adalah seorang wanita, Pendaftar hendaklah memastikan kehadiran walinya atau mendapat surat pengesahan wakalah wali dari pihak berkuasa agama negara pemohon.
5.2. Perkahwinan Warganegara Malaysia Dengan Warganegara Asing di Luar Negeri.
Pendaftar hendaklah mengeluarkan surat kebenaran berkahwin bagi mana-mana permohonan perkahwinan yang akan dilangsungkan di luar negeri sama ada dengan warganegara asing atau sesama warganegara Malaysia
6. Bayaran Surat Kebenaran Berkahwin
6.1 Pendaftar hanya boleh mengeluarkan surat kebenaran berkahwin setelah pemohon menjelaskan bayaran yang telah ditetapkan.
6.2. Pendaftar hendaklah mengeluarkan surat rasmi bagi tiap-tiap bayaran yang diterima kepada pemohon.
7. Akad Nikah
7.1. Pendaftar hendaklah memastikan akad nikah dilangsungkan dalam kariah di mana perempuan itu tinggal atau bermastautin.
7.2 Pendaftar boleh memberi kebenaran akad nikah dilangsungkan di tempat lain.
7.2. Pendaftar hendaklah memastikan majlis akad nikah dilangsungkan oleh:
i. Wali di hadapan Pendaftar.
ii. Wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran Pendaftar.
iii. Pendaftar sendiri sebagai wakil wali.
iv. Pendaftar sebagai Wali Raja ( Hakim ) bagi perempuan yang tidak ada wali nasab atau wali enggan.
D. PROSEDUR PENDAFTARAN PERKAHWINAN
1. Pendaftaran Perkahwinan Dalam Negeri
1.1 Selepas upacara nikah Pendaftar hendaklah mendaftarkan perkahwinan tersebut dengan segera sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang yang sedia ada.
1.2 Pendaftar hendaklah mengeluarkan Surat Akuan Nikah dalam tempoh tiga puluh ( 30 ) hari dari tarikh pendaftaran perkahwinan.
2. Pendaftaran Perkahwinan Luar Negeri
2.1 Pendaftar hendaklah memastikan bahawa permohonan pendaftaran bagi perkahwinan yang dilangsungkan di luar negeri hanya bagi perkahwinan yang tidak dibuat di Kedutaan atau oleh Pendaftar yang dilantik.
2.2. Pendaftar hendaklah memastikan bahawa perkahwinan di luar negeri yang belum didaftarkan sahaja yang boleh didaftarkan.
2.3. Pendaftar hendaklah memastikan setiap permohonan pendaftaran nikah mempunyai butir dan maklumat berikut:
- Surat perakuan nikah luar negeri.
- Atau apa-apa keterangan sama ada secara lisan atau tulisan yang boleh memuaskan hati Pendaftar sebelum perkahwinan berlaku.
- Permohonan dibuat menggunakan borang yang ditetapkan yang ditandatangani oleh Pemohon sendiri.
2.4. Pendaftar boleh mengecualikan pasangan suami/isteri untuk hadir di hadapannya dengan syarat ia berpuas hati mengenai maklumat berhubung dengan perkahwinan itu.
2.5 Pendaftar hendaklah mencatatkan sebab-sebab pasangan suami isteri tidak hadir dalam daftar perkahwinan.
2.6 Selepas mendaftar Pendaftar hendaklah dengan segera menyerah atau menghantar satu salinan pendaftaran nikah yang telah ditandatangani kepada pasangan suami isteri.
2.7 Pendaftar juga dikehendaki menyerah satu salinan pendaftaran nikah kepada Ketua Pendaftar dalam tempoh yang ditetapkan supaya salinan tersebut dijilidkan dalam perkahwinan orang Islam di luar negeri.
E. PROSEDUR PENDAFTARAN PERCERAIAN
1. Pendaftar hendaklah menerima salinan keputusan pengesahan perceraian yang dikeluarkan oleh Mahkamah
2. Pendaftar hendaklah menyemak salinan keputusan pengesahan perceraian tersebut. Jika terdapat kesilapan dikembalikan kepada pemohon untuk pembetulan di Mahkamah.
3. Setelah berpuashati Ketua Pendaftar hendaklah menanda tangani Surat Perakuan Cerai.
4. Pendaftar hanya boleh mengeluarkan Surat Perakuan Cerai setelah pemohon membuat pembayaran pendaftaran cerai
5. Pendaftar hendaklah mengeluarkan Surat Perakuan Cerai dalam tempoh tiga puluh ( 30 ) hari dari tarikh pendaftaran perceraian.
F. PROSEDUR PENDAFTARAN RUJUK
1. Pendaftar sebelum menerima laporan atau cadangan suami isteri mengenai persetujuan rujuk hendaklah memastikan bahawa permohonan pengeahan cerai telah dihantar di Mahkamah.
2. Sekiranya rujuk dilafazkan bukan di hadapan pendaftar, maka pendaftar hendaklah memastikan dan berpuashati ia dilakukan mengikut hukum syarak.
3. Pendaftar hendaklah memastikan pemohon mengisi borang permohonan rujuk dengan lengkap.
4. Pendaftar boleh mendengar lafaz untuk dilafazkan di hadapannya walaupun perceraian belum diputuskan oleh Mahkamah.
5. Pendaftar hendaklah mengemukakan surat pengesahan rujuk sementara kepada pemohon.
6. Pendaftar hanya boleh mendaftar rujuk setelah pemohon mengemukakan :
i) Surat pengesahan cerai dari Mahkamah.
ii) Bayaran pendaftar rujuk.
iii) Sijil Perakuan cerai.
7. Pendaftar hendaklah mengeluarkan surat akuan rujuk dalam tempoh tiga puluh hari ( 30 ) hari dari tempoh permohonan rujuk serta selesai didaftarkan
Sumber : JAKIM
No comments:
Post a Comment