Monday, November 22, 2010

Kebebasan Mahkamah Syariah Mesti Dipertahan


MAHKAMAH syariah ialah badan kehakiman yang bertanggungjawab mengendalikan kes syariah, sama ada kes sivil (kes mal) atau kes jenayah. Kedudukannya adalah setara dengan kedudukan mahkamah sivil. Ini menjadikan sistem kehakiman kita dibahagikan kepada dua, iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Walaupun begitu, sehingga kini masih ada lagi suara songsang yang sering melabelkan mahkamah syariah sebagai mahkamah yang lebih rendah daripada mahkamah biasa. Suara seperti ini tidak harus diberi perhatian kerana kedudukan mahkamah syariah di sisi Perlembagaan Persekutuan amat jelas sekali.

Walaupun mahkamah syariah ditubuhkan oleh negeri menurut peruntukan undang-undang negeri masing-masing, ia mendapat mandat perlembagaan tanpa sebarang kesangsian. Perkara 121 (1A) menjelaskan lagi kedudukan mahkamah syariah di dalam sistem kehakiman negara.

Oleh yang demikian, saya anggap isu kedudukan mahkamah syariah di mata Perlembagaan Persekutuan sebagai isu yang sudah selesai dan saya tidak mahu berterusan menghuraikan perkara ini. Sekiranya berminat untuk mengetahui mengenai kedudukan mahkamah syariah ini, pembaca boleh merujuk kepada banyak buku berkaitan mahkamah syariah yang berada di pasaran.

Tujuan saya membawa pembaca kepada isu mahkamah syariah ialah untuk berbincang mengenai beberapa perkara yang perlu diambil perhatian bagi memantapkan pentadbiran badan kehakiman ini.

Sebagai sebuah badan kehakiman, fungsi mahkamah syariah adalah seumpama mahkamah sivil yang lain, iaitu melaksanakan keadilan. Oleh itu dalam menjalankan fungsi yang penting ini mahkamah syariah perlu mempunyai sistem pentadbiran dan infrastruktur yang bersesuaian.

Paling utama, undang-undang yang digunakan di mahkamah syariah (sama ada undang-undang substantif atau prosedur) mestilah berkesan. Keperluan infrastruktur yang lain, seperti bangunan dan kelengkapan material, seperti sistem teknologi juga perlulah dapat memenuhi keperluan dan keadaan semasa. Mahkamah syariah juga perlulah mempunyai hakim dan kakitangan pengendali yang berwibawa.

Walau apa pun kelengkapan yang ada, sama ada dari aspek infrastruktur atau tenaga manusia, sistem yang menjadi tunjang kepada mahkamah syariah pada umumnya amatlah penting. Contohnya, mahkamah syariah hendaklah berdiri dengan bebas tanpa gangguan daripada mana-mana pihak. Pengasingan mahkamah syariah daripada Jabatan Agama Islam juga mungkin perlu diberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya.

Begitu juga dengan sistem pelantikan hakim di mahkamah syariah perlulah diambil perhatian. Saya ingin menjuruskan tulisan kali ini kepada sistem pelantikan dan kedudukan hakim di mahkamah syariah.

Seperti yang sudah dimaklumi, dalam sistem negara Persekutuan yang kita amalkan, mahkamah syariah ialah mahkamah negeri. Oleh itu, pelantikan hakim di mahkamah syariah juga dilakukan oleh negeri-negeri sendiri.

Umumnya semua negeri mempunyai kriteria yang lebih kurang sama mengenai kelayakan menjadi hakim. Setakat ini perkara berkaitan kelayakan akademik tidak begitu menjadi persoalan kerana hakim semestinya mempunyai kelayakan akademik berkaitan undang-undang Islam atau syariah. Bagi mendekatkan hakim mahkamah syariah kepada sistem perundangan dan sistem kehakiman negara, mereka dikehendaki menjalani kursus tertentu, seperti Diploma Pentadbiran Kehakiman Syariah di universiti tempatan.

Walaupun begitu, ada baiknya kriteria kelayakan ini disemak semula dari semasa ke semasa dengan memberi penekanan kepada pengetahuan atau kelayakan akademik yang boleh membantu hakim mengendalikan kes di mahkamah syariah dengan lebih baik.

Mungkin juga dengan melonggarkan syarat anak negeri boleh membantu dalam mencari calon hakim yang lebih berwibawa bersandarkan kebolehan dan kelayakan dan mengurangkan penekanan kepada tempat atau negeri kelahiran.

Perkara yang lebih serius ialah kebebasan hakim di mahkamah syariah. Kebebasan hakim adalah inti pati kepada setiap sistem kehakiman. Ia akan menjamin kualiti penghakiman supaya apa juga keputusan yang dibuat oleh hakim, ia adalah penghakiman yang adil demi undang-undang dan tidak digugat oleh apa juga campur tangan.

Mengikut struktur pentadbiran yang diamalkan ketika ini, hakim di mahkamah syariah seumpama penjawat awam, yang mana kedudukan mereka adalah tertakluk kepada budi bicara pentadbiran dan mereka memegang jawatan selama mana diper-kenan. Keadaan ini mungkin akan menimbulkan persoalan kewibawaan dan kebebasan hakim di mahkamah syariah. Seumpama kewibawaan majistret dan hakim mahkamah sesyen yang juga penjawat awam dan diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Peguam Negara.

Setakat ini juga tiada undang-undang khusus di dalam enakmen negeri-negeri yang memberi perhatian terhadap jaminan terhadap jawatan hakim di mahkamah syariah seumpama jaminan terhadap jawatan yang diberikan kepada hakim di mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan mahkamah Persekutuan. Jaminan terhadap jawatan hakim di mahkamah ini diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.

Mungkin ada baiknya supaya peruntukan yang sama boleh diwujudkan di dalam Perlembagaan negeri-negeri bagi menjamin kedudukan jawatan hakim di mahkamah syariah. Jaminan terhadap jawatan amat penting dalam menjamin kewibawaan dan kebebasan hakim di mahkamah.

Walaupun perkara ini belum lagi menjadi isu besar di mahkamah syariah, ia mungkin boleh dijadikan persediaan kepada mahkamah syariah dalam menentukan hala tuju dan masa depan yang lebih teratur dan sempurna.

Saya sedar akan kemungkinan wujudnya beberapa persoalan berkaitan cadangan ini, seperti kandungan perlembagaan negeri dan kuasa-kuasa Sultan berkaitan agama Islam. Namun begitu, bagi mencari apa yang terbaik untuk pentadbiran keadilan di mahkamah syariah, kita harus melihat cadangan ini dengan hati yang terbuka dan memberi pertimbangan yang sewajarnya menurut kedudukan undang-undang dan kekangan yang mungkin ada.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM
Berita Harian 23/11/2020

No comments:

Post a Comment